Saturday, October 25, 2014

Apa Makna Hijrah

Silih berganti bulan dan tahun merupakan siklus perlakuan alam yang di tetapkan Tuhan. Matahari,  Bulan,Bintang dan seluruh cakrawala dalam jagat raya tidak pernah berhenti walau pun sesaat menjalankan fungsi masing-masing memberi cahaya kepada manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan di bumi.Seandainya cahaya Matahari terpadam sesaat sahaja nescaya tamatlah riwayat alam.Sumber cahaya matahari menjadi tenaga yang sangat berguna untuk menjana aktiviti kehidupan setiap makhluk hidup. Bergantinya tahun bermakna bertambah kuranglah jatah umur manusia.Samada kita sedar atau tidak hanya diri masing-masing mengetahui hakikat sebenar. Hari ini Sabtu bersamaan 1 Muharam 1436 Hijrah merupakan tahun baharu dalam kalender Islam mencukupi rotasi  selama dua belas bulan.Terasa baharu sangat umat Islam mengerjakan Haji, kini tiba pula tahun lain. Pada setiap bulan dalam Islam mengandung peristiwa yang penting untuk manusia mengambil iktibar dan pengajaran.Perjalanan dakwah Rasulullah SAW yang penuh dengan kepahitan tetap di kenang hingga ke akhir zaman.Natijahnya Islam tersebar ke setiap penjuru alam di anuti berbagai etnik bangsa dan keturunan.

Apa makna Hijrah

Hijrah ialah perpindahan Nabi Muhammad SAW bersama sahabatnya Abu Bakar As Sidiq dari kota Mekkah ke Madinah (Yathrib) kerana iman. Jarak antara dua kota ini kurang lebih 480km mengikut ukuran perjalanan sekarang dengan kenderaan bermotor selama 5-6 jam melalui lebuh raya Mekah- Madinah yang lurus dan lebar. Demi melaksanakan perintah Allah SWT, Nabi Saw membawa diri ke Madinah  bagi membangun sebuah masyarakat yang bertunjangkan Tauhid kepada Allah.Muhammad bin Abdullah lahir di kota Mekah pada hari Isnin 12 Rabiul Awal 571 M bersamaan Tahun Gajah,sedari kecil terkenal dengan gelaran Al Amin iaitu orang yang benar. Kepribadiannya terukir indah sebagai lambang seorang yang akan menjadi Nabi dan Rasul akhir zaman di warnai dengan berbagai pengalaman dan kejerihan hidup sebagai yatim di usia yang masih kecil. Bapanya Abdullah bin Abdul Mutalib meninggal dunia sewaktu Baginda dalam kandungan ibunya Aminah binti Wahab. Setelah lahir dan memasuki alam kanak-kanak ibunya pula kembali menemui Ilahi di suatu tempat bernama Abwa.Hiduplah anak yatim ini bertemankan Datuknya Abdul Mutalib untuk beberapa ketika sehinggalah beliau kembali menemui Tuhan.Berganti tangan pula dengan Abi Thalib bapa saudaranya memelihara dan membesarkan Nabi SAW di kota Mekah dengan penuh kasih sayang.Demikian secuplikan peristiwa kisah perjalanan hidup Rasulullah SAW yang di utus Allah untuk membawa risalah Islam di muka bumi.

Iman adalah Mutiara

Kumpulan Raihan mengalunkan lagu Iman adalah mutiara yang tidak boleh di warisi sebenarnya menggambarkan pentingnya manusia meyakini Allah SWT Pencipta Alam secara Tauhidik.Iman lah yang di pertahankan Nabi SAW sehingga Baginda terpaksa berhijrah ke Madinah.Sejarah menukilkan selama 13 tahun Baginda menyampaikan risalah Tuhan di Bumi Mekah mengajak manusia beriman kepada Allah SWT namun dakwahnya di tentang dengan berbagai ujian dan mehnah yang hampir menamatkan riwayat Baginda.Orang-orang yang menentang Baginda ialah dalam kalangan saudara mara sendiri. Abu Lahab bapa saudaranya yang sangat kuat mengancam Baginda bersama Abu Jahal dan pemimpin Kuraish lain supaya Baginda tidak meneruskan dakwah sehingga suatu ketika Abu Thalib memanggil anak kesayangannya untuk menyampaikan hasrat masyarakat Mekah supaya Baginda berhenti mengajak orang beriman kepada Allah. Dengan penuh hormat Nabi SAW menyampaikan altimatun kepada Bapa Saudaranya " Seandainya mereka meletakkan matahari di tangan kanan ku dan bulan berada di tangan kiri ku atau Aku mati kerananya nescaya Aku tidak akan berhenti melaksanakan tugas dakwah ini sambil tunduk menangis".Demikian penegasan Nabi SAW dalam soal Iman.

Tholaal Badru

Perjalanan sirah Rasulullah SAW penuh dengan krikil dan duri tajam.Mekah tanah tumpah darahnya terpaksa di tinggalkan kerana Islam.Peristiwa di Thaif tidak kurang pentingnya dalam sejarah perjalanan Hijrah Baginda Nabi SAW. Baginda bukan sahaja tidak di terima penduduk Thaif tetapi di lontar dengan batu dan berbagai penghinaan yang sungguh memilukan.Thaif yang letaknya kira-kira 2 jam perjalanan dari Mekah melalui bukit-bukit batu yang menggerunkan merupakan kawasan pertanian yang subur dan sejuk.Berbagai tekanan di terima Nabi SAW bersama orang-orang yang menyatakan keIslamannya sehingga di boikot dan terpaksa berlapar kerana ketiadaan makanan. Pada peringkat awal meninggalkan kota Mekah Baginda terpaksa bersembunyi di Gua Thur bersama Abu Bakar yang setia menemani Nabi SAW sepanjang menyampaikan risalah Tuhan. Dengan menyusuri pesisir pantai selama berminggu-minggu Baginda sampai ke Quba' memasuki kota Yathrib dan di sambut dengan Tholaal Badru Alaina yang sungguh mengujakan penduduk Madinah.



















Islam Bertapak

Rasulullah SAW sebaik tiba terus membina Masjid di perkampungan Quba' merupakan Rumah Allah pertama di Madinah. Baginda menukarkan nama Yathrib kepada Madinatun Munawarah yang bererti Bandar Bercahaya. Nama Madinah kekal hingga sekarang dan menjadi Bandar Suci yang kedua sesudah Mekah Al Mukarramah.Masjid Nabawi di dirikan di atas sebidang tanah kepunyaan anak yatim yang termasyhur dalam sejarah. Di sisi Masjid inilah rumah Baginda didirikan sehingga lah Allah SWT menentukan RasulNya menemui saat kewafatan dan di makam di rumah Baginda dalam Masjid Nabawi.Antara mimbar dan rumah Baginda ialah Raudah iaitu taman-taman syurga.Islam bertapak kukuh di Madinah hasil dakwah berterusan Baginda Nabi SAW bersama para sahabatnya selama 10 tahun sehingga tersebar di seluruh dunia.Ribuan syuhada' gugur syahid termasuk Bapa Saudaranya Hamzah Abdul Mutalib, kerana mempertahankan Islam.Beberapa peperangan besar dalam Islam seperti Khandak, Badar dan Uhud merupakan peristiwa bersejarah yang ditempuhi Nabi SAW bersama para sahabat Baginda semata-mata mengajak manusia beriman kepada Allah dan mengakui kerasulan Muhammad SAW sebagai tunjang Rukun Islam dan Rukun Iman.Sesungguhnya pada diri Rasulullah Saw itu ialah suri tauladan yang menjadi ikon seluruh umat manusia. Sekiranya Baginda memilih kesenangan dunia  nescaya Islam tidak akan berkembang hingga ke hari ini.

Wallahua'lam
Che Yahya Che Soh
Pengetua SMKSB@STAR
Segambut, Kuala Lumpur.
Ahad 26 Oktober,2014.

No comments:

Post a Comment

Menjana kekuatan organisasi

Organisasi merupakan wadah penyatuan umat yang di asaskan untuk mencapai sesuatu matlamat. Berbagai bentuk organisasi mempunyai tujuan berm...