Manusia dilahirkan ke muka bumi untuk beribadah kepada Allah dalam setiap keadaan dan suasana.Firman Tuhan: Tidak Ku jadikan Jin dan Manusia kecuali untuk menyembahKU. Beribadah mempunyai skop yang sangat luas iaitu dari sekecil-kecil perbuatan seperti membuang halangan di jalan hinggalah kepada pembentukan sebuah masyarakat, bangsa dan negara yang makmur, sejahtera,berpanjangan. Alam Takambang Manjadi Guru. Demikian bingkisan peninggalan Al Marhum Pak Hamka yang sangat identik dengan hubungan manusia dan alam lingkungan hidup .Pengertian dan makna yang tersirat ialah menjadikan alam luas terbentang sebagai guru untuk manusia mempelajari dan bertadabbur dengan ciptaan Tuhan yang sungguh indah dan sempurna.Merosakan alam ialah perbuatan yang tidak beradab kerana menimbulkan kerosakan kepada ekosistem kehidupan.Melestarikan alam merupakan pekerti terpuji untuk kesinambungan generasi yang mewarisi bumi.
Beradab dengan diri
Adab merupakan peraturan dan akhlak yang mengatur tatalaku kehidupan manusia melalui disiplin kehidupan berdasarkan nilai-nilai yang baik, murni dan sarwajagat.Orang beradab ialah mereka yang mempunyai akhlak terpuji dan keluhuran peribadi.Beradab dengan diri bermakna jujur dan tidak membohongi diri sendiri kendatipun tidak memberikan keuntungan kepadanya.Orang yang beradab dengan diri tidak akan tega berbohong apa lagi menipu kerana perbuatan tersebut akan menghantui diri dengan rasa berdosa (guilty) sepanjang hidup.Beradab dengan diri akan melahirkan individu terpuji yang sentiasa melihat kebaikan sebagai matlamat kehidupan.
Alam dan Manusia
Kemakmuran alam menjadi natijah kehidupan manusia, haiwan dan tumbuhan yang saling bergantung antara satu sama lain.Beradab dengan alam menjadi tanggungjawab manusia sejagat bagi mengekalkan kesegaran oksigen dan pembebasan karbon dioksida yang berlaku setiap saat dalam kehidupan harian. Pembakaran terbuka yang berlaku secara berleluasa merupakan sifat manusia yang tidak beradab dengan alam sehingga mengancam kesejahteraan hidup lingkungan.Tuhan meminta manusia memakmurkan bumi, menyayangi flora dan fauna sebagai khazanah alam yang sangat berharga untuk kesejahteraan manusia dan penghuni bumi lain.
Che'Yahya Che'Soh
Pengetua SMKSB@STAR
Segambut Kuala Lumpur.
Isnin 24 Jun 2013.
Che'Yahya Che'Soh
Pengetua SMKSB@STAR
Segambut Kuala Lumpur.
Isnin 24 Jun 2013.
No comments:
Post a Comment