Saturday, October 15, 2011

Sah tak rampas
Oleh M Hifzuddin Ikhsan
hifzuddin@bharian.com.my

2011/10/15

KETUA Kaum Kampung Telok Melano, Malaysia, Mohamad Pani (tiga dari kiri) dan Kepala Desa (Penghulu) Temajuk, Indonesia, Mulyadi Kidang (dua dari kiri) bermesra bersama penduduk Camar Bulan, semalam.
KETUA Kaum Kampung Telok Melano, Malaysia, Mohamad Pani (tiga dari kiri) dan Kepala Desa (Penghulu) Temajuk, Indonesia, Mulyadi Kidang (dua dari kiri) bermesra bersama penduduk Camar Bulan, semalam.
Indonesia akui Malaysia tidak pernah ceroboh sempadan

JAKARTA: Indonesia semalam menegaskan Malaysia tidak pernah merampas tanah di Camar Bulan dan Tanjung Datu, di Kalimantan Barat seperti tuduhan sekumpulan rakyat republik itu, bahawa Malaysia mengambil tanah di sempadan kedua-dua negara itu secara haram.
Panglima Tentera Nasional Indonesia (TNI) Laksamana Agus Suhartono ketika menjelaskan perkara itu kepada Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia, berkata anggota TNI mengawal kawasan sempadan itu sesuai dengan perjanjian Indonesia-Malaysia.
“Semua pos penjagaan di perbatasan dilengkapi data koordinat untuk setiap penanda sempadan. Kalau pada masa rondaan ditemui penanda pada kedudukan berbeza, secara bersama ia akan dikembalikan ke koordinatnya,” katanya pada pertemuan dengan Suruhanjaya I DPR di sini.

BERNAMA melaporkan Suhartono berkata, penjelasan itu berdasarkan laporan Panglima Daerah Tentera XII Tanjungpura, Mejar Jeneral TNI Geerhan Lantara, yang melakukan tinjauan di kawasan yang didakwa berlaku rampasan itu.

Sementara itu, tinjauan wartawan Malaysia semalam, mendapati Indonesia sudah selesai melakukan kerja menyukat kawasan sempadan Malaysia-Indonesia, berdekatan Camar Bulan, Paloh, dengan maklumat awal mengesahkan tiada sebarang pencerobohan ke atas tanah seluas 1,400 hektar di situ.

Berdasarkan maklumat awal, kerja menyukat secara manual menggunakan peta dan satelit mendapati Malaysia tidak pernah mengalih batu sempadan bernombor 104 dan kawasan itu juga bukanlah tanah pertanian atau penempatan milik penduduk kampung.
Isu sempadan Malaysia-Indonesia ditimbulkan Timbalan Ketua Suruhanjaya I DPR, TB Hasanuddin dari Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P), yang mendakwa wilayah Camar Bulan seluas 1,500 hektar dan wilayah Tanjung Datu seluas 800 meter garis pantai dirampas Malaysia.

Sebelum ini, empat menteri Indonesia termasuk Menteri Luar, Marty Natalegawa, sudah menafikan tuduhan kumpulan itu.

Suhartono berkata, laporan media tempatan mengenai pengambilan wilayah Indonesia oleh Malaysia di kawasan terbabit memberi kesan psikologi kepada anggota tentera Indonesia yang bertugas mengawal sempadan di kawasan itu.

Katanya, anggota TNI sering mengadakan rondaan bersama anggota Angkatan Tentera Malaysia di kawasan sempadan berkaitan.

Wartawan Malaysia yang meninjau kawasan berkenaan mendapati, kerja menyukat batu sempadan dilakukan pagi kelmarin dan semalam, membabitkan pegawai agensi topografi dan TNI dari Jakarta serta wakil Bupati Sambas, Dr Juliarti Djuhardi Alwi.

Isu sempadan laut di Tanjung Datu pula dilaporkan tidak pernah timbul berdasarkan Indonesia mempunyai rumah api yang dikawal anggota TNI-Angkatan Laut sejak dua tahun lalu bagi mengesahkan garisan sempadan mereka.

Kepala Desa Temajuk, Mulyadi Kidang, berkata pegawai TNI bersama wakil Kerajaan Indonesia berada di Camar Bulan sejak tiga hari lalu bagi melaksanakan kerja pemetaan dan pemantauan udara.









No comments:

Post a Comment

Menjana kekuatan organisasi

Organisasi merupakan wadah penyatuan umat yang di asaskan untuk mencapai sesuatu matlamat. Berbagai bentuk organisasi mempunyai tujuan berm...