Sunday, May 26, 2013

Sekolah Dua Aliran

Zaman persekolahan awal tahun 70an dulu terdiri dari dua aliran iaitu Pengantar Bahasa Melayu (Malay Medium) dan Bahasa Inggeris (English Medium). Saya sempat belajar dalam kelas peralihan (remove class) selama setahun di Sekolah Menengah Sultan Yahya Petra Kuala Krai dalam tahun 1969. Sebaik tamat darjah (sekarang tahun) 6 di SKGG Pasir Puteh ,ayah menghantar saya memasuki 'remove class' di Sultan Yahya Petra Secondary School yang lebih sinonim dengan SYPSS kerana mengikut beliau berpindah ke Tanah Rancangan Batu Mengkebang sebagai peneroka dalam tahun 1963.

 










Sumber:pkggaal.webs.com
Sekolah Kebangsaan Gong Garu(SKGG)
(wajah sekarang). Di sini lah saya mula mengenal
literasi dan numerasi. Terima kasih Che'gu .

Sekolah berprestij

Saya menjalani kehidupan yang sukar terpaksa menumpang di rumah Pak Cik saudara  dekat Railway Quaters kerana pada masa itu tiada kemudahan pengangkutan. Sultan Yahya Petra Secondary School sebuah sekolah berprestij dan popular kerana satu-satunya sekolah menengah yang ada dalam Jajahan ini. Sekolah ini terkenal dengan SYPSS sebagai 'Government English School' . Pelajar-pelajar dari Gua Musang, Kuala Balah, Bukit Bunga ,Dabong, Ladang Kerala ,Manik Urai semuanya menyambung pelajaran mereka di sini.Perhubungan antara daerah hanya melalui keretapi dan motor sungai.Guru-guru yang berdedikasi dan berpengalaman menjadikan SYPSS setanding dengan sekolah-sekolah ternama di negeri Kelantan.Pengetua(dulu Guru Besar-HM) ialah Mr. Ab. Malik sangat di geruni pelajar kerana kebengisan beliau.

Belajar Bahasa Inggeris

Selama satu tahun berada dalam 'Remove Class' (RC) setiap hari terpaksa berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris dengan guru-guru dan rakan-rakan sekelas yang berbagai latarbelakang. Rakan-rakan saya seperti Teh Eh Heng , Ab. Aziz Derashid ( ADUN Kuala Balah) ,Razali Ali dan Zabidi Hassan (sekadar ingat) menjadi teman berbual dalam BI mengikut loghat masing-masing. Lucu dan kelakar bunyi kami berbual. "You think you are big want to fight me" .Itu antara yang selalu berlaku dalam kelas kami bila guru lambat masuk. Maklumlah RC . Miss Wan Peng Guru BI , tidak pernah bercakap dalam Bahasa Melayu dengan kami. Jika beliau terdengar kami ngomong BM kena denda 5 sen.Semua subjek di ajar dalam Bahasa Inggeris ,kecuali Pendidikan Islam dan Bahasa Melayu.Oleh kerana tiada pilihan kami terpaksa gagahkan diri bercakap BI walau pun tergagap-gagap.Setiap pelajar yang mengambil pengantar BI di wajibkan membayar yuran sekolah (school fees) $ 7.50 sebulan.Guru kelas memang cekap mengutip yuran. Mana-mana pelajar yang lambat bayar selepas 10 haribulan kena denda.Masih terbayang dalam ingatan saya betapa sukarnya untuk meneruskan persekolahan pada masa itu kerana kesempitan wang.Bagi mereka yang belajar dalam Aliran Melayu (Malay Medium) di kecualikan daripada membayar yuran tersebut.

 
lencana sekolah(school badge)
yang menjadi kebanggaan (dulu Bahasa Inggeris)

Berpindah ke Kamil 

Sejarah perjalanan pendidikan saya bersimpang siur. Dari SYPSS berpindah pula ke Kamil Secondary School Pasir Puteh memenuhi permintaan emak saudara supaya tinggal bersama beliau di Kampung Tok Khamis. Ayah membawa saya balik ke Pasir Puteh menemani kakaknya bersama seorang cucu. Pada masa itu saya berada dalam Form 1 tahun 1970.Berulang alik dengan bas dari Tok Khamis ke Pasir Puteh setiap hari memerlukan wang yang tidak sedikit mengakibatkan saya sentiasa berhati-hati berbelanja. Peruntukan untuk yuran, pas bulanan bas dan duit poket yang selalu kekeringan. Tiba di sekolah che'gu minta yuran, saya tak mampu bayar mengikut masa, terpaksa berdiri di koridor. Oleh kerana selalu kena denda saya beranikan diri berjumpa Headmaster S.A John memohon tukar ke aliran Melayu. HM terkejut dan saya masih ingat beliau berkata" I will try to get you free place" tetapi saya tak tunggu terus mohon ke Sekolah Menengah Tok Janggut (SMTJ) dalam tahun yang sama tanpa pengetahuan ayah.Setiap hari berulang alik dengan bas dari Kg. Tok Khamis ke Sekolah. Ketika itu stesen Bas Pasir Puteh dan Pasar Besar berdekatan dengan sungai yang menjadi tempat pelajar menunggu bas untuk pulang ke rumah masing-masing sambil memasukan duit 10 sen ke dalam radiogram untuk mendengar lagu-lagu seperti Tom Jones Green Green Grass,Santana Get The Black Magic Women, Boney M, Bee Gees, Elvis Presley yang menjadi kegilaan remaja pada waktu itu.Bagi mereka yang membesar dengan lagu-lagu tersebut sudah pasti meninggalkan nostalgik yang sukar di lupakan.

















