Saturday, October 25, 2014


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyampaikan anugerah Tokoh Maal Hijrah 1436H peringkat kebangsaan kepada Penasihat Perundangan Syariah, Jabatan Peguam Negara, Tan Sri Sheikh Ghazali Abdul Rahman di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya, hari ini. - Foto Mohd Fadli Hamzah
PUTRAJAYA: Tindakan menghina agama Islam seperti penganjuran minum arak secara terbuka, Oktoberfest, dan program 'I Want To Touch A Dog' akan digerakkan secara terang-terangan sekiranya umat Islam tidak bersatu, kata Tokoh Maal Hijrah 1436H, Tan Sri Sheikh Ghazali Abdul Rahman.
Katanya, usaha kumpulan-kumpulan yang berselindung di sebalik gerakan liberalisme, pluralisme dan hak asasi manusia itu hanya boleh dihalang sekiranya umat Islam bersatu dalam pandangan atau tindakan.
"Umat Islam di negara ini tidak seharusnya berbeza pendapat namun kalau ada ia harus diurus dengan baik sehingga dapat menyatukan pandangan untuk menegakkan maqasad syariah," katanya semasa berucap selepas menerima anugerah itu pada sambutan Maal Hijrah 1436H peringkat kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa di sini hari ini.
Beliau menerima hadiah wang tunai RM100,000, pingat penghargaan dan sijil penghargaan berbentuk plak berserta bingkai daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Sheikh Ghazali yang juga Penasihat Perundangan Syariah, Jabatan Peguam Negara berkata apa yang lebih menyedihkan ialah kealpaan umat Islam hari ini telah memberi ruang kepada musuh-musuh untuk menyerang agama Islam melalui pelbagai sudut dalam media sosial.
Justeru, beliau menggesa umat Islam di negara ini untuk menolak perselisihan sehingga boleh menggugat ikatan ummah walaupun perbezaan pendapat dibenarkan dalam Islam.
"Apabila negara aman kerana tidak berlaku perpecahan, kita bersama-sama dapat melakukan amal ibadah tanpa konflik malah negara dapat merangka program pembangunan dan transformasi apabila rakyat bersatu padu menyalurkan pandangan dan bersama-sama membangunkan negara," katanya.
Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Jamil Khir Baharom dalam ucapannya berkata kegagalan menguruskan perbezaan isu agama dan bangsa membolehkan negara ini terjerumus ke dalam kancah perpecahan seperti yang berlaku di beberapa negara yang lain pada masa ini.
"Justeru sempena Sambutan Maal Hijrah ini, mari kita terus mengembangkan dan menyuburkan ukhuwah sesama ummah di samping menjaga hubungan erat rakyat berbilang bangsa dengan pelbagai resam agama," katanya. - BERNAMA
Berita Harian Online
Sabtu 25 Oktober,2014.

 

No comments:

Post a Comment

Menjana kekuatan organisasi

Organisasi merupakan wadah penyatuan umat yang di asaskan untuk mencapai sesuatu matlamat. Berbagai bentuk organisasi mempunyai tujuan berm...