Mursi: Saya adalah presiden sah













  •  Ribuan penduduk Mesir dan pro Mursi berhimpun di luar Mahkamah Perlembagaan di Kaherah.
KAHERAH - MESIR.Lokasi perbicaraan Presiden Mesir yang digulingkan, Mohamed Mursi terpaksa diubah pada saat akhir bagi mengelakkan pertempuran berdarah.

Beliau muncul di Mahkamah Perlembagaan di sini semalam, buat kali pertama sejak ditahan 3 Julai lalu bagi menghadapi perbicaraan pembunuhan penunjuk perasaan di istana presiden, Disember tahun lalu.

Tuduhan itu boleh membawa kepada hukuman mati atau penjara seumur hidup.
Sejurus tiba di mahkamah, beliau kemudiannya diterbangkan dengan helikopter ke Akademi Polis di timur Kaherah bagi meneruskan perbicaraan bersama 14 pengikut Ikhwanul Muslimin (IM).

Pengikut IM, termasuk Essam el-Erian, Mohammed al-Beltagi dan Ahmed Abdel Aatie dilaporkan dibawa ke Akademi Polis oleh anggota keselamatan dengan menaiki kenderaan perisai.

Tidak lama selepas sesi perbicaraan bermula, stesen televisyen Al Jazeera melaporkan, perbicaraan itu dihentikan sementara kerana Mursi hadir ke mahkamah dengan memakai sut rasmi dan enggan memakai seragam penjara.

"Keengganan beliau berbuat demikian sebagai tanda protes dan pernyataan bahawa beliau masih lagi Presiden Mesir yang sah", menurut laporan terbabit.

Mursi dilaporkan berkata kepada hakim; “Saya adalah presiden sah untuk negara ini dan saya mempertanggungjawabkan kamu di atas semua jenayah rampasan kuasa ke atas legitimasi”.

Beberapa hari sebelum perbicaraan, tiga hakim meletakkan jawatan selepas merasakan perbicaraan itu bercanggah dengan undang-undang.

Hakim Mohammed Fahmy al- Qarmuty berkata, beliau dan rakan-rakannya mempunyai ‘rasa malu’ untuk mengendalikan kes terbabit.

Sementara itu, ribuan rakyat Mesir melakukan protes di luar Mahkamah Agung, Mahkamah Tinggi di tengah bandar dan Mahkamah Perlembagaan di selatan negara itu.

Lebih 20,000 anggota keselamatan berkawal bagi menyuraikan penunjuk perasaan.

Orang ramai dilihat melaungkan slogan anti tentera dan mengecam Jeneral Abdel Fattah Al-Sisi dengan menggelarnya sebagai ‘pembohong’.

Anaknya, Osama Mursi berkata, keluarganya tidak akan menghadiri perbicaraan itu kerana menganggapnya  tidak sah dan menyifatkan kejadian menimpa bapanya sebagai kes culik untuk dijadikan tebusan, laporan dipetik dari Agensi.

Sinar Harian Online
Selasa 5 November,2013.