Segala Puji hanya untuk Allah SWT Tuhan sekelian alam. Selawat berserta salam kepada Junjungan Nabi Muhammad SAW yang membawa sinar kehidupan sepanjang zaman. Tuhan tempat bernaung bagi segala kehidupan yang ada di langit dan di bumi sangat mengetahui segala rahsia tersembunyi kerana setiap yang berlaku keatas makhluknya walau pun sebesar zarrah tidak terlepas dari kekuasaan dan ilmu Allah. Demikian Al Qur'an dan Al Hadith mengajar kita erti sebenar sebuah perjalanan bagi setiap makhluk di alam ini. La Ilaha Illah Muhammadur Rasullullah. Fii Kullilam Hatin Wanafasin 'Adadama Wasi'ahu Ilmullah.
Sabtu Misteri
Doa dan Solat
Kita tidak putus-putus berdoa dan melakukan solat hajat untuk keselamatan dan kesejahteraan para penumpang dan anak kapal MH370 yang terputus komunikasi dengan Trafik Udara Subang sejak 2.41pagi Sabtu 8 Mac 2014 lalu sebaik memasuki ruang udara Vietnam. Selaku mukmin beriman kita wajib yakin dengan ketentuan Allah yang di sebut Qadha dan Qadar setelah berusaha semaksima mungkin menggunakan pelbagai kemudahan teknologi moden untuk mengesan MH370 tetapi masih belum membuahkan hasil. Bukan mudah untuk meminta orang lain bersabar dan tabah menghadapi suasana seperti ini, kerana berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul namun hakikatnya kita tidak mempunyai pilihan melainkan REDHA dengan ketetapan Ilahi kerana hanya Tuhan yang sangat mengetahui segala rahsia alam yang nyata dan tersembunyi.Saya tuangkan rasa kesayuan,rasa kepiluan, rasa kesyahduan dan rasa kesedihan mendalam melalui beberapa rangkap pantun bersama linangan air mata mudah-mudahan Allah SWT memakbulkan permintaan kita.
Pantun Misteri
Hening malam menyapa diri
Mengundang khabar sebentar lagi
Peristiwa Sabtu menjadi misteri
Hilangnya pesawat menjelang pagi
Sabtu yang malang penuh kelabu
Terminal terakhir tempat bertemu
Betapa relainya hati ayah dan ibu
Terus menanti tak kunjung jemu
Perginya pesawat tanpa pesan
Membawa bersama 239 penumpang
Hilang dari radar tak mampu di kesan
Wajah MH370 jelas terpampang
Wahai Tuhan Yang Maha Esa
Engkau mengetahui segala rahsia
Sabtu berlalu meninggalkan masa
Semoga pencarian tidak sia-sia.
Sedetik kehidupan penuh bermakna
Musibah melanda menimpa manusia
Menjadi ibrah pengajaran sangat berguna
Semoga Allah membongkar segala rahsia
Tetap mengharap berita gembira
Kendatipun masa berlalu lama
Rindunya bertemu sanak saudara
Berkumpul mesra hidup bersama.
Telah lima hari masa berlalu
Namun diri mu masih belum bertemu
Resahnya kalbu mencengkam pilu
Semoga Tuhan mendengar doa mu
Sumber: Doa Aku Instrumental Haddad Alwi.
Doa ku tetap bersama semoga Allah memberikan petunjukNya. Amin.
Che Yahya Che Soh
Pengetua SMKSB@STAR
Segambut, Kuala Lumpur.
Rabu 12 Mac 2014.
No comments:
Post a Comment