NEW YORK: Skype, pengendali aplikasi sembang video milik Microsoft, memperkenalkan aplikasi baharu yang membolehkan pengguna menghantar mesej video ringkas, sekali gus kekal berhubung sebelum membuat panggilan Skype seterusnya.
Aplikasi telefon pintar itu yang dikenali Skype Qik membolehkan pengguna merakam dan menghantar video sepanjang 42 saat.
Perkhidmatan baharu itu akan membantu Microsoft 'mengejar' beberapa pesaingnya dalam bidang mesej mudah alih yang kini sedang sangat pesat berkembang.
Aplikasi baharu itu menampilkan beberapa ciri daripada Twitter Vine, yang boleh memainkan video selama enam saat, dan perkhidmatan mesej tidak kekal,
Snapchat.Dengan Qik, mesej akan hanya hilang selepas dua minggu, sedangkan mesej di Snapchat, hilang sebaik selepas dibuka.
Skype Qik menjadikan perbualan video lebih spontan dan menarik kerana pengguna tidak perlu menunggu pada sesi panggilan seterusnya untuk berhubung dengan kenalan atau orang tersayang, kata seorang jurucakap Microsoft.
Aplikasi Skype Qik kini sedia dimuat turun telefon pintar yang menggunakan sistem operasi Apple iOS, Google Android dan OS yang dikeluarkan Microsoft, Windows Phone.
Menerusi Qik, Microsoft kini menjadi antara pemain utama dalam segmen mesej mudah alih selepas Facebook membayar AS$19 bilion untuk membeli WhatsApp manakala firma e-dagang Jepun, Rakuten membeli Line dan Viber pada pertimbangan AS$900 juta awal tahun ini. - AFP
Berita Harian Online Rabu 15 Oktober,2014.
No comments:
Post a Comment