Khoo Kay Kim
Khoo Kay Kim
 
KUALA LUMPUR - Ramai pelajar kurang berpengetahuan mengenai sejarah negara walaupun berupaya mencatat gred 'A' dalam peperiksaan, kata sejarawan negara Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim.

Tokoh akademik terkenal itu berkata pelajar sekarang belajar sejarah dengan cara menghafal dan bukan memahaminya.

"Pada masa dulu, untuk mendapat 70 markah pun susah, tetapi sekarang mereka boleh dapat 90 ke atas.

"Ramai pelajar sekolah sekadar menghafal esei kerana mereka boleh agak topik apa yang akan keluar dalam peperiksaan," katanya pada pembentangan di 'Second Education Nation Conference', di sini hari ini.

Khoo berkata ramai daripada pelajar bukan saja tidak dapat menghargai sejarah tetapi juga gagal mempelajari sejarah negara yang sebenarnya begitu menarik.

"Bila saya tanya siapakah Tun Tan Cheng Lock, mereka hanya tersenyum dan tidak tahu jawapannya. Malah sesetengah daripada mereka tidak tahu sejarah sekolah sendiri pun. Ini amat menyedihkan.

"Jika anda tahu sejarah, anda akan terkejut dengan bagaimana negara ini boleh terbentuk," katanya.

Katanya guru harus menilai semula peranan mereka dan menjadi tenaga pengajar yang lebih efektif yang dapat bekerja dengan pelajar untuk membangunkan minda bukan sekadar membantu mereka mendapat keputusan 'A' dalam peperiksaan.

"Saya harap sistem pendidikan kita dapat membantu orang muda mengetahui dengan lebih mendalam mengenai negara, mencintai negara ini, sekali gus melakukan lebih banyak kebaikan untuk negara," katanya.

Persidangan dua hari itu dianjurkan Asian World Summit, bertujuan mengumpul pandangan bagaimana institusi pengajian tinggi dapat menyumbang ke arah mewujudkan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan tinggi menjelang 2020, selain memainkan peranan lebih proaktif dalam memastikan lulusannya mempunyai tahap boleh upah lebih tinggi.

Persidangan disertai kira-kira 100 pengamal industri. - Bernama

Sinar Harian online
Selasa 25 Jun, 2013.