Guru jangan menongkah arus
PUTRAJAYA 28 Mei - Para guru diingatkan agar
tidak menongkah arus dengan mengambil langkah menyongsang dalam isu
membabitkan dasar pendidikan negara kerana tindakan itu hanya akan
merugikan generasi muda dan diri sendiri.
Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud berkata,
ingatan tersebut dibuat kerana pelaksanaan setiap dasar pendidikan
negara adalah berada di atas bahu setiap guru.
Menurut beliau, golongan itu seharusnya memastikan segala tugas
pembelajaran dan pengajaran yang sedang serta bakal mereka laksanakan
menepati visi dan misi negara.
''Pihak kerajaan selaku penggubal dasar telah menjana dasar-dasar
yang utuh dan bersepadu dalam usaha merekayasakan sistem pendidikan
negara melalui Pelan Transformasi Pembangunan Pendidikan Negara (PTPPN)
2013-2025.
''Saya ingin mengingatkan kepada semua guru bahawa sistem pendidikan
negara kini sememangnya sudah berada di landasan yang betul," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis Konvokesyen Ijazah
Sarjana Muda Pendidikan Ketiga Institut Pendidikan Guru (IPG) di Pusat
Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.
Seramai 779 graduan IPG menerima ijazah masing-masing dalam majlis tersebut.
Mengulas lanjut Abdul Ghafar berkata, adalah menjadi tanggungjawab
semua pihak terutama guru untuk merungkai cabaran dunia pendidikan yang
kini dilihat semakin rumit dan kompleks.
Malah, beliau menambah, tanggungjawab itu juga sejajar dengan usaha
kerajaan dalam usaha mencapai Wawasan Pendidikan Negara menjelang tahun
2020.
No comments:
Post a Comment