MEKAH 14 Ogos - Ulama-ulama tersohor di sini menyanjung tinggi peranan Malaysia untuk memperjuang dan menjaga kepentingan Islam sama ada dari segi akidah dan perekonomian semasa, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata, mereka menganggap Malaysia sebuah negara yang berjaya memperjuangkan Islam.
Saya berasa bangga bahawa mereka yang begitu terkenal dalam bidang masing-masing dan mempunyai pengaruh di sini menganggap Malaysia berjaya memperjuangkan Islam untuk diiktiraf sebagai model negara Islam," katanya kepada wartawan Malaysia di sini.
Najib yang berada di sini bagi menghadiri Sidang Kemuncak Luar Biasa Ke-4 Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) sebelum itu mengadakan pertemuan dengan ulama-ulama tempatan di sebuah hotel di sini malam tadi (waktu tempatan).
Lima ulama yang turut hadir ialah Sheikh Dr. Abdullah Al Jalali dari Al Qassim Province, Arab Saudi; Mufti Masjidilharam, Sheikh Dr. Sulaiman Salumi; Ketua Hakim Mahkamah Mekah, Sheikh Saleh Al Duwaish; Pengerusi dan ahli lembaga pengarah 13 saluran tv Al Majd dan Al Huda dan Sheikh Dr. Abdul Rahim Mulazadah yang juga Penasihat Wessel Tv Channel London. Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Najib menyifatkan pertemuan seperti ini dapat menterjemahkan prinsip beliau serta kerajaan bahawa ulama dan umarak perlu memupuk hubungan yang baik bukan sahaja di dalam tetapi di luar negara supaya dapat memberi kebaikan kepada Islam dan umatnya.
Mereka juga berbesar hati dari segi lawatan peribadi ke Malaysia dengan melihat perkembangan yang amat positif dalam usaha Malaysia memerangi kemiskinan terutama kejayaan yang dicapai oleh Felda sebagai bentuk pembangunan dalam usaha pembasmian kemiskinan," katanya.
Di samping itu, ulama-ulama berkenaan juga melihat Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama tetapi telah dapat menetapkan Islam sebagai agama Persekutuan.
Daripada situ (Islam sebagai agama Persekutuan), kita dapat melaksanakan dasar-dasar untuk meninggikan syiar Islam dan tuntutan Islam tanpa menafi hak orang bukan Islam menganuti agama masing-masing," katanya.
Pada pertemuan itu juga beliau menjelaskan pegangan Malaysia kepada konsep wasatiyyah sejak dulu hingga sekarang selari dengan kehendak Islam di mana kesederhanaan inilah yang dapat membawa kemakmuran kepada negara.
Mereka juga menghargai bahawa di peringkat enakmen negeri telah mentafsirkan Islam sebagai Sunnah Waljamaah yang dengan ini kita dapat mempertahankan kesucian Islam dan dengan itu tidak berlaku kemungkinan timbul apa-apa unsur yang boleh membawa konflik atau kerosakan akidah," katanya. - Utusan.
Utusan online 15 Ogos,2012
No comments:
Post a Comment