PUTRAJAYA - Bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) dari 52 buah stesen pengawasan kualiti udara Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang direkodkan pada jam 11 pagi, 23 Jun 2013 (Ahad) mencatatkan maklumat-maklumat berikut:

(i)    2 stesen berada pada tahap baik;
(ii)   30 stesen berada pada tahap sederhana;
(iii) 17 stesen berada pada tahap tidak sihat  iaitu di Pelabuhan Klang, Selangor (IPU 192), Petaling Jaya, Selangor (IPU 125), Banting, Selangor (IPU 115), Shah Alam, Selangor (IPU 112), Kuala Selangor, Selangor (IPU 104), Cheras, Kuala Lumpur (IPU 111), Batu Muda, Kuala Lumpur (IPU 108), Nilai, Negeri Sembilan (IPU 106), Seremban, Negeri Sembilan (IPU 104), Port Dickson, Negeri Sembilan (IPU 184), Pasir Gudang, Johor (IPU 110), Larkin, Johor (IPU 117), Kota Tinggi, Johor (IPU 124), Indera Mahkota, Pahang (IPU 107), Balok Baru, Kuantan, Pahang (IPU 149) , Paka, Terengganu (IPU 105) dan Kemaman, Terengganu (IPU 153); dan
(iv)    3 stesen berada pada tahap berbahaya iaitu Bukit Rambai, Melaka (IPU 428), Bandaraya Melaka (IPU 415) dan Muar, Johor (IPU 690)

Maklumat terperinci bacaan IPU mengikut lokasi-lokasi stesen pengawasan adalah seperti di LAMPIRAN 1.

Berikutan dengan bacaan IPU di Muar, Johor telah menjangkau paras melebihi 500 pada 23 Jun 2013, YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia telah mengisytiharkan keadaan Darurat Bencana Jerebu bagi seluruh Daerah Muar dan Daerah Ledang.

Peningkatan bacaan IPU pada tahap tidak sihat dan berbahaya masih dipengaruhi pencemaran jerebu merentasi sempadan berikutan musim Monsun Barat Daya yang sedang dialami negara masa kini dan dijangka berterusan sehingga bulan September 2013.

Peta Jerebu Serantau (seperti di Rajah 1) yang dikeluarkan oleh ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) pada 22 Jun 2013 menunjukkan asap jerebu yang bertambah tebal dari kawasan kebakaran di Wilayah Riau, Sumatera Tengah, Indonesia dan tiupan angin dari arah barat daya membawa asap jerebu ke kawasan tengah dan selatan Pantai Barat Semenanjung Malaysia.

Pihak ASMC juga melaporkan bilangan titik panas (hotspot) yang dikesan melalui imej satelit NOAA 18 di Sumatera, Indonesia pada semalam, 22 Jun 2013 telah meningkat iaitu sebanyak 118 titik panas berbanding 64 titik panas yang dikesan pada 21 Jun 2013.

Tindakan di peringkat tempatan

Semenjak 20 Jun 2013, Majlis Keselamatan Negara telah mengaktifkan Jawatankuasa Penyelarasan Pengurusan Jerebu mengikut tahap amaran (on alert) dalam Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan yang melibatkan peranan pelbagai agensi seperti Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Perintah Larangan Pembakaran Terbuka di bawah Seksyen 29AA(2) Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2001 yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Alam Sekitar pada 19 Jun 2013 ke atas aktiviti pembakaran terbuka di negeri Selangor, Melaka dan Johor masih berkuatkuasa; KECUALI bagi beberapa aktiviti iaitu pembakaran mayat, pembakaran bagi tujuan keagamaan dan gril/barbeku yang tidak dilakukan di kawasan tanah gambut.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengawasi dengan rapi status kualiti udara di seluruh negara dan telahpun menggerakkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan dan mengaktifkan Pelan Tindakan Mencegah Pembakaran Terbuka di semua negeri. Selain daripada itu Jabatan Alam Sekitar juga telah mempertingkatkan pelaksanaan Prosedur Tetap Operasi (SOP) Program Pencegahan Kebakaran Tanah Gambut Yang Mudah Terbakar bagi mencegah dan mengawal sebarang punca tempatan yang boleh menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara. JAS juga mempertingkatkan penguatkuasaan ke atas pelepasan asap dari kenderaan bermotor dan pelepasan dari industri.

Tindakan di peringkat dua hala (Bilateral)

YB Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar akan menemui rakan sejawatannya di Jakarta, Indonesia pada 26 Jun 2013 (Rabu) bagi membincangkan bentuk kerjasama dalam usaha menangani masalah jerebu merentasi sempadan. Malaysia juga akan terus menggesa Indonesia untuk meratifikasi Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Merentasi Sempadan yang telah diwujudkan semenjak tahun 2002 serta mempertingkatkan keberkesanan tindakan di peringkat tempatannya melalui Pelan Tindakan Indonesia Dalam Menangani Pencemaran Jerebu Merentasi Sempadan.

Nasihat/Makluman

Berikutan cuaca panas dan kering yang sedang dialami Negara, orang ramai terus dinasihatkan supaya tidak melakukan atau menyebabkan pembakaran terbuka. Orang ramai juga diminta bekerjasama untuk memadam kebakaran-kebakaran kecil dan juga melaporkan kes-kes pembakaran terbuka atau kebakaran kepada Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) di talian bebas tol, 1-800-88-2727.

Sumber: Jabatan Alam Sekitar / Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar. - Bernama