Sekolah swasta halang realisasi aspirasi nasional
Ketibaan tahun persekolahan 2014 memperlihat kemunculan beberapa
sekolah swasta sebagai tambahan kepada sejumlah besar yang sedia ada.
Perkembangan begini sebetulnya memperlihat kepincangan pada sekolah
kerajaan khasnya dan sistem pendidikan negara amnya.
Sekolah swasta yang dikehendaki menggunakan kurikulum kebangsaan, pada teorinya tidak ada beza dengan sekolah kerajaan. Namun, ia mendapat sambutan daripada bukan sahaja mereka yang berada tetapi juga sebaliknya.
Sekolah swasta yang dikehendaki menggunakan kurikulum kebangsaan, pada teorinya tidak ada beza dengan sekolah kerajaan. Namun, ia mendapat sambutan daripada bukan sahaja mereka yang berada tetapi juga sebaliknya.
Antaranya kerana mutu pendidikan lebih baik berikutan saiz kelasnya
lebih kecil, kemudahan persekolahan yang serba lengkap dan canggih serta
sistem keselamatan lebih terjamin.
Selain itu, apa yang menjadi tarikan utama ialah cara penyediaan pelajar agar mereka mempunyai daya saing sebagai warga global pada abad ke-21 ini.
Untuk itu, bahasa Inggeris adalah bahasa perhubungan luas di sekolah swasta. Dalam erti kata lain, ia bukan sekadar membekalkan persekitaran berbahasa antarabangsa itu tetapi tempat berbahasa Inggeris itu sendiri.
Untuk ini, mata pelajaran bahasa Inggeris atau lebih tepat lagi bahasa antarabangsa diajar dengan gigih sekali melalui kelas tambahan agar pelajar menguasainya dengan baik.
Begitu juga dengan bahasa Mandarin yang dilihat akan menjadi bahasa antarabangsa lain yang penting. Ia diajar secara meluas pada semua peringkat.
Falsafah Pendidikan Kebangsaan
Falsafah pendidikan yang ditonjolkan juga menjadi tarikan. Ia sebenarnya pengubahsuaian kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Sehubungan itu, sekolah swasta yang juga sebahagian daripada sistem pendidikan negara, wajib menggunakan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dalam bentuk penuhnya.
Oleh itu, ia tidak boleh sekali-kali mengangkat falsafahnya sendiri, sama ada yang diubah sesuai atau yang berlainan sama sekali dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Sesungguhnya cara penyediaan pelajar untuk menjadi warga global ini membelakangkan bahasa Melayu. Ia dilakukan dengan mengetepikannya sebagai bahasa kebangsaan.
Mata pelajaran yang ditawarkan tidak menggunakan nama dalam bahasa Melayu. Ia mungkin tidak diajar dalam bahasa Melayu. Sehubungan itu, Sains dan Matematik dijanjikan diajar dalam bahasa Inggeris.
Justeru, sekolah swasta dengan penekanan kepada penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar, akan mewujudkan golongan muda yang tidak dapat berbahasa Melayu dengan baik. Berikutan itu, pelajar berkenaan berkemungkinan tidak akan berbangga dengan bahasa negara ini, apatah lagi menyayangi dan mentaatinya.
Bahasa satukan bangsa
Bahasa Melayu adalah alat penyatuan di negara ini. Perpaduan kita sesungguhnya tidak boleh bersifat pelbagai, akibat sistem pendidikan yang tidak mempunyai ketegasan dalam penggunaan bahasa Melayu.
Kita tidak boleh memiliki warga yang tidak fasih, apa lagi yang tidak boleh berbahasa Melayu langsung pada satu penjuru. Sementara itu, pada penjuru satu lagi, terdapat mereka yang cekap sekali.
Sebaliknya perpaduan negara perlu bersifat satu, iaitu pengakuran kepada penggunaan bahasa Melayu sebagai satu-satunya bahasa pengantar utama. Dengan cara ini, pendidikan yang terkenal dengan peranan pengacuanannya, pasti berjaya melahirkan warga yang mendukung aspirasi nasional.
Dengan tiadanya pengakuran ini, jati diri nasional yang diperlihatkan oleh warga kita bukan sahaja tidak berpaksi langsung. Ia sebenarnya bersifat semberono sehingga mereka yang tidak boleh berbahasa Melayu langsung, tidak boleh dianggap tidak nasional.
Dalam kita mengecam sekolah vernakular yang terlalu kuat terikat kepada nilai etnik Cina dan India, kita terlepas pandang bahawa sekolah swasta yang amat menitikberatkan wawasan global itu juga perlu dipantau.
Sesungguhnya bidang pendidikan terlalu kudus untuk diswastakan bagi meraih sebarang keuntungan. Ia kewajipan kerajaan. Oleh itu, pendidikan pada peringkat rendah dan menengah tidak boleh dikendalikan pihak lain, kecuali kerajaan sahaja.
Sebetulnya dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2015, sistem pendidikan kita berwawasan global. Ini dapat dilihat pada anjakan, aspirasi dan ciri di dalamnya.
Kemahiran dwibahasa dalam PPPM bukan sahaja menekankan kepentingan bahasa Inggeris dan Mandarin, malah akan diajar dengan kaedah yang lebih berkesan untuk mencapai wawasan global ini.
Semua yang ditawarkan sekolah swasta terdapat dalam PPPM. Malah, PPPM menawarkan banyak lagi yang tidak mampu dilakukannya.
Penulis ialah Profesor Linguistik di Universiti Kebangsaan Malaysia
Berita Harian Online
Jumaat 3 Januari,2014.
No comments:
Post a Comment