Saturday, November 23, 2013

Lembaga Peperiksaan siasat dakwaan kertas SPM bocor
KUALA LUMPUR: Lembaga Peperiksaan memulakan siasatan berkaitan aduan kebocoran kertas soalan Matematik dan Matematik Tambahan bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2013.

Menurut kenyataan Lembaga Peperiksaan di sini, hari ini tindakan susulan segera juga akan diambil selepas siasatan lengkap dijalankan.
 
Sebagai sebuah institusi awam yang tertakluk di bawah Akta Pendidikan 1996 (Akta 550), Lembaga itu bertanggungjawab untuk mengurus dan mengendalikan peperiksaan awam di Malaysia.

Lembaga Peperiksaan sentiasa memelihara kredibiliti dan integriti pengendalian peperiksaan dengan mematuhi Arahan Keselamatan yang dikeluarkan Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia.

Lembaga Peperiksaan sentiasa mengambil tindakan sebelum, semasa dan selepas peperiksaan bagi memastikan pengendalian peperiksaan dijalankan dengan penuh integriti.

Ini termasuk memberi taklimat peringatan dan amaran kepada semua petugas peperiksaan dan pentadbir sekolah tentang pengurusan peperiksaan dan menyediakan Prosedur Standard Operasi serta Garis Panduan dan Senarai Semak Petugas Peperiksaan supaya petugas peperiksaan mematuhi prosedur pengurusan pusat peperiksaan.

Lembaga Peperiksaan turut menjalankan pemantauan pusat peperiksaan dan bilik kebal di seluruh negara sepanjang penghantaran kertas soalan dan tempoh peperiksaan, menubuhkan Pasukan 'Flying Squad' bagi mempertingkatkan langkah keselamatan sepanjang tempoh peperiksaan dikendalikan.
Ia juga menyediakan Bilik Gerakan Peperiksaan bagi menerima aduan dan maklum balas daripada pihak awam sepanjang peperiksaan dilaksanakan.

"Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak yang terbabit dalam pengurusan dan pengendalian peperiksaan untuk mematuhi segala prosedur yang ditetapkan demi menjamin keselamatan dan kewibawaan peperiksaan yang mempunyai kepentingan awam," menurut Lembaga Peperiksaan.

Lembaga itu juga menghargai keprihatinan dan kerjasama semua pihak dalam memelihara integriti dan kredibiliti pengendalian peperiksaan itu.

- BERNAMA 
 
Berita Harian Online
Sabtu 23 November,2013.

No comments:

Post a Comment

Menjana kekuatan organisasi

Organisasi merupakan wadah penyatuan umat yang di asaskan untuk mencapai sesuatu matlamat. Berbagai bentuk organisasi mempunyai tujuan berm...