Friday, October 3, 2014

Bukan Senang Menjadi Pemimpin

Manusia lahir ke muka bumi membesar hasil didikan kedua orang tuannya.Sedari kecil kedua ibu bapa menyekolahkan mereka supaya menjadi orang berilmu kerana ilmu merupakan senjata kehidupan.Manusia sukar membina kehidupan jika dibelenggu dengan kejahilan. Asas kepada kehidupan ialah mencari ilmu bermula dengan kerangka asal yang di perintah Tuhan untuk membaca (Iqra'). Apa maksud Iqra'? iaitu perintah yang turun dari langit untuk membimbing manusia mengenal diri dan Penciptanya Allah Tuhan Semesta Alam.Dengan kata mudah,Tuhanlah yang mengajar manusia permulaan mengenal ilmu baik yang tersurat mau pun tersirat di sarwajagat ini.Ilmu yang tersurat terkandung dalam Al Qur'an dan di perincikan oleh Hadith Rasulullah SAW manakala tersirat pula ialah hamparan bumi menjadi guru kepada setiap manusia yang melihat, memerhatinya dengan kejernihan  mata hati. 

Ilmu dan Agama

Permulaan ilmu mengikut perspektif Agama ialah  mengenal Allah "Awaludin Makrifatullah" kerana ilmu tanpa Agama akan sesat, Agama tanpa ilmu menjadi manusia yang tidak mempunyai haluan hidup.Antara Ilmu dan Agama tidak boleh dipisahkan seumpama lagu dan irama yang tidak secocok akan hilang seninya. Ilmu mengajar manusia mengenal diri, Agama menuntun kita mencari kebenaran.Gabungan Ilmu dan Agama akan melahirkan Ehsan. Kesepaduan tiga unsur ini membentuk manusia yang beriman kepada Tuhan sebagai tujuan utama dalam kehidupan setiap insan. Tidak Ku jadikan Jin dan Manusia melainkan untuk beribadah kepada Ku.Demikian penegasan Tuhan dalam Al Qur'an. Konsep ibadah terlalu luas dari sekecil-kecil perbuatan seperti membuang halangan di jalan hinggalah kepada pembentukan sebuah Balad yang menepati kehendak Tuhan Baldatun Toyyibatun Warabbun Ghafur .

Kecemerlangan ilmu

Peradaban sesebuah negara ditandai dengan kecemerlangan ilmu yang dimiliki oleh bangsanya.Kebobrokan sesuatu bangsa kerana pembudayaan ilmu tidak direalisasikan dalam kehidupan. Individu yang berperanan sebagai pemimpin perlu menguasai ilmu yang dalam konteks Agama memahami Fardhu Ain sebagai tunjang pembentukan kepribadian diri, kemudiannya membina rangkaian sosialisasi bertunjangkan ilmu dalam amalan harian.Orang berilmu tetapi tidak beriman (baca: Integriti) mendorong kearah kebejatan moral kerana menyalahguna ilmu untuk kepentingan diri dan menyusahkan masyarakat.Tugas utama pemimpin ialah mengajak manusia cintakan ilmu sebagai sarana pembentukan kepribadian unggul melalui contoh dan teladan yang boleh dijadikan ikon ikutan umat.

Manusia khairun

Ilmu yang bertunjangkan falsafah Rabbaniah akan membetuk manusia yang khairun berteraskan prinsip siddiq, amanah, tabligh dan fatonah yang di warisi dari Baginda Nabi SAW, Abu Bakar As Siddiq, Umar Al Khatab dan Ali Abi Talib. Dalam apa bentuk pun organisasi sama ada sekolah, pejabat, pertubuhan sosial, kebajikan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kredibiliti sebagai pemimpin menjadi sorotan pengikut.Pemimpin yang beriman mempunyai sahsiah yang tinggi kerana mengaplikasikan ilmu secara total dalam menyampaikan mesej Tuhan kepada umat melalui lisan, perbuatan dan tindakan.Pemimpin beriman mempunyai kesantunan bahasa yakni menjaga lidahnya daripada berkata yang kurang enak di dengar kendatipun tidak berpuas hati dengan pengikutnya.Antara ilmu dan hikmah menjadi ukuran kebijaksanaan  seseorang pemimpin. Alim tetapi kurang berhikmah sebenarnya bukan pemimpin yang mewarisi sifat para Nabi sebagai Khalifah Tuhan di bumi.

Warna organisasi

Ilmu mendasari tunjang diri untuk pemembentukan sebuah kehidupan yang sejahtera.Pemimpin berilmu mempunyai keunggulan pekerti sebagai manifestasi kekuatan diri.Kecemerlangan diri bergantung kepada kekuatan ilmu,kemahiran, pengalaman yang di miliki oleh seseorang ketua dalam mewarnai sesebuah organisasi yang di pimpinnya.Berbagai teori mengenai ilmu kepimpinan dan pengurusan di kemukakan para ahli namun secara jujurnya bergantung kepada diri kita sendiri selaku pemimpin yang diamanahkan mengurus organisasi untuk mencapai standard piawaian yang di tetapkan.Berbagai kategori pemimpin seperti Pemimpin Kesatuan, Pemimpin Masyarakat, Pemimpin Agama, Pemimpin Ummah semuanya memikul tanggungjawab yang sangat berat di sisi Tuhan.Orang yang benar-benar alim dan berilmu tidak teruja dengan pangkat dan kedudukan malah jauh sekali melobi untuk mendapatkan jawatan kerana dikhuatiri tidak mampu melaksanakan amanah seperti yang ditetapkan Tuhan.


Pemimpin sekolah

Dalam konteks sekolah,Pengetua merupakan orang yang bertanggungjawab terhadap pembangunan pendidikan seluruhnya. Mercu tanda dan kebitaraan sesebuah sekolah berkait rapat dengan kepimpinan Pengetua.Kredibiliti pemimpin menjadi indikator kecemerlangan organisasi. Mengurus organisasi memerlukan kekuatan ilmu, mental dan spiritual terpaksa meladeni  kepelbagaian karenah manusia.Bukan senang menjadi pemimpin kerana bertanggungjawab sepenuhnya terhadap setiap pengikut.Mencari pemimpin seperti Khalifah Umar Ab Aziz terlalu langka dalam abad ke 21 ini.Sejarah menukilkan Baginda menjadi Gabenor Madinah dan memerintah selama 2 tahun 5 bulan penuh dengan kejujuran sehingga sukar mencari orang miskin kerana perbendaharaan negara berfungsi menyantuni fakir miskin yang benar-benar memerlukan bantuan. Bersikap zuhud terhadap kekuasaan hingga menggunakan lilin untuk menerangi dirinya atas urusan pribadi walau pun seorang Khalifah.Pemimpin berilmu mempunyai kejujuran intelektual,berintegriti tinggi dan jauh sekali menggunakan kesempatan yang ada untuk kepentingan diri kerana sandarannya ialah mencari keberkatan Ilahi.Sebaik mana pun seseorang ketua itu tidak terlepas dari kritikan dan ngomelan pengikut kerana yang namanya manusia tidak akan pernah puas hati dengan apa yang di miliki. Pemimpin perlu belajar tahan telinga supaya sentiasa berlapang dada dengan setiap kritikan.


Che Yahya Che Soh
Pengetua SMKSB@STAR
Segambut, Kuala Lumpur.


3 comments:

  1. Teruskan sambungannya Tuan Pengetua! Ianya boleh memberi kesedaran berilmu kepada orang2 yang masih kabur dengan kepentingan ilmu dalam kehidupan manusia.....

    ReplyDelete
  2. Terima kasih Tuan Haji selalu memotivasikan saya.Kekuatan manusia kerana mempunyai ilmu melalui berbagai sumber pembacaan,pengalaman dan perjalanan melihat sosialisasi kehidupan masyarakat yang berbagai menjadi inspirasi untuk menulis.

    ReplyDelete
  3. Sekadar menjenguk blog para sahabat. Saya sendiri belum mampu untuk membuka blog sendiri. Ha..ha..ha...

    ReplyDelete

Menjana kekuatan organisasi

Organisasi merupakan wadah penyatuan umat yang di asaskan untuk mencapai sesuatu matlamat. Berbagai bentuk organisasi mempunyai tujuan berm...