Serangan berdarah di Syria
BEIRUT 16 Ogos - Lebih 40 orang maut dan sekurang-kurangnya 100 yang lain termasuk wanita dan kanak-kanak cedera, dalam serangan udara tentera Syria ke atas bandar Azaz, 30 kilometer dari utara Aleppo, serangan terburuk sejak pemberontakan bermula 17 bulan lalu.
Agensi pemantau hak asasi manusia, Human Right Watch (HRW) hari ini melaporkan, serangan itu yang berlaku semalam menyebabkan penduduk di kawasan perumahan berkenaan lari menyelamatkan diri.
