Monday, February 11, 2013

Victory Sebagai Jendela Ilmu



Saya menulis dalam Victory sebagai  jendela ilmu untuk perkongsian minda bersama pembaca yang sempat melayari laman ini. Dinamakan Victory kerana banyak kompilasi pengalaman menarik, suka duka yang dilalui sebagai seorang pendidik,pentadbir dan pengurus pendidikan yang telah berkecimpung dalam dunia ilmu sejak beberapa dasawarsa untuk menyumbang khidmat bakti kepada masyarakat tanpa mengira kaum,etnik,ras dan agama.Tujuan pendidikan ialah melahirkan modal insan berilmu,mempunyai kemahiran dan kecekapan untuk kesejahteraan hidup.Tugas guru tidak hanya di bilik darjah melaksanakan masa instruksional semata-mata tetapi menjadi obor pembentukan nilai budaya pelajar bersandarkan konsep kemurnian ilmu sebagai sarana pendidikan untuk melahirkan insan berintegriti.Justeru pendidik perlu mempamerkan sikap dan disiplin yang tinggi dalam setiap tatalaku sebagai model ikutan pelajar walau pun menghadapi beban tugas yang banyak.













Sumber:deriakacamata.blogspot


Manusia berintegriti

Membangun potensi pelajar menjadi manusia berintegriti menjadi agenda pokok dalam pendidikan. Proses pengajaran dan pembelajaran yang berlaku seharusnya menjadi wahana penunjang kearah pembentukan pemikiran pelajar berbudaya ilmu,luhur budi pekerti sebagai mauduk pendidikan negara. Sangat malang sekali setiap tahun peperiksaan(PMR,SPM,STPM) kita menghasilkan ratusan pelajar cemerlang namun kecemerlangan yang diperolehi tidak mampu merobah persepsi dan keyakinan  diri untuk mendepani cabaran kehidupan.Ketidakmampuan untuk berhujah dan melontarkan idea bernas kerana gagal menguasai perbendaharaan ilmu sebagai konsekwensi kurangnya pembacaan dalam kalangan generasi muda baik diperingkat menengah hingga ke Institusi Pendidikan Tinggi.Saya tidak mempunyai perangkaan yang autentik kadar peratusan masyarakat Malaysia yang menjadikan budaya membaca dan menulis sebagai rutin hidup mereka seharian tetapi dari tinjauan rambang sangat kecil bilangan orang kita yang suka membaca.



 

 SMKSB@STAR Fabrik ilmu
 
Membaca jambatan ilmu

Membaca menjadi jambatan ilmu  untuk memperkasa pemikiran. Banyak membaca mencerdas minda dan meluaskan nuansa logika diri. Orang yang banyak membaca memiliki khazanah ilmu pengetahuan yang sangat berharga untuk dirinya .Masyarakat awam turut sama mendapat manfaat hasil cetusan idea yang dicurahkan untuk kebaikan umat manusia sejagat.Indahnya ilmu sebagai sinar cahaya yang menyuluh jalan kehidupan menjadi Furqan (pembeza) antara yang hak dan bathil.Berfikir secara kritis dan konstruktif seharusnya menjadi budaya orang berilmu yang mampu diterjemahkan dalam setiap tindakan,bukannya menjadi pengikut  secara membuta tuli yang perlu dihindarkan. Kebobrokan nilai dan joroknya tingkahlaku masyarakat mutakhir ini kerana gagal mengadaptasi lmu dalam kehidupan. Jernihnya pemikiran kerana memiliki ilmu yang dapat menilai seni kehidupan bermula dari diri sendiri Ibda' binaffsi' , seterusnya institusi keluarga, masyarakat dan negara mendapat limpahan rahmat dari Allah SWT sebagai tempat pergantungan  hidup sekelian makhluk di bumi.


Che'Yahya Che'Soh
Pengetua SMKSB@STAR
Segambut Kul.
Selasa 12 Februari,2013.

No comments:

Post a Comment

Menjana kekuatan organisasi

Organisasi merupakan wadah penyatuan umat yang di asaskan untuk mencapai sesuatu matlamat. Berbagai bentuk organisasi mempunyai tujuan berm...