Friday, October 17, 2014

Allah Menilai Amal Ikhlas

Kewujudan manusia di muka bumi dengan tujuan paling mulia iaitu untuk beribadah kepada Allah SWT Pencipta sekelian alam.Wama khalaqtul Jinna WaI Insa Illa Lia'buduun.Sesungguhnya Aku Jadikan Jin dan Manusia untuk menyembah Ku.
 




Demikian penegasan Allah SWT dalam Al Qur'an. Beribadah bermakna taat, patuh, akur,redha dan pasrah dengan segala tuntutan Tuhan tanpa bahas. Dalam Bahasa Al Qur'an SAMI'NA WAATHO'NA setiap arahan Allah baik secara bersendirian (khalwat) mau pun terang-terangan.Sekiranya masih terdapat rasa ragu dan was was  dalam beramal, Allah mengajar kita supaya beristighfar sebanyak mungkin kerana sememangnya hati manusia sentiasa berbolak balik, pagi beriman petangnya kufur. Nauzubillah. Yaa Muqalibal Qulub Thabbit Qalbi 'Alaadiinik. Minta Tuhan simpang jauh-jauh dari hati yang tidak khusyuk dalam beramal.Simpton yang boleh dijadikan panduan umat ialah bila tergerak  hati untuk melakukan perkara mungkar, itu tandanya Syaithan sudah mula memasukkan jarumnya ke dalam diri anak Adam.Bagi menangani pujukan iblis, segeralah minta ampun (Istighfar) dengan Allah sambil membaca Qul Auu Zubil Rabbil Falaq dan Qul Auu Zubinnas dan ludah (tanpa liur ) ke kiri badan beberapa kali untuk menghalau Syaithan,InsyaAllah terhindar daripada bisikan jahatnya.

Peranan Syaithan

Dalam diri manusia bersarang berbagai perasaan kerana peranan Syaitan mengganggu fikiran. Iblis datang dengan berbagai cara tipu muslihat yang terlalu halus sehingga kita tidak sedari sia-sianya amalan selama ini. Kepada orang beriman datangnya dalam bentuk riak,ujub,takabbur, sumaah dengan mengatakan kepada empunya diri " Memang hebat bacaan Qur'an kamu sehingga orang terpukau mendengarnya" atau "Rajin kamu bersolat dan berdiri malam sehingga hitam dahi mu" . Kepada orang miskin ditanamkan rasa malas beramal kerana Tuhan tidak mengubah kehidupan mereka sekali pun solat tidak pernah abai setiap waktu.Kehidupan tetap sama kais pagi makan pagi kais petang makan petang. Demikian perasaan yang berperang dalam diri manusia kerana pengaruh Syaithan laknatullah.Justeru Allah memberi amaran 'Sesungguhnya Syaithan itu musuh kamu yang nyata' .Allah ilham ke dalam diri dua pilihan iatu jalan kebaikan dan jalan keburukan yang di sebut FUJUURAHA WATAQWAHA. Carilah Al Qur'an untuk menemui jalan Taqwa dalam kehidupan.

Al Qur'an sebagai penawar

Allah yang mencipta manusia sangat mengetahui setiap isi hati dan perasaan yang tersembunyi dalam dada. Innahu 'Alimum Bizaa Tissudur. Penawar kepada segala keresahan ialah Al Qur'an sebagai petunjuk kepada mereka yang beriman Hudan Lil muttaqien. Cerita dan perkhabaran Allah termuat kukuh di dalamnya untuk manusia mencari kebahagiaan dan merungkai segala perasaan yang tidak tenteram dalam diri.Bacalah Al Qur'an dengan berwudhu' dan penuh tartil (sempurna) kerana fadhilatnya cukup besar buat mengubat hati yang kosong tidak tenteram.Wanunazzilu Minal Qur'ani Maahua Shifaaun Warahmatun Lil Mukminin. Diturunkan Al Qur'an itu sebagai penawar dan rahmat kepada orang beriman.

Berlindung dengan Allah

Berlindung dengan Allah dari setiap gangguan iblis dan syaitan dengan membaca "Auuzubillahi Minasyaithani RRajim'. Orang yang sentiasa berzikir nescaya mendapat rahmat dari Allah sepanjang masa dan di lindungi dari sebarang bentuk musibah yang melanda.Berzikir tidak semestinya bertempat dengan bacaan kuat cukup lintasan hati mengingat Allah walaupun sambil memandu untuk menghilangkan ketegangan di jalan raya kerana ulah segelintir pemandu tidak sabar boleh menjadi terapi diri yang sangat berkesan. Allah menilai setiap perbuatan manusia yang ikhlas walau pun sebesar zarah sebaliknya kendati pun sebesar Bukit Uhud kebaikan di lakukan untuk tujuan yang lain pastinya sia-sia belaka di sisi Tuhan.Innamal A'maalu Binniat. Setiap pekerjaan bergantung kepada NIAT (Nawaitu Iktikad Allah Taala) yang terhunjam kukuh dalam hati.


Mendidik Hati

Hati ialah raja dalam diri yang mengawal setiap perbuatan anggota.Ikut hati mati, ikut rasa binasa. Tepat sekali perumpamaan ini.Kelakuan manusia berpusat di hati. Sekiranya hati bersih,jernih dan bersinar akan lahirlah nur kehidupan yang berpaksikan kebaikan dalam setiap tindakan.Orang yang memilki sekeping hati yang jernih akan bertutur perkara yang baik-baik dan senang di dengar.Pemilik hati sedemikian menjauhi diri daripada omongan kosong seperti menggunjing dan mengumpat yang tidak mendatang manfaat kepada diri. Keikhlasannya terpancar dari raut wajah yang berseri kerana hati yang dekat dengan Allah menjadi cermin setiap tindakan.Setiap perlakuannya merupakan manifestasi hati yang ikhlas.Mendidik hati supaya akur dengan kehendak Tuhan memang memerlukan latihan (tarbiah) berpanjangan dan kesabaran tinggi.Orang yang memiliki sifat terpuji tidak suka publisiti apa lagi menonjol atau mencibun  untuk di kenali ramai.Jangan memberi kerana mengharapkan balasan. Jangan menolong orang hanya untuk di kenang.Seandainya masih mengungkit-ungkit kebaikan sia-sia lah amalan sepanjang kehidupan.Orang yang Mukhlis tidak pernah mengenangi setiap kebaikan yang di buatnya seperti mana mereka beramal bukannya kerana syurga tetapi kewajiban memenuhi tanggunggjawab sebagai Muslim yang memikul amanah Tuhan.

Penyakit Masyarakat

Penyakit masyarakat hari ini berpunca daripada kegagalan mengurus hati kerana terlalu jauh dari Tuhan.Hati yang berpenyakit akan melakukan apa sahaja tanpa pertimbangan waras,hatta sanggup mencuri dan merompak wang tabung Masjid tanpa sedikit pun rasa berdosa.Allah tambahkan lagi penyakit hingga hati menjadi mati. Apabila telah di cap KHATAMALLAHU  'ALAA QULUUBIHIM  pada hati sukar sekali manusia menerima kebenaran. Nauzubillah. Berbagai fenomena berlaku seperti mencuri,rasuah,menipu, merompak, membunuh, merogol, peras ugut, berzina, buang bayi dan segala jenis kemungkaran kerana gagal mendidik hati.Semoga Allah tetap membuka pintu hati untuk bertaubat kepadaNya dengan penuh keikhlasan- Taubatan Nasuha sebelum tibanya panggilan Tuhan disaat  Ruh meninggalkan badan.


Wallahua'lam.
Al Fakir Wal Miskin.

Che Yahya Che Soh
Pengetua SMKSB@STAR
Segambut, Kuala Lumpur.
Sabtu 18 Oktober,2014.

3 comments:

  1. Semoga kita semua mampu menterjemahkan segala yang terkandung dalam tulisan yang tuan tampilkan di atas. Memang kebanyakan manusia hari ini sudah tidak dapat membezakan yang mana kerja2 kesyaitanan dan yang mana pula kerja2 kemanusian. Ianya telah bercampur baur sehingga manusia seperti sudah kehilangan pedoman. Maka itu tidak mengherankan jika pada hari ini begitu banyak kewujudan syaitan yang bertopengkan manusia tidak kira di kalangan pemimpin maupun pengikut.......

    ReplyDelete
  2. Subhanallah.Semoga Alah SWT membuka pintu hati kita semua untuk membuat refleksi diri termasuk saya melalui setitis ilmu yang Allah ilhamkan untuk menulis mudah-mudahan menjadi amalan yang di terima di sisiNya. Aaminn.Jazakallahu khairan kathira, Tuan Haji Hamsa.

    ReplyDelete

Menjana kekuatan organisasi

Organisasi merupakan wadah penyatuan umat yang di asaskan untuk mencapai sesuatu matlamat. Berbagai bentuk organisasi mempunyai tujuan berm...