Askar kena tembak di sempadan: Penembak guna 'pistol kerbau'  
Penduduk menunjukkan pagar yang dipotong ketika tinjauan keadaan sempadan Thailand-Malaysia di pinggiran Pekan Danok, semalam.
 
Polis Thailand percaya insiden didalangi tekong darat

Dannok (Selatan Thailand): Polis Diraja Thailand (RTP) yakin insiden tembakan di sempadan Malaysia-Thailand yang mencederakan seorang anggota tentera negara di Bukit Kayu Hitam, Kedah, kelmarin didalangi tekong darat.

Malah, pihak berkuasa Thailand juga percaya senjata api digunakan dalam kejadian itu jenis buatan sendiri yang dikenali masyarakat tempatan sebagai ‘pistol kerbau’ dan sememangnya popular dalam kalangan penyeludup di sekitar negara ini.

Sumber RTP berkata, maklumat diterima sekarang menjurus ke arah pembabitan tekong darat, apatah lagi lokasi kejadian di kawasan yang sering menjadi laluan kumpulan itu untuk membawa masuk pendatang asing tanpa izin ke Malaysia, selain kecederaan mangsa akibat kesan peluru penabur yang selalu digunakan pistol kerbau.

“Kita masih siasat dengan kerjasama rakan sejawat di Malaysia untuk kenal pasti lebih tepat identiti penembak. Kita juga tak tolak kemungkinan penembak mungkin bukan menyasarkan anggota tentera berkenaan, sebaliknya melepaskan tembakan selepas terkejut sebaik terserempak dengan pihak berkuasa,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Dimiliki secara haram

Katanya, pistol kerbau dimiliki secara haram oleh masyarakat tempatan untuk tujuan berburu, selain turut diguna penjenayah termasuk penyeludup dan tekong darat untuk perlindungan ketika menjalankan operasi haram mereka di sempadan Malaysia-Thailand.

“Pistol kerbau memang biasa di Thailand, guna peluru senapang patah termasuk jenis penabur dan boleh dibeli dengan mudah daripada pembuat dari sekitar utara Thailand dengan harga hanya RM200 ke atas,” katanya sambil tidak menolak kemungkinan senjata api itu turut dibawa masuk ke Malaysia.

Sementara itu, tinjauan BH di kawasan pagar sepanjang garisan sempadan Malaysia-Thailand di sekitar pekan ini semalam, mendapati keadaan kawasan terbabit yang bersempadan dengan laluan keselamatan dikawal pihak berkuasa Malaysia sememangnya amat strategik untuk penyeludup termasuk tekong darat beroperasi.

Ini kerana, selain dipenuhi semak dan hutan kecil, kedudukan pagar yang begitu hampir dengan kampung memudahkan penyeludup menceroboh sempadan dengan berselindung di sebalik semak atau rumah. Malah, beberapa lubang rahsia pada pagar sempadan dipercayai kesan lorong tikus turut ditemui, disyaki menjadi laluan penyeludup.

Sebelum ini, Bukit Aman mendedahkan lebih 300 lorong tikus dikesan di seluruh negara yang menjadi tumpuan penyeludup. Hampir separuh daripadanya dikesan di sempadan Malaysia-Thailand, majoriti di sekitar laluan keselamatan sepanjang 94 kilometer dari Bukit Tangga, Kedah ke Wang Kelian, Perlis.

Pertingkat keselamatan

Di Kangar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim, berkata kekuatan anggota keselamatan yang mengawal sempadan negara termasuk yang berjiran dengan Thailand perlu dipertingkatkan bagi menghalang sebarang pencerobohan daripada anasir jahat termasuk penyeludup.

“Saya cadangkan kerajaan menambah bilangan anggota ketika membuat rondaan khasnya di sempadan Malaysia-Thailand. Kita sedar sebelum ini ada barang diseludup melalui pagar sempadan membabitkan minyak, gula dan beras. Namun, kita khuatir kegiatan itu lebih serius, mungkin senjata api, manusia dan lain-lain barangan berbahaya,” katanya.

Berita Harian online
Isnin 12 Ogos,2013