Siasat Segera Semua Masjid Yang Guna Reka Bentuk Sama - Ahmad
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said (tengah) mempengerusikan mesyuarat pertama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Wisma Darul Iman. Foto: Arjasneh Ahmad KUALA TERENGGANU, 22 Mei (Bernama) -- Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) menyiasat segera semua masjid yang menggunakan reka bentuk sama dengan Masjid Binjai Kertas di Hulu Terengganu yang runtuh malam Isnin lepas.
Ahmad berkata kajian perlu dilakukan bagi memastikan sama ada runtuhan
berpunca daripada kesilapan reka bentuk atau pembekal yang menyediakan
bahan yang kurang bermutu.
Sambil menyifatkan kejadian seumpama itu boleh dielak, beliau mahu JKR
melakukan siasatan menyeluruh dan terperinci terhadap beberapa lagi
masjid yang menggunakan reka bentuk sama di negeri itu bagi memastikan
ia selamat digunakan.
"Reka bentuk masjid Kampung Binjai Kertas yang dibina dengan kos RM1.7
juta itu turut dijadikan model reka bentuk membabitkan beberapa masjid
di tempat lain," katanya yang memberi tempoh dua minggu kepada JKR untuk
menyerahkan laporan siasatan itu.
Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco
pertama selepas pilihan raya umum ke-13, Ahmad berkata kejadian seumpama
itu tidak sepatutnya berlaku jika JKR melakukan pemantauan ketat
terhadap sesebuah projek.
Dalam kejadian itu, 12 jemaah masjid yang masih berada di masjid itu
selepas menunaikan solat Isyak nyaris maut setelah bumbung hadapan
masjid berkeluasan 30 x 30 kaki persegi itu runtuh.
Ahmad yang jelas menunjukkan reaksi kecewa dengan beberapa siri
runtuhan sejak mengambil alih pentadbiran negeri pada tahun 2008 itu
mahu JKR memantau semua projek pembinaan dengan mengikut prosedur
terperinci bagi mengelak kejadian sama berulang.
"JKR perlu menyiasat sama ada kejadian itu berpunca akibat kegagalan
reka bentuk masjid ataupun penggunaan material bahan pembinaan yang
tidak mengikut spesifikasi ditetapkan...siasatan terhadap pembekal,
kontraktor dan pihak yang bertanggungjawab juga perlu dilakukan dengan
rapi.
"Saya juga mahu masjid itu diperbaiki sebelum Ramadan ini demi
keselesaan penduduk menjalani ibadah mereka sepanjang bulan mulia itu,"
katanya.
Sementara itu tinjauan Bernama di masjid itu pagi tadi mendapati
beberapa kakitangan dari Unit Forensik JKR Kuala Lumpur datang untuk
menyiasat punca kejadian di masjid kampung berkenaan.
-- BERNAMA
Rabu 22 Mei,2013.
No comments:
Post a Comment