Saturday, August 17, 2013

Mencari Jejak -Jejak Yang Hilang

Saya menulis pada pagi ini untuk menghimbau kembali sebuah perjalanan suci pada tahun 1994 bersama isteri mengikut arwah bapa mertua Haji Amir Dahlan ke Tanah Suci Mekah Al Mukarramah dan Madinah Al Munawarrah. Rutin amalan semasa hidupnya yang sentiasa berpuasa penuh di Kota Suci ini setiap tahun sehingga lah beliau jatuh sakit berpanjangan dan meninggal dunia pada penghujung tahun 1998. Penerbangan dengan Pesawat  Saudi dari LTAB Subang singgah di Bangkok kemudian terus ke Lapangan Terbang Madinah hampir 11 jam sungguh mengujakan saya dan isteri. Maklumlah kali pertama menjadi tetamu Allah.Sepanjang perjalanan hati saya mudah tersentuh sehingga air mata mengalir deras di ulik rasa hiba. Perasaan  bertambah sayu sebaik saja pesawat mendarat di Lapangan terbang Madinah yang tenang,sejuk dan nyaman. Saya melihat untuk pertama kalinya jabal-jabal Madinah seolah-olah seperti segerombolan unta yang sedang tidur membanjari Lapangan terbang. Sesudah menunaikan Solat Fajar kami menuju Kota Madinah sambil membaca selawat ke atas Nabi saw dan berdoa dengan ' Allahumma Haazaa Haramu Rasuulika Faj'Alhuli Waqayatan Minannar Wa amaa natan Minal 'Azab Wasuuil Hisaab'.

Melihat Masjid Nabi saw

Pertama kali melihat Masjid Nabawi secara terus (live) sangat meruntun jiwa. Hati terlonjak gembira berbaur sayu sebak tak terkata sebaik masuk ke Raudah Nabi saw yang terdiri dari taman-taman syurga untuk menunaikan solat. Jemaah tak pernah lengang dari tempat ini. Berhimpit berlaga lutut dan kaki menjadi lumrah kerana masing-masing tidak mahu melepaskan peluang untuk mengabdikan diri di tempat yang sangat istimewa di muka bumi ini.Sebaik selesai solat,secara perlahan kami bergerak ke makam Nabi saw menyampaikan salam kepada Baginda, di ikuti Sayidina Abu Bakar As Siddiq dan Umar Al Khatab Ra,kemudian memalingkan badan ke arah kiblat mengangkat kedua tangan mengharapkan keampunan dari Allah swt.Perasaan di gamit sayu terus mencengkam diri sebaik menziarahi penghuni  Baqi' yang menempatkan para sahabat, kaum keluarga dan muslimin muslimat Madinah yang hidup sezaman dengan Baginda Nabi saw pada  awal kebangkitan Islam. Sukar mencari jejak peninggalan sejarah ke atas para sahabat dan  kaum keluarga kerana semua kubur tidak bertanda hanya batu nesan yang kelihatan hidup dan masih  baru walau pun sudah berkurun menjadi penghuni Jannatul Baqi'.
 http://www.albaqeea.com/baqee_photos/images/21.jpg

Makam keluarga Nabi saw di Jannatul Baqi'
Sumber gambar:Blog peribadirasulullah saw

Sukar mencari kesan sejarah

Ketika mula menjejak kaki di Tanah Suci saya melihat masih terdapat lagi kesan sejarah  secara dekat tetapi kini sudah banyak terhakis kerana pembesaran Masjid Nabi saw. Bagi mereka yang berkunjung ke Madinah dan Mekah suasana kini terlalu jauh berubah.Bukit Uhud tempat Penghulu Syuhada Hamzah Abi Thalib bapa saudara Nabi sudah di pagar, dulu saya sempat masuk ke dalam pekarangannya melihat sendiri makam beliau bersama puluhan sahabat yang gugur syahid semasa perang uhud sambil mengucap salam dan berdoa dengan selesa tanpa sebarang gangguan.Di mana letaknya Parit (Khandak) sukar di kesan kecuali bagi mereka yang benar-benar arif dengan sejarah Madinah, begitu juga dengan lokasi sebenar Masjid tujuh yang masyhur dalam sejarah kemercuan Islam zaman Khalifah hilang bersama arus pembangunan kota Madinah.

 

Makam Sayyidina Hamzah Abd. Mutalib bapa saudara
Nabi saw di Jabal Uhud penghulu Syuhada gugur kerana Islam 
Sumber gambar: arminarekasurabaya.wordpress.com

Menuju Mekah Al Mukarramah

Setelah beberapa hari di Madinah kami bertolak ke Mekah dengan pesawat Saudi mengenakan ihram. Sebaik tiba di Jeddah sebuah pacuan empat roda menunggu membawa kami ke Mekah Al Mukarramah.Kami tinggal di belakang Hotel Darussalam (sekarang sudah tiada lagi) rumah sewa Che Daud Pattani (Che Oud). Sebaik tiba kami berehat sebentar kemudian mengerjakan umrah pertama kali di Tanaim. Hati bertambah syahdu dan bergetar buat pertama kali melihat Kaabah dalam sejarah hidup saya.Kesempatan berziarah di Arafah saya melihat pokok- pokok yang baru di tanam dan masih terasa kepanasan membahang di Jabal Rahmah. Ketika itu tinggal beberapa hari saja lagi umat Islam akan menyambut Ramadhan.Kami tidak melepaskan peluang memaksimakan masa di Mekah menggunakan setiap waktu beribadah di Masjidil Haram.Masa itu telaga Zamzam bawah tanah masih belum di tutup dan jemaah boleh berwudhu di situ.Begitu juga dengan batu-batu di Bukit Soffa dan Marwah tempat saie masih asli tidak seperti sekarang di simen.Masjid Kucing dan Masjid jin sudah tiada lagi.Pasar Seng yang menjadi persinggahan para jemaah sebaik pulang dari Masjid telah lenyap. Kenangan di tempat ini sungguh menyentuh perasaan bagi mereka yang telah mengunjungi Tanah Suci awal tahun 1980an dan 1990an. Generasi muslim terkemudian  mungkin hanya mengetahui melalui cacatan sejarah sahaja mengenai Bumi Barakah ini. Ketika ini yang masih ada ialah Maktabbah Nabi saw ,sementara tempat bersejarah lain sudah lenyap bersama pembesaran Masjid Haram untuk menampung ledakan jemaah jutaan orang setiap tahun.

Habis Thowaf Ke Air Zamzam Th 1970














Telaga Zamzam bawah tanah.
Sumber gambar:abizakii.wordpress.com

Membaca sejarah

Bumi Mekah menjadi tumpuan segenap lapisan manusia sejak berzaman.Setiap orang bercita-cita untuk sampai ke sini walau pun sekali dalam seumur hidup. Sejarah Mekah yang panjang menjadi saksi kebenaran wahyu Tuhan yang di sampaikan kepada NabiNya Ibrahim As supaya menyeru manusia berhaji dan mengerjakan umrah.Nabi Ibrahim naik ke Jabal Qubis sambil mengangkat tangannya ke arah Kaabah menyeru manusia dan di dengar oleh para Roh dengan Izin Tuhan. Jabal Qubis berdekatan Masjidil Haram yang kini menempatkan Istana Kerajaan Arab Saudi.Peristiwa Nabi saw membelah bulan dengan mukjizat dari Allah swt juga berlaku di Jabal ini kerana desakan Musyrikin Mekah yang  mencabar Nabi saw. Berkat doa Nabi Ibrahim As , Mekah tidak pernah putus dengan manusia berbondong-bondong mengunjungi Baitullah dari segenap pelosok dunia.Kini Masjidil Haram bertukar wajah. Sebuah jam besar dengan kalimah Allah swt berdiri gagah melepasi Ka'abah boleh di lihat dari jarak 800 meter menjadi mercu tanda Kota Mekah.Membaca sejarah mengenai perkembangan Mekah  sebagai sebuah Kota Suci yang menjadi ikon dan Qiblat  umat Islam bukan sahaja menambah perbendaharaan ilmu malah menjadi umat yang dekat dengan Tuhan kerana kedua-dua Kota Suci ini lah wahyu di turunkan kepada Nabi Saw mengajak manusia mentauhidkan Allah swt sehingga Islam tersebar ke seluruh dunia.Mencari jejak-jejak peninggalan Rasulullah saw sungguh sukar kerana sudah semakin pupus malah hampir lenyap di telan pembangunan.




Wajah Mekah sekarang
Sumber gambar:niknasri.com





Wallahua'lam
Sorotan pagi.

Che'Yahya Che'Soh
Ahad 18 Ogos,2013
11 Syawal 1434 H

Mencari jejak- jejak yang hilang


"W 




2 comments:

  1. Mohon izin Tuan untuk berkongsi link berkaitan artikel ini di sini:

    http://www.niknasri.com/?p=5400

    Semoga kita semua beroleh manfaat yang banyak.

    ReplyDelete

Menjana kekuatan organisasi

Organisasi merupakan wadah penyatuan umat yang di asaskan untuk mencapai sesuatu matlamat. Berbagai bentuk organisasi mempunyai tujuan berm...