Sumber You tube Green-Green Grass

Tukar ke aliran Melayu

Perubahan transisi yang berlaku sebaik saya di terima masuk ke SMTJ meninggalkan kesan mendalam kepada saya.Sukar memahami pengajaran guru kerana peralihan pengantar bahasa .Jika sebelum itu setiap hari telinga saya mendengar perbualan dan pengajaran dalam BI, secara drastik bertukar dalam BM. Saya mengambil masa agak lama untuk mengadaptasi dengan perubahan aliran ini.Bila tiba subjek BI saya sangat gembira kerana Che'gu mengajar sepenuhnya dalam Bahasa Inggeris.Keadaan seperti ini berlanjutan hinggalah saya naik ke Tingkatan 3 untuk mengambil Sijil Rendah Pelajaran (SRP).

Balik semula ke SYPSS

Saya pindah lagi ke Sekolah Menengah Sultan Yahya Petra dalam Tingkatan 4. Rakan-rakan saya terkejut kerana saya tidak lagi berada dalam Aliran Inggeris. Mereka hairan mengapa saya pindah jurusan.Saya kata tak dak pitih nak bayar yuran.Mereka simpati dengan saya.Mereka mengambil Malaysian Certificate of Education(MCE) dan High Certificate of Education (HSC), saya mengambil SPM dan STP. Persekolahan tetap di teruskan untuk persiapan peperiksaan. Ayah menghantar saya ke Asrama Harian Sekolah. Dengan kewangan yang terbatas, saya hanya makan di Asrama sahaja. Tidak ada jajan atau tapau di luar seperti rakan-rakan lain.Tiba waktu makan, saya tala sekenyang-kenyangnya untuk persiapan mengulangkaji pelajaran hingga jauh malam.

Alam pekerjaan

Alhamdulillah berkat kesabaran, saya berhasil menyambung pelajaran ke Indonesia dalam tahun 1977 dengan bantuan biasiswa Kementerian Pelajaran.Setelah tamat pengajian, saya memasuki alam pekerjaan dengan mula bertugas di Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur .Bermula di SM Sains Tuanku Jaafar Kuala Pilah, SMK Seri Gombak,Victoria Institution, pegawai Kementerian Pelajaran, Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Pelajaran Negeri  dan Pengetua di dua buah sekolah Wilayah Persekutuan hingga kini.Sejarah kerjaya saya berlegar di sekitar Kuala Lumpur kerana  menetap di sini sejak 31 tahun lalu bersama isteri dan anak-anak yang berasal dari Kampung Bharu.

Masih ralat

Alhamdulillah empat orang anak telah berjaya dalam bidang masing-masing kecuali dua orang yang masih belajar. Anak sulong Jurutera komputer,(lulusan University of Nottingham UK), kedua Guru, (Weltec New Zealand dan RMIT Melbourne Australia) ketiga Pharmacist (University of Nottingham UK) dan keempat Akauntan (Warwick Uni UK) dengan Petronas Carigali.Sesuatu yang berlaku masa silam  menjadi sejarah hidup yang cukup bermakna untuk di kongsi bersama pembaca.Kebanyakan anak-anak masa ini tidak pernah merasai pahit getir menempuh alam persekolahan  seperti generasi terdahulu. Hingga kini saya masih ralat kerana tidak dapat meneruskan persekolahan dalam Bahasa Inggeris (English Medium).Walau bagaimana pun saya tetap bersyukur kepada Allah SWT sehingga memungkin saya berada pada tahap ini.Kepada saya sekiranya kita mahu penguasaan BI dalam kalangan pelajar dan guru dengan berkesan ,sistem dua aliran seperti dahulu menjadi alternatif yang baik untuk di laksanakan.

A good life does not just happen. It's build in a daily prayer, sacrifice, humanity and  love.


Drs.Che'Yahya Che'Soh
Pengetua SMKSB@STAR
Segambut Kuala Lumpur.
Ahad 26 Mei,2013.




No comments:

Post a Comment

Menjana kekuatan organisasi

Organisasi merupakan wadah penyatuan umat yang di asaskan untuk mencapai sesuatu matlamat. Berbagai bentuk organisasi mempunyai tujuan berm...