Thursday, February 28, 2013

Antara Bobrok,Jelek dan Jorok

Dalam kehidupan yang penuh dengan materialistik,berbagai peristiwa jelek berlaku di tengah-tengah masyarakat kerana pengaruh  hedonisma yang sungguh menggerunkan. Penculikan,pembunuhan, pemerkosaan, penderaan kanak-kanak,membuang zuriat umpama sampah sarap sangat menghantui kehidupan umat manusia mutakhir ini.Kekacauan jiwa dan runtuhnya nilai-nilai agama menyebabkan sesetengah manusia bertindak di luar batas manusiawi.Kejadian ragut sehingga membawa maut kepada mangsa merupakan fenomena biasa yang kita saksikan pada hari ini sehingga mengundang rasa cemas dalam kalangan ibu bapa membiarkan anak-anak mereka bersendirian ke pejabat dan ke sekolah. Di mana nilai-nilai keinsanan kita? Mengapa perkara-perkara jelek ini terus bermaharajelela?

Syaitan musuh manusia

 Musuh utama manusia ialah SYAITAN yang sentiasa membisikan kejahatan kepada kita. Syaitan yang terdiri dari golongan IBLIS menjelma dalam berbagai bentuk dan keadaan. Kepada orang alim dibisikan dengan perkataan yang manis-manis dan pujian sehingga menimbulkan penyakit riak, kagum dengan diri sendiri,merasakan diri lebih mulia daripada orang lain sehingga akhirnya kita lupa diri terjerumus dengan perangkap Iblis yang sentiasa mencari kesempatan untuk bersama mereka di Neraka Allah.Semoga Allah SWT memelihara dari godaan syaitan terkutuk.

Memperkukuh modal sosial

Modal sosial dalam kalangan masyarakat sekarang semakin rapuh kerana tidak mahu dikatakan menjaga urusan orang lain,mungkin juga takut menanggung risiko jika turut terbabit menolong orang lain.Kesibukan mengejar tuntutan duniawi mencari modal ekonomi menyebabkan orang lupa memenuhi tanggungjawab membentuk  modal insan yang seimbang dalam kehidupan. Jika kita berfikir dengan minda yang jernih tanpa sebarang prejudis , amalan membantu dan bekerjasama dalam membuat  kebaikan dan mencegah kebobrokan sangat dituntut oleh Agama. Kembali kepada fitrah kehidupan manusia sebagai makhluk sosial , adalah menjadi fardhu kifayah kepada kita untuk bersama mencegah kemungkaran yang berlaku dalam kalangan masyarakat tanpa mengira ras,etnik dan agama.

Tingkah laku jorok

Kemuliaan peribadi seseorang bergantung kepada kekuatan dalaman yang di miliki iaitu kejernihan minda yang di pupuk melalui asas keagamaan  untuk menghindari tingkahlaku jorok  (kotor) yang  boleh menghancurkan kehidupan insan. Paradok berlaku antara memenuhi tuntutan modenisasi dan dalam masa yang sama memelihara kemuliaan keturunan iaitu nasab manusia. Bagi melestarikan kehidupan yang suci bersendikan syarak bertunjang  Agama , menjadi tanggungjawab sosial setiap ahli masyarakat menangani kebobrokan,kejelekan  dan kejorokan yang melampaui batas untuk kelangsungan hidup generasi .



Che'Yahya Che'Soh
Pengetua SMKSB@STAR
Kuala Lumpur.
Khamis, 28 Februari,2013.

No comments:

Post a Comment

Menjana kekuatan organisasi

Organisasi merupakan wadah penyatuan umat yang di asaskan untuk mencapai sesuatu matlamat. Berbagai bentuk organisasi mempunyai tujuan berm...