Thursday, October 20, 2011

Pengetua SMK Danau Kota .



TEKS UCAPAN PENGETUA
MAJLIS ANUGERAH KOKURIKULUM SMK DANAU KOTA
21 Oktober 2011 (Jumaat) 

Terima Kasih kepada Saudara saudari Pengacara majilis,
YBhg. Dato’ Mohd Shafie bin Abdullah,
Setiausaha Politik YAB Menteri Kewangan
Merangkap Ketua Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO)
Bahagian Wangsa Maju,
Yang Dihormati En Ko Ah Chi Naib YDP PIBG,
Guru-guru Penolong Kanan,
Guru-guru kanan mata pelajaran,
Guru-guru,
Para Ibu bapa,seterusnya pelajar-pelajar yang diraikan .

Ahamdulillah . Segala Puji bagi Allah Tuhan Semesta Alam. Selawat beserta salam untuk Nabi Junjungan SAW yang telah membawa rahmat ke seluruh alam. Dengan IzinNya kita dapat bertemu sekali lagi dalam Majlis Anugerah Kokurikulum sekolah pada tahun ini. Bagi pihak sekolah saya ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada YBhg Dato’ kerana sudi hadir memenuhi undangan kami walau pun mempunyai jadual dan atur cara yang padat. Sesungguhnya dengan sokongan dan dokongan daripada YBhg Dato akan menjadi pemangkin kepada kecemerlangan pelajar , memotivasi guru-guru dan seluruh warga sekolah untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh dedikasi dan bertanggungjawab.

YBhg. Dato’ dan Hadirin sekalian,

SMK Danau Kota mempunyai bilangan pelajar seramai 1696 orang yang terdiri dari sesi pagi dan petang. Peratus pelajar mengikut etnik ialah Melayu 50%, Cina 40% dan India 10% . Kami juga mempunyai Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) seramai 105 orang murid yang terdiri daripada pelbagai kategori seperti syndrome down, autism, cerebral palsy dan bermasalah pembelajaran. Bilangan guru pula seramai 125 orang . Pada tahun 2012 bilangan pelajar kita akan meningkat secara drastik iaitu menjangkau lebih 2,000 orang berdasarkan data terkini dari Jabatan. Saya mengemukakan statistik ringkas untuk makluman YBhg. Dato’ dan hadirin bahawa sekolah ini mendapat permintaan yang tinggi dalam kalangan ibu bapa untuk menempatkan anak-anak mereka termasuk kelas peralihan seramai 148 orang . 


YBhg Dato’ tuan-tuan dan puan-puan,

Kecemerlangan sesebuah sekolah tidak hanya bergantung kepada prestasi akademik semata-mata malah pencapaian kokurikulum juga merupakan elemen penyokong dalam pencapaian sekolah.Kerajaan telah menetapkan bahawa setiap pelajar yang akan memasuki IPTA atau pun program Matrikulasi mesti melibatkan diri dalam bidang kokurikulum dengan mengambil kira peratus kehadiran (50%), memegang jawatan (30%) dan penglibatan murid (20%) berdasarkan sistem Meritokrasi.Penetapan markah sebanyak 10% telah diperakukan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai syarat kelayakan masuk ke IPTA. Justeru, penglibatan pelajar dalam bidang kokurikilum adalah wajib berdasarkan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).

YBhg Dato’ serta Hadirin sekalian,

SMK Danau Kota juga memiliki pelajar yang berbakat dalam bidang olahraga, sukan dan permainan yang boleh kita ketengahkan. Beberapa orang pelajar kita telah berjaya mewakili negeri hingga ke peringkat kebangsaan dalam acara olahraga, bola tampar, sepak takraw, serta aktiviti badan beruniform. Hal ini menggambarkan bahawa SMK Danau Kota mempunyai ‘Tunas Muda’ yang perlu digilap untuk persiapan ke peringkat antarabangsa dalam bidang masing-masing.

Ybhg Dato’ serta Para Hadirin sekalian,

SMK Danau Kota perlu menambah baik prasarana untuk keselamatan, dan kesejahteraan pelajar terutama kepada pelajar-pelajar PPKI yang memerlukan bantuan yang ‘Mesra Pengguna’ untuk menjamin keselesaan mereka dalam menjalani proses Pengajaran dan Pembelajaran. SMK Danau Kota telah menghampiri satu darsawarsa pada 2012 dan kami sedang merancang untuk melaksanakan satu ‘Majlis Pertemuan’ bersama para Alumni yang telah mendapat pendidikan seawal sekolah ini beroperasi. Pihak sekolah juga sangat berbesar hati sekiranya YgBhg Dato’ sudi menjadi penaung dalam majlis tersebut dan sekaligus sebagai ‘Bapa Angkat’ sekolah.

YgBhg Dato’, pihak sekolah juga telah melakukan transformasi berdasarkan ‘Misi’ dan ‘Visi’ sekolah untuk meningkatkan kecemerlangan akademik dan sahsiah pelajar dengan menekankan pembestarian PMR dan SPM. Hasilnya, pada tahun 2010, seramai 9 orang calon telah mendapat keputusan cemerlang iaitu ‘Straight A’ dalam semua mata pelajaran, manakala dalam SPM pula seramai 3 orang telah memperoleh keputusan cemerlang iaitu ‘Straight A’ dalam semua mata pelajaran. Situasi ini menunjukkan bahawa SMK Danau Kota mempunyai anak didik yang berkualiti untuk dibangunkan meskipun berada di persekitaran yang berkepadatan tinggi.

Akhir sekali, saya selaku pengetua bersama-sama warga sekolah memohon kerjasama padu setiap anggota komuniti untuk menyumbangkan idea, tenaga, dan kepakaran untuk pembangunan minda dan sahsiah anak- anak kita. Sekian, terima kasih.

Che' Yahya Che' Soh
Pengetua .

No comments:

Post a Comment

Menjana kekuatan organisasi

Organisasi merupakan wadah penyatuan umat yang di asaskan untuk mencapai sesuatu matlamat. Berbagai bentuk organisasi mempunyai tujuan berm...