Thursday, August 29, 2013

Orang Asli Kenal Erti Kemerdekaan



Kanak-kanak Orang Asli - Gambar Hiasan
Oleh Sakini Mohd Said

KUALA LUMPUR,(Bernama) -- Menjelangnya hari kemerdekaan yang diraikan pada setiap 31 Ogos, kemeriahan sambutannya turut diiringi dengan pelbagai acara yang kebanyakannya tertumpu di kawasan bandar.

Bagaimana pula dengan mereka yang tinggal di kawasan pedalaman? Adakah mereka 'dipinggirkan' ketika mana negara menyambut ulangtahun kemerdekaan?

Ketika penulis menyertai ekspedisi 'Journey of Milk' di Kelantan baru-baru ini, anjuran Dutch Lady Milk Industries Bhd (Dutch Lady Malaysia) ke Sekolah Kebangsaan Seri Permai, Kampung Pasik, dekat Gua Musang, ia menjadi satu daripada isu yang terdetik di fikirannya.

Akses perhubungan ke kawasan Orang Asli di Kampung Pasik, di kawasan hutan simpan Gunung Stong selatan, bukanlah mudah kerana kawasan berkenaan hanya boleh dihubungi dengan 'dunia luar' melalui jalan balak.

SENOI PRAAQ

Tetapi benarkah Orang Asli di kawasan pedalaman benar-benar dipinggirkan daripada sambutan itu?

Menurut Guru Besar Sekolah Kebangsaan Seri Permai, Kampung Pasik Wan Rusli Wan Ahmed, penduduk kampung Orang Asli ini memang mengetahui erti Merdeka.

"Bila ditanya samada mereka faham apa itu kemerdekaan, mereka (kanak-kanak Orang Asli) berkata datuk moyang mereka menganggotai pasukan 'Senoi Praaq' dan bersama-sama menentang komunis," katanya.

Senoi Praaq, telah diasaskan oleh Ketua Jabatan Orang Asli, Richard Noone pada Mei 1956 dengan kekuatan 10 Orang Asli bertujuan menghapuskan ancaman komunis dalam kalangan masyarakat itu di hutan.

Kini, unit ini yang diletakkan di bawah Pasukan Gerakan Am (PGA) masih berfungsi mengekalkan keamanan negara daripada ancaman musuh.

ORANG ASLI DAN MERDEKA

Wan Rusli berkata di kawasan pedalaman, sekolah memainkan peranan penting dalam menyebarkan informasi mengenai tokoh kemerdekaan dan sejarah negara dalam pengajaran.

Biarpun berada jauh di kawasan pedalaman, beliau bersama guru lain akan mengadakan sambutan hari kemerdekaan setiap tahun dalam menyemarakkan semangat patriotik masyarakat Orang Asli di kawasan itu.

"Menjadi tanggungjawab kami (guru-guru) menerapkan nilai kerohanian, semangat sayangkan negara. Selain murid-murid, ibu bapa mereka juga dijemput hadir," katanya.

Antara aktiviti dilakukan adalah ceramah kemerdekaan, perarakan Jalur Gemilang, jamuan rakyat dan persembahan bertemakan kemerdekaan.

SAMBUTAN

Hussein Ngah Yin, 60, pula berpendapat bahawa masyarakat Orang Asli tahu maksud Merdeka.

"Suasana (sambutan) di kawasan tempat tinggal Orang Asli yang jauh di pedalaman nampak agak malap, tetapi mereka (Orang Asli) ingat 31 Ogos dan tahu apakah maksud 'Merdeka', Hussein dari suku kaum Temiar memberitahu Bernama.

Hussein, yang kini menetap di kawasan hampir dengan bandar, Bukit Kala, Batu 12, Gombak dekat sini sering pulang ke kampungnya di kawasan pedalaman yang terletak di Kampung Ulu Cenein, Sungai Siput utara Perak.

Daripada pengamatannya, masyarakat kampungnya itu amat maklum akan maksud hari kemerdekaan negara biarpun tinggal jauh daripada masyarakat luar.

Hussein, yang juga ketua masyarakat Orang Asli Bukit Kala, Gombak, adalah penerima anugerah Maulidur Rasul Kebangsaan 2012.

Beliau menasihati masyarakat Orang Asli agar tidak sekali-sekali menderhakakan nikmat kemerdekaan itu.

Bukan mudah perjuangan masyarakat terdahulu mendapatkan kemerdekaan dan diteruskan dengan kepimpinan hari ini dalam memberikan kehidupan bermakna kepada generasi sekarang termasuklah Orang Asli.

"Sudah ramai Orang Asli berjaya. Ada memegang jawatan tinggi dan sudah berapa ramai anak-anak Orang Asli yang berjaya melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat tertinggi," katanya

KURSUS PENJAGAAN KESIHATAN

Nikmat kehidupan yang dikecapi Hussein hari ini juga bermula apabila beliau dan beberapa masyarakat Orang Asli seluruh negara telah terpilih mengikuti kursus perubatan dan kesihatan pada tahun 1969.

Ketika itu, beliau masih muda dan kehidupan Orang Asli kaum Temiar di kampungnya tidak mengenali suku lain. Kebiasaannya, penempatan masyarakat Orang Asli di sesuatu kawasan itu hanya dikelilingi oleh kaum mereka sahaja.

Difahamkan, terdapat 18 suku kaum masyarakat Orang Asli antaranya Semai, Jakun dan Senoi.

Namun, semuanya berubah apabila beliau dan suku kaum lain ditempatkan di Bukit Kala, Gombak dan dilantik sebagai Pembantu Pembangunan Masyarakat di Hospital Orang Asli (ketika itu dikenali sebagai Rumah Sakit Orang Asli) sebaik sahaja kursusnya selesai.

"Dengan usaha kerajaan, kami telah dibawa keluar dari kawasan pedalaman dan mendapat kerja di sektor kerajaan. Usaha ini amat bermakna, kerana ia telah mengintegrasikan masyarakat Orang Asli daripada 18 kaum," katanya.

Sebagai Pembantu Pembangunan Masyarakat, Hussein telah dihantar berkhidmat di kawasan pedalaman masyarakat Orang Asli selama tiga bulan. Tugasnya ketika itu adalah merawat penyakit ringan serta menghubungi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk mendapatkan bantuan helikopter bagi penyakit serius.

"Kesetiaan masyarakat Orang Asli kepada negara adalah tidak berbelah bahagi. Selain memberikan rawatan, kami juga mendaulatkan kemerdekaan diperoleh dengan bertindak sebagai 'mata kerajaan' mengenai ancaman komunis di kawasan pedalaman," katanya.

Selain itu, tugas Hussein juga memerlukan beliau berperanan sebagai agen penyampai dasar kerajaan dalam memenangi hati masyarakat Orang Asli supaya tidak terpengaruh dengan dakyah komunis.

MENAMBAT HATI MELALUI NYANYIAN

Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), sebagai sebuah penggerak memajukan Orang Asli sentiasa memastikan masyarakat minoriti itu tidak dipinggirkan dalam sambutan hari kebangsaan.

Ini termasuklah mengadakan sambutan itu di kawasan pedalaman, mengagihkan Jalur Gemilang, melibatkan mereka dalam perbarisan kemerdekaan peringkat negeri, kembara Merdeka raya dan pertandingan karaoke.

"Orang Asli memang minat karaoke. Jadi, kita tarik minat dengan menyanyikan lagu-lagu patriotik. Liriknya itu membantu mereka memahami lebih erti kemerdekaan," kata Ketua Pengarah Jakoa Datuk Mohd Sani Mistam.

Walaupun 'jauh' dan dipisahkan oleh struktur muka bumi, namun masyarakat Orang Asli tetap menghargai nikmat kemerdekaan. Ini kerana setiap kali sambutannya di kawasan pedalaman ia tidak pernah menghampakan, kata Mohd Sani.

-- BERNAMA

Jumaat 30 Ogos,2013.

No comments:

Post a Comment

Menjana kekuatan organisasi

Organisasi merupakan wadah penyatuan umat yang di asaskan untuk mencapai sesuatu matlamat. Berbagai bentuk organisasi mempunyai tujuan berm...