Monday, October 24, 2011

Bangkok terus dilanda banjir


Beratus-ratus kenderaan terperangkap di sebatang jalan raya di kota Bangkok akibat banjir, semalam. - AFP


BANGKOK 23 Okt. - Tujuh daerah di Bangkok terus ditenggelami air sedalam 30 sentimeter awal hari ini, sementara pihak berkuasa memberi amaran banjir di ibu negara Thailand ini dijangka berlarutan selama beberapa minggu lagi.

Sesetengah jalan di daerah Don Muang, utara Thai, menjadi laluan air yang digunakan oleh bot-bot kecil, dengan paras air setinggi tayar kereta, tetapi lapangan terbang domestik masih beroperasi.

Beberapa kilometer ke barat daya pusat bandar raya Bangkok, jentera berat digunakan untuk mengukuhkan benteng sebatang terusan yang menyilangi jalan utama, Chang Wattana Road.

Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra berkata, paras air di Bangkok dijangka naik kepada satu meter.

Beliau memberi amaran kepada penduduk, beberapa bahagian Bangkok akan ditenggelami air dan penduduk perlu menjangka banjir berterusan empat hingga enam minggu lagi.

Lebuh raya akan terus dibuka dan kerajaan akan melindungi sistem bekalan air minum, loji tenaga dan bangunan-bangunan penting di ibu negara, katanya.

Gabenor Bangkok, Sukhumbhand Paribatra berkata, paras air meningkat lebih dua meter di sepanjang Sungai Chao Phraya yang mengalir di kawasan yang padat dengan penduduk di Bangkok.

Banjir yang bermula di utara Thailand pada Julai lalu mendatangkan kemusnahan meluas sepanjang laluannya menghala ke selatan.

Setakat ini, sekurang-kurangnya 356 orang terkorban, manakala dua lagi masih hilang, menurut Pusat Pencegahan Bencana Negara, semalam.

Lebih 40 daripada 78 wilayah di Thailand ditenggelami air, termasuk tujuh kawasan perindustrian yang menjejaskan hampir 400,000 pekerja, dan 75 jalan raya di kawasan luar bandar.

Menteri Kesihatan Awam, Wittiya Buranasiri berkata, 720,000 kes penyakit berkaitan banjir dilaporkan di seluruh negara, dengan hampir 100,000 orang dirawat kerana stres. - dpa

Sumber: Utusan Online 24 Oktober, 2011


No comments:

Post a Comment

Menjana kekuatan organisasi

Organisasi merupakan wadah penyatuan umat yang di asaskan untuk mencapai sesuatu matlamat. Berbagai bentuk organisasi mempunyai tujuan berm...