Friday, February 22, 2013


Sistem masyarakat hancur jika tiada keadilan, kebenaran

Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi 
Kebenaran dan keadilan ialah dua istilah yang sentiasa berpasangan. Jika kebenaran tersingkap, maka wujudlah keadilan. Sebaliknya jika kebenaran diselindung dan dimanipulasi, maka keadilan tidak akan wujud selamanya.

Dalam konteks kelangsungan peradaban dan kemajuan sesebuah bangsa berdaulat, kebenaran dan keadilan dalam aspek perundangan serta pemerintahan satu kemestian. Inilah ditegaskan oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW kepada umatnya. 
 
Sekiranya perundangan tidak dilaksanakan dengan telus, kebenaran pula dimanipulasi dan keadilan dikesampingkan, maka ia adalah detik-detik kehancuran peradaban manusia. Masyarakat tidak lagi percaya dan yakin dengan sistem perundangan yang rosak serta pemerintahan yang zalim.

Allah SWT berfirman bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Kalau orang itu kaya atau miskin maka Allah lebih tahu keduanya. Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu untuk berbuat tidak adil. Dan jika kamu memutar belitkan keterangan ataupun enggan (menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Nisa, ayat 135)
Natijahnya masyarakat akan menyelesaikan masalah masing-masing dengan caranya tersendiri seperti pemberontakan, pengeboman, keganasan dan demonstrasi secara kekerasan. Justeru, ada dua persoalan penting wajar diberikan perhatian demi kelangsungan peradaban manusia berpaksikan kebenaran dan keadilan.

Pertama, komitmen dan sokongan padu semua pihak bermula daripada orang perseorangan hingga pemimpin tertinggi yang memegang tampuk pemerintahan negara untuk menjunjung tinggi kebenaran dan keadilan.

Sehubungan itu, seorang hakim diwajibkan menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan ketika berada di kamar penghakiman serta tidak boleh sama sekali bersikap berat sebelah, apatah lagi menerima rasuah untuk menyeleweng daripada kebenaran.

Saksi perlu jujur

Begitu juga seorang saksi dalam mahkamah hendaklah menjadi saksi yang jujur dan bukannya saksi palsu yang sanggup menerima rasuah untuk menutup kebenaran demi menjaga kepentingan pihak-pihak tertentu.

Allah SWT berfirman bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Kalau orang itu kaya atau miskin maka Allah lebih tahu keduanya. Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu untuk berbuat tidak adil. Dan jika kamu memutar belitkan keterangan ataupun enggan (menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Nisa, ayat 135)

Rasulullah SAW bersabda: “Di antara dosa besar yang paling besar ialah bersaksi palsu.” (Riwayat Bukhari)

Kedua, pemimpin sesebuah jabatan dan masyarakat mestilah dipilih daripada kalangan yang bersih hati nuraninya, jujur peribadinya, berakhlak mulia dan tegas dalam keputusannya. Ciri-ciri pemimpin inilah mampu menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan dalam kehidupan semasa.

Jika tidak, sudah pasti kebenaran tidak dapat ditegakkan, keadilan pula tidak dapat dilaksanakan kerana pemimpin terbabit pelbagai jenayah sosial seperti menerima rasuah, mengamalkan kronisme dan sebagainya.

Rasulullah bersabda: “Jika hilang sifat amanah, maka nantilah kedatangan kiamat. Sahabat bertanya: Bagaimana dia akan hilang? Ujar Rasulullah: Jika diserahkan sesuatu urusan umat kepada orang yang bukan ahlinya, maka nantilah kedatangan hari kiamat.” (Riwayat Bukhari). 
 
Berita Harian Online 18 Februari,2013. 
 

Che'Yahya Che'Soh
Pengetua SMKSB@STAR
Kuala Lumpur.
23 Februari,2013.

No comments:

Post a Comment

Menjana kekuatan organisasi

Organisasi merupakan wadah penyatuan umat yang di asaskan untuk mencapai sesuatu matlamat. Berbagai bentuk organisasi mempunyai tujuan berm...