• Dr Mahathir hadir pada program Literasi Maklumat Yayasan Kepimpinan Perdana dan
Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) bertemakan Ilmu Membina Bangsa dan Negara, semalam.  
  • Dr Mahathir hadir pada program Literasi Maklumat Yayasan Kepimpinan Perdana dan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) bertemakan Ilmu Membina Bangsa dan Negara, semalam.
PUTRAJAYA - Penguasaan ilmu yang boleh diperolehi melalui pembacaan pelbagai bidang seperti agama, sains, teknologi dan matematik, penting dalam menentukan kesinambungan sesebuah tamadun, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Dalam Islam pun digalakkan membaca (Iqra) tetapi bukan hanya yang berkaitan agama Islam sahaja malah lebih luas merangkumi bidang-bidang lain,” katanya yang juga Ikon Membaca Kebangsaan.

Merujuk pada abad ke-15, Dr Mahathir berkata, terdapat fatwa yang menyatakan ‘Iqra’ hanya untuk membaca mengenai Islam sahaja menyebabkan umat Islam pada ketika itu menolak ilmu lain.

“Pada zaman itulah bermulanya kemerosotan tamadun Islam sehingga kini, menyebabkan umat Islam ditindas dan dikasari," katanya pada program Literasi Maklumat Yayasan Kepimpinan Perdana dan Perpustakaan Negara Malaysia 2014 di sini, semalam.

Berikutan itu, katanya, tamadun Eropah mula berkembang dan mampu mencipta pelbagai senjata moden yang digunakan untuk berperang, sebaliknya umat Islam hanya mampu membeli daripada mereka.

Dr Mahathir berkata, penguasaan bahasa Inggeris juga penting di zaman kini untuk memastikan seseorang mampu membantu memajukan negara bagi bersaing di peringkat global.

“Pandai sahaja tidak cukup jika kurang membaca sebaliknya jika tidak pandai tetapi rajin membaca boleh menjadikan seorang itu lebih hebat dan cekap," katanya.

Bertemakan “Ilmu Membina Negara Bangsa” program anjuran PNM itu bertujuan memupuk amalan membaca dalam kalangan rakyat serta pelajar sekolah.

Program turut dihadiri pelajar Sekolah Menengah Sains Banting, Sekolah Sultan Alam Shah, Maktab Rendah Sains Mara Alor Gajah Melaka dan Sekolah Berasrama Penuh Intergrasi Gombak. - Bernama

Sinar Harian Online
Selasa 30 September,2014.