Friday, October 21, 2011

Gaddafi rayu jangan dibunuh


imej video diambil daripada stesen televisyen Al-Arabiya merakamkan orang ramai mengambil gambar jenazah Gaddafi menggunakan telefon bimbit di Sirte, kelmarin. - AP


SIRTE 21 Okt. - ''Anak, tolong jangan bunuh saya'' itulah kata-kata terakhir Muammar Gaddafi kepada tentera kerajaan sementara yang menangkapnya selepas satu serangan ke atas konvoinya di bandar Sirte awal subuh semalam.

Sejam kemudian bekas pemimpin Libya itu dilaporkan terbunuh.

Gaddafi mengangkat tangan sambil merayu supaya beliau tidak dibunuh selepas beliau diheret keluar dari tempat persembunyiannya di saluran kumbahan di bandar kelahirannya di sini dalam serangan itu.

Namun, rayuannya itu tidak diendahkan oleh tentera kerajaan, sebaliknya mereka menghinanya.

Bukan sekadar itu, mayat Gaddafi yang berlumuran darah dibiarkan dalam keadaan separuh bogel dan rambut palsunya ditanggalkan dan dihantar sebagai 'hadiah perang' kepada tentera kerajaan di Misrata, bandar yang terletak di selatan Sirte yang telah ditawan tentera kerajaan sementara.

Rakaman video menunjukkan beliau diheret keluar dengan kasar dari bonet trak sebelum hilang daripada rakaman selepas kedengaran bunyi tembakan.

"Ketika dibawa keluar dari Sirte (untuk dihantar ke hospital), Gaddafi dipukul dan kemudiannya dibunuh," kata seorang pegawai kanan Majlis Peralihan Kebangsaan Libya (NTC) kepada Reuters sebelum Pemangku Perdana Menteri kerajaan sementara Libya, Mahmoud Jibril mendakwa berlaku insiden berbalas-balas tembakan.

Ketua pengawal peribadi Gaddafi mengesahkan bekas pemimpin Libya itu terselamat dalam serangan udara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) ke atas konvoinya.

Dalam serangan itu, Mutassim, anak kelima Gaddafi yang kelihatan berlumuran darah tetapi masih hidup dalam rakaman video itu turut dilaporkan dibunuh.

Berita kematian Gaddafi disambut sorakan kegembiraan dengan penduduk berhimpun di jalan-jalan raya, manakala anggota tentera melepaskan tembakan ke udara.

Di Benghazi, beribu-ribu penduduk berarak di jalan-jalan raya sambil meletakkan senjata mereka dan menari.

"Saya tidak akan memberi senjata saya kepada anak lelaki saya. Kini perang sudah tamat dan kami perlu menyerahkan senjata dan kanak-kanak perlu ke sekolah," kata seorang penduduk, Mansour el Ferjani, 49 tahun .

Sementara itu, gambar mayat Gaddafi yang berlumuran darah dan disiarkan di skrin-skrin televisyen seluruh dunia mungkin akan memberi kesan kepada negara-negara yang berdepan kebangkitan rakyat seperti Yemen dan Syria. - REUTERS/AP

Sumber: Utusan Online 22 Oktober,2011



No comments:

Post a Comment

Menjana kekuatan organisasi

Organisasi merupakan wadah penyatuan umat yang di asaskan untuk mencapai sesuatu matlamat. Berbagai bentuk organisasi mempunyai tujuan berm...