Tuesday, March 4, 2014

Untung Sebelum Cukai PETRONAS Naik 7 Peratus Kepada RM94.26 Bilion

KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Keuntungan sebelum cukai Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Dis, 2013, meningkat sebanyak tujuh peratus kepada RM94.26 bilion berbanding RM89.74 bilion pada 2012.

Hasil naik sembilan peratus kepada RM317.31 bilion berbanding RM291.23 bilion tahun sebelumnya, kata Naib Presiden Eksekutif (Kewangan) kumpulan Datuk George Ratilal pada taklimat media di Kuala Lumpur, Selasa.

"Jumlah aset meningkat kepada RM528.7 bilion pada 2013 berbanding RM489.2 bilion pada tahun sebelumnya terutama disebabkan oleh keuntungan yang dijana bagi tahun berkenaan," kata beliau.

Peningkatan ekuiti pemegang saham sebanyak RM28.8 bilion kepada RM335.8 bilion sehingga 31 Dis, 2013 adalah disebabkan oleh impak bersih keuntungan yang boleh diagih kepada pemegang saham syarikat, dividen akhir yang diluluskan pada tahun kewangan 2012 dan dividen interim yang diisytiharkan pada 2013, jelas beliau.

Ratilal berkata ekuiti pemegang saham yang lebih tinggi menyebabkan penurunan dalam nisbah hutang kepada 11 peratus sehingga 31 Dis, 2013 berbanding 11.7 peratus pada 2012 meskipun kenaikan kecil dalam paras hutang.

Bagi suku keempat yang berakhir pada 31 Dis, 2013, untung sebelum cukai kumpulan menambah kepada RM17.89 bilion berbanding RM15.69 bilion manakala hasil meningkat kepada RM84.81 bilion daripada RM76.88 bilion pada 2012.

Ratilal berkata peningkatan pada suku keempat dipacu terutama oleh jumlah jualan gas diproses dan minyak mentah yang lebih tinggi, serta kesan daripada harga gas asli cecair yang lebih tinggi dan pergerakan dolar Amerika yang baik berbanding ringgit.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan PETRONAS, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas berkata prospek syarikat akan diumumkan dalam pengumuman keputusan suku pertama, yang dijadualkan pada April, 2014.

"Dua bulan pertama tahun ini menunjukkan prestasi yang baik. Kami akan mengumumkan prospek tahun penuh dalam prestasi suku pertama," katanya.

--BERNAMA

Bernama Online
Selasa 4 Mac 2014.

No comments:

Post a Comment

Menjana kekuatan organisasi

Organisasi merupakan wadah penyatuan umat yang di asaskan untuk mencapai sesuatu matlamat. Berbagai bentuk organisasi mempunyai tujuan berm...