4 pelajar ditahan pecah pejabat guru  
Harun (tengah), menunjukkan komik yang dicuri dalam kejadian pecah pejabat sekolah di Tangkak, semalam. - Foto Shaiffulazhar Misri
Ledang: Hasrat empat pelajar mengambil semula barangan mereka yang dirampas guru disiplin, membawa padah apabila ditahan polis selepas memecah pejabat sekolah dekat Tangkak di sini, kelmarin.

Kumpulan pelajar berusia antara 11 hingga 16 tahun itu ditahan pada jam 9.10 pagi.
Polis turut merampas pelbagai barangan seperti telefon bimbit, komik, jam, minyak wangi, tali pinggang, cakera padat, gelang serta rantai yang dilarikan kumpulan berkenaan.


Terima laporan sekolah

Ketua Polis Daerah, Superintendan Harun Idris, berkata pihaknya menerima laporan daripada pengurusan sekolah mengenai bilik pejabat dipecah masuk sebelum menahan seorang pelajar berusia 15 tahun untuk siasatan.

Siasatan lanjut membawa kepada penahanan tiga lagi rakan suspek yang turut terbabit dalam pencerobohan itu.

Tiga daripada mereka pelajar dari sekolah sama yang berasal dari Tangkak, manakala seorang lagi murid sekolah lain berusia 11 tahun berasal dari Serom 4, Sungai Mati.
Mereka dikatakan mahu mengambil semula barangan dirampas guru disiplin yang disimpan dalam pejabat berkenaan.

Semua pelajar sudah dibebaskan dengan jaminan polis dan siasatan diteruskan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah masuk bangunan, katanya.

Sementara itu, Harun berkata, dua orang ditahan kerana disyaki mendalangi pengedaran pelbagai jenis dadah bernilai RM12,000 dalam serbuan di Jalan Naib Long, dekat Tangkak, di sini, pada 29 April lalu.

Dalam serbuan di rumah sewa berkenaan, polis menahan seorang wanita berusia 29 tahun dan lelaki berusia 36 tahun serta merampas heroin seberat 38.25 gram, syabu (48.4 gram) serta empat biji pil ecstasy.

Mereka dipercayai pengedar dadah kecil-kecilan di kawasan berkenaan dan siasatan lanjut mendapati mereka juga positif methaphetamin. 
Berita Harian online
11 Mei,2013.