Wajib lulus BI perlu persiapan rapi
Kota Kinabalu: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, cadangan
mewajibkan lulus subjek Bahasa Inggeris (BI) bagi melayakkan calon
Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menerima sijil penuh, akan dilaksanakan
apabila pelajar dan guru bersedia sepenuhnya.
Timbalan Perdana Menteri berkata, Kementerian Pelajaran akan memastikan sistem serta peralatan pengajaran dan pembelajaran lengkap sebelum cadangan itu dilaksanakan selain guru opsyen mata pelajaran berkenaan diberi latihan secukupnya.
Timbalan Perdana Menteri berkata, Kementerian Pelajaran akan memastikan sistem serta peralatan pengajaran dan pembelajaran lengkap sebelum cadangan itu dilaksanakan selain guru opsyen mata pelajaran berkenaan diberi latihan secukupnya.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, ia sebahagian usaha kerajaan memperkasakan pendidikan dan modal insan menerusi inisiatif Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.
“Walaupun pengajaran Bahasa Inggeris sudah baik berbanding negara lain, ada yang kata ia perlu ditingkatkan ke tahap lebih baik. Sehubungan itu, kerajaan merangka pelan supaya kelulusan pelajaran Bahasa Inggeris peringkat SPM jadi perkara yang wajib dan mandatori.
“Jadi, kita perlu menentukan (terlebih dulu) guru opsyen Bahasa Inggeris menguasai bahasa itu sepenuhnya setanding dengan negara maju di dunia,” katanya pada program Himpunan Guru Muda 1Malaysia (GM1M) 2013 Zon Sabah dan Labuan di Dewan Kompleks Sukan Likas di sini, semalam.
Ketika ini calon SPM tidak disyaratkan lulus Bahasa Inggeris walaupun diajar sebagai satu mata pelajaran wajib di sekolah, selain diiktiraf bahasa kedua di negara ini.
Sebelum ini, Muhyiddin dilaporkan berkata, kementeriannya sedang meneliti prestasi pencapaian pembelajaran bahasa itu menerusi jawatankuasa yang ditubuhkan sebelum keputusan sama ada ia akan dijadikan subjek wajib lulus diputuskan kerajaan.
Beliau berkata, kerajaan pada masa sama tidak mengabaikan mata pelajaran teras lain khususnya Bahasa Malaysia, Matematik dan Sains yang penting dalam mencapai sasaran melahirkan modal insan terbaik dan berdaya saing di peringkat dunia.
“Menerusi PPPM, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memperuntukkan RM500 juta untuk melatih guru empat mata pelajaran terbabit, namun subjek lain juga tetap diberi perhatian dan akan dilaksanakan (program latihan guru) pada masa akan datang,” katanya.
Peranan guru muda
Beliau berkata, dalam menjayakan PPPM yang dianggap usaha berani kerajaan dalam transformasi pendidikan, peranan guru termasuk guru muda penting kerana mereka yang akan menggerakkan hala tuju dihasratkan kerajaan.
Muhyiddin turut memuji serta merakamkan penghargaan kepada guru di Sabah yang sanggup berdepan pelbagai cabaran untuk mendidik anak bangsa.
Sementara itu, ketika menutup sambutan Hari Wilayah Persekutuan di Dataran Labuan, malam tadi, Muhyiddin berkata, pelbagai inisiatif sudah dijana dan dilaksanakan kerajaan di Labuan bagi memastikan warganya menikmati manfaat yang besar.
Timbalan Perdana Menteri, berkata enam inisiatif sudah dilaksanakan di Labuan bagi memastikan kesejahteraan hidup penduduk pulau berkenaan.
Antaranya projek rumah mampu milik, mengurangkan kos atau harga barangan yang tinggi, mengurangkan kesesakan, pelaksanaan projek pembangunan, menjadikan Labuan destinasi pelancongan terkemuka serta sebagai pusat perdagangan industri minyak dan gas antarabangsa.
“Contohnya, kesan daripada inisiatif minyak dan gas, kerajaan mengunjurkan dapat menarik pelaburan swasta sebanyak RM2.4 bilion yang mampu mewujudkan 3,029 pekerjaan.
“Usaha ini akan membolehkan Labuan muncul sebagai sebuah hab minyak dan gas yang terulung di rantau ini,” katanya.
Berita Harian Online 24 Februari,2013
Che'Yahya Che'Soh
Pengetua SMKSB@STAR
Kuala Lumpur.
24 Februari,2013.
No comments:
Post a Comment