Friday, October 21, 2011

UCAPAN PERASMIAN HARI ANUGERAH KOKURIKULUM


UCAPAN PERASMIAN HARI ANUGERAH KOKURIKULUM

SMK DANAU KOTA 2011
PENYAMPAI
:
DATO’MOHD.SHAFIE  ABDULLAH  
KATEGORI
: UCAPAN PERASMIAN
TARIKH
:
21 OKTOBER 2011
HARI
: JUMAAT
MAJLIS
:
HARI ANUGERAH KOKURIKULUM 2011
TEMPAT
:
SMK DANAU KOTA, KUALA LUMPUR
ISU
:
ANUGERAH KOKURIKULUM


TEKS UCAPAN PENUH :

Terima kasih Pengerusi Majlis,

Yang Berusaha, Tn. Hj. Che Yahya Bin Che Soh, Pengetua, SMK Danau Kota.

Yang Dihormati, En. Ko Ah Chie, Naib Yang Dipertua PIBG,
SMK Danau Kota.
Barisan Penolong Kanan,
Barisan Ketua Bidang,
Guru-guru,
Para ibubapa, Dan pelajar-pelajar yang dikasihi sekalian.

Salam Sejahtera, Selamat Pagi dan Salam 1 Malaysia

1) Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana pada pagi yang mulia ini dapat kita bersama-sama menghadiri “Majlis Anugerah Kokurikulum’, SMK Danau Kota bagi tahun 2011. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih atas kesudian pihak sekolah menjemput saya menghadiri majlis yang gilang-gemilang ini. Majlis seperti ini amat baik dijadikan sebagai acara tahunan kerana ianya memberi pengiktirafan kepada mereka yang telah menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam bidang kokurikulum dan juga akademik. Selain memberi pengiktirafan, majlis ini juga turut akan menyuntik semangat kepada pelajar-pelajar lain untuk meningkatkan pencapaian masing-masing.


2) Saya sungguh gembira dan berbesar hati dengan usaha yang ditunjukkan oleh warga sekolah yang telah bersungguh-sungguh menjayakan majlis anugerah ini. Sesungguhnya anugerah seumpama ini telah memberi peluang terbaik kepada pelajar-pelajar, guru-guru dan pihak pengurusan sekolah untuk mempamerkan keupayaan dan kemampuan sebenar pelajar-pelajar kita untuk meraih gelaran di peringkat sekolah, negeri dan kebangsaan. Mencari dan memberi anugerah kepada “Best of the best” sudah pastinya sukar bagi jawatankuasa penilaian. Hanya orang yang benar-benar layak sahaja akan menerima ganjarannya.

Hadirin dan hadirat sekalian,

3) Gagasan 1 Malaysia berteraskan “Rakyat Didahulukan,Pencapaian Diutamakan” merupakan wadah terbaik untuk memperkasa integrasi kaum, etnik dan ras dalam negara. Kita perlu merealisasikan inspirasi negara melalui dasar 1 Murid 1 Sukan bagi memacu kecemerlangan pelajar secara holistik berteraskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (JERI) iaitu kekuatan jasmani, kestabilan emosi, keutuhan rohani dan kematangan intelektual.

4) Keprihatinan kerajaan terhadap pembangunan sekolah dapat dilihat melalui pembentangan Bajet 2012 yang telah memperuntukkan sejumlah dana yang besar kepada institusi pendidikan dengan mengecualikan yuran sekolah rendah dan sekolah menengah serta bantuan kewangan sebanyak RM100 bagi setiap pelajar untuk meringankan bebanan ibu bapa mulai bulan Disember tahun ini yang melibatkan perbelanjaan melebihi RM500 juta merupakan satu langkah pengorbanan oleh kerajaan.

5) Dalam konteks sekolah, pencapaian pelajar mesti di utamakan kerana mereka merupakan aset dan modal insan negara. Pembangunan modal insan (human capital) tidak akan terlaksana sekiranya budaya dan sikap pelajar tidak dibentuk dan diperkasa melalui penyampaian ilmu pengetahuan dan kemahiran yang mereka perlukan kerana sebagai penjawat awam para pendidik memegang amanah yang sangat besar untuk memastikan kelestarian sistem pendidikan negara tetap unggul dan cemerlang.

6) Peranan guru bukan sekadar memindahkan ilmu pengetahuan semata-mata tetapi sebagai obor membentuk minda pelajar menjadi insan berkualiti mempunyai jati diri sebagai warga negara sejati yang bermaruah dan berintegriti.

7) Selaras dengan hasrat KPM untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan, peranan warga guru dalam membangunkan potensi pelajar secara seimbang merupakan tonggak kekuatan negara kerana kemajuan sesebuah negara bergantung kepada bilangan rakyatnya yang mendapat pendidikan secara menyeluruh sesuai dengan matlamat pendidikan “Education For All”.

8) Dalam era globalisasi yang begitu mencabar, peranan pendidik menjadi semakin teruji dengan ledakan pelbagai maklumat dan informasi yang terlalu mudah untuk dicapai. “As a teacher you should prepare yourself with frontier of knowledge especially in ICT to enhance your teaching learning process”. Justeru, saya menyeru semua guru sentiasa peka dan mengikuti perkembangan dunia ICT bagi memperkasa dan meningkatkan kecekapan dalam proses mentransformasikan pendidikan negara menuju wawasan 2020. Kerajaan telah memperuntukan sejumlah dana yang besar bagi melengkapkan sesebuah sekolah dengan kemudahan pusat akses agar pelajar dapat meneroka maklumat dan mampu menguasai pelbagai disiplin ilmu untuk peningkatan ilmu pengetahuan. Kerajaan juga telah memberi ‘notebook’ secara percuma kepada pelajar-pelajar yang telah dikenalpasti perlu diberi bantuan.

9) Akhir sekali, saya berharap anugerah yang diterima akan menjadi pendorong dan perangsang kepada murid-murid manakala guru guru pula perlu terus berusaha untuk melonjakkan kecemerlangan sekolah melalui kerjasama padu berteraskan semangat ‘espirit de corps’ sebagai tonggak kejayaan organisasi.    
Dengan lafaz Bismillahhirrahmannirahim, saya merasmikan          Majlis  Anugerah Kokurikulum SMK Danau  kota,  bagi tahun2011.
Che'Yahya Che' Soh
Pengetua.

No comments:

Post a Comment

Menjana kekuatan organisasi

Organisasi merupakan wadah penyatuan umat yang di asaskan untuk mencapai sesuatu matlamat. Berbagai bentuk organisasi mempunyai tujuan berm...