Sunday, May 12, 2013

Kes mengandung tanpa nikah meningkat di Sarawak

12 Mei 2013
KUCHING - Jumlah wanita mengandung tanpa berkahwin di Sarawak meningkat lebih 35 peratus dalam tempoh empat tahun lepas dengan 1,658 orang dicatat tahun lepas dan 1,223 pada 2009.
 
Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Negeri, Datuk Fatimah Abdullah hari ini berkata, daripada jumlah itu, yang diperoleh daripada tiga hospital utama di Sarawak, mencerminkan wujudnya arah aliran yang membimbangkan dan perlu diberi perhatian serius.
 
"Kesan yang dialami para ibu tanpa berkahwin ini bukan saja berkaitan kesihatan mereka kerana terlalu muda untuk melahirkan anak.

"..sesetengahnya hanya baru berusia 13 tahun, tetapi juga stigma sosial yang terpaksa mereka alami," katanya pada perhimpunan Hari Ibu anjuran Persatuan Ibu Tunggal Sarawak (Pitsa), di sini.
 
Beliau berkata, generasi muda perlu diberi bimbingan sewajarnya tentang batas pergaulan antara jantina yang berbeza.
 
"Saya sedar, ini bukan suatu tugas mudah, lebih-lebih lagi bagi ibu tunggal.

"Walaupun kerajaan mewujudkan skim khas untuk membantu mereka, namun masyarakat juga mempunyai peranan penting untuk membantu mereka," katanya.
 
Menyentuh isu berasingan, Fatimah mencadangkan agar keluarga yang mempunyai ibu tunggal yang sudah lanjut usia supaya mewujudkan sebuah tabung khas.
 
Katanya tabung yang lebih kurang sama fungsinya dengan tabung bagi pendidikan anak-anak ini boleh digunakan untuk menyara ibu mereka, di samping sebagai penghargaan terhadap ibu masing-masing.
 
"Hasil daripada pemakanan dan kemudahan perubatan yang semakin baik di negara kita, purata jangka hayat wanita juga meningkat dan dengan itu, jumlah ibu tunggal yang lanjut usia juga akan bertambah," katanya.  - Bernama

Sinar Harian Ahad 12 Mei,2013.

No comments:

Post a Comment

Menjana kekuatan organisasi

Organisasi merupakan wadah penyatuan umat yang di asaskan untuk mencapai sesuatu matlamat. Berbagai bentuk organisasi mempunyai tujuan berm...