Tuesday, October 21, 2014

Pandamaran dilanda ribut, banyak kerosakan dilaporkan

Oleh Oleh Ruwaida Md Zain


KELIHATAN beberapa pokok tumbang selepas dilanda ribut di Pandamaran. - Foto BERNAMA
PELABUHAN KLANG: Ribut seperti puting beliung yang melanda Pandamaran selama kira-kira 30 minit petang tadi merosakkan puluhan rumah serta premis perniagaan di kawasan kilang dan perusahaan di situ.

Malah, ribut berserta hujan lebat yang bermula kira-kira jam 2 petang itu menimbulkan ketakutan dalam kalangan penduduk di Pandamaran dan Pandamaran Jaya serta di sepanjang Jalan Banting dan Jalan Besar Pandamaran.

Angin berpusar itu bukan saja menerbangkan atap rumah tetapi juga menumbangkan beberapa pokok di kawasan berkenaan sehingga menimpa bangunan, tiang elektrik dan kenderaan.

Kesesakan jalan raya turut berlaku di kawasan terbabit apabila pokok tumbang menghalang laluan.

Tinjauan BH di tempat kejadian mendapati sebanyak 72 rumah di Pangsapuri PKNS, Pandamaran Jaya, di sini, terjejas akibat ribut berkenaan.

Pengerusi pangsapuri, R Sivabalan, berkata dalam tempoh tiga minit sahaja angin kencang menerbangkan atap enam blok pangsapuri sehingga mengakibatkan kebocoran teruk, dalam kejadian kira-kira 30 minit itu.

Katanya, penduduk yang terjejas mengadu bumbung rumah mereka rosak, menyebabkan berlaku kebocoran sehingga menjejaskan persiapan perayaan Deepavali esok.

"Ini kali pertama perkara ini berlaku. Kita tidak menyalahkan mana-mana pihak tetapi saya minta pihak berwajib baik pulih secepat mungkin. Tambahan, esok kami hendak sambut Deepavali. Ramai penduduk yang mengalami kerugian terutamanya persiapan perayaan esok.

"Setiap bulan kami semua bayar RM30 untuk yuran penyelenggaraan, jadi kami harap keadaan akan pulih secepat mungkin," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Kamarulzaman Mamat, berkata kejadian ribut berkenaan berlaku kira-kira jam 2 petang dan pemeriksaan pasukannya di Kunci Air Jalan Banting Pandamaran mendapati ada pokok tumbang serta bumbung bangunan yang diterbangkan angin.

Selain itu, katanya, beberapa bot yang berada di jeti berhampiran juga tenggelam akibat dipukul ribut.
"Antara premis yang terbabit dalam kejadian ribut itu ialah sebuah gudang penyimpanan tong gas, Tokong Aji San, Flat PKNS dan Flat Pandamaran Permai.

"Akibat daripada ribut itu, bekalan elektrik telah terputus dan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah dihubungi. Setakat ini, sebanyak tiga laporan polis telah dibuat tetapi tiada kecederaan serta kematian dilaporkan setakat ini," katanya kepada pemberita.

Dalam perkembangan berkaitan, Pegawai Perhubungan Awam PKNS, Ishak Hashim, ketika dihubungi, berkata pihaknya menerima laporan lebih 40 rumah di lima blok pangsapuri yang dibangunkan perbadanan itu, terjejas akibat kejadian ribut berkenaan.

"Seramai empat kontraktor sudah dilantik dengan serta-merta untuk menjalankan kerja baik pulih yang dianggarkan membabitkan kos sebanyak RM80,000.

"Kerja baik pulih akan dijalankan dengan segera manakala Pasukan Response Team PKNS berada di tapak untuk memantau kerja baik pulih yang dijalankan," katanya


Berita Harian Online
Selasa 21 Oktober, 2014.

No comments:

Post a Comment

Menjana kekuatan organisasi

Organisasi merupakan wadah penyatuan umat yang di asaskan untuk mencapai sesuatu matlamat. Berbagai bentuk organisasi mempunyai tujuan berm...