Saturday, August 17, 2013

Ustaz Azhar Idrus Terbabit Kemalangan, Selamat Dan Tidak Cedera

KUALA TERENGGANU, 17 Ogos (Bernama) -- Penceramah bebas Ustaz Azhar Idrus terbabit dalam kemalangan apabila kereta dipandunya bertembung dengan sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat Kampung Pengadang Baru di sini Sabtu.

Dalam kemalangan kira-kira 7.45 pagi itu Ustaz Azhar dan isterinya selamat dan tidak mengalami kecederaan manakala pemandu sebuah lagi kereta dan anak saudaranya cedera dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Sultanah NurZahirah (HSNZ) di sini.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Zamri Shamsuddin berkata kemalangan itu berlaku ketika Ustaz Azhar atau nama sebenarnya Zamrul Idrus, 49, dan isterinya dalam perjalanan ke Bukit Payung di Marang.

"Ketika tiba di tempat kejadian, kereta jenis Volkswagen Golf GTI yang dipandu Ustaz Azhar bertembung dengan kereta Proton Iswara dari arah bertentangan. Dia dan isterinya tidak mengalami kecederaaan.

"Pemandu kereta Proton Iswara, Che Daek Abdul Rahman, 58, mengalami kecederaan di bahagian dada manakala anak saudaranya, Iskandar Mohd Saidi, 12, bengkak di kepala akibat terhantuk dan luka di tangan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini Sabtu.

Zamri berkata Ustaz Azhar membuat laporan polis pada kira-kira 11 pagi di Balai Polis Trafik Daerah Kuala Terengganu dan telah memberikan keterangan berhubung kemalangan itu.

Sementara itu, Ustaz Azhar ketika ditemui pemberita enggan mengulas berhubung kemalangan itu.

-- BERNAMA
Sabtu 17 Ogos 2013
11 Syawal 1434H

1 comment:

  1. 'Kemalangan' tidak pernah kenal siapa mangsanya. Maka malanglah siapa yang terpilih menjadi mangsanya. Cara terbaik ialah memulakan perjalanan dengan doa dan mengekali zikrullah sepanjang perjalanan. Selamat tiba di destinasi, ucaplah Hamdalah.

    ReplyDelete

Menjana kekuatan organisasi

Organisasi merupakan wadah penyatuan umat yang di asaskan untuk mencapai sesuatu matlamat. Berbagai bentuk organisasi mempunyai tujuan berm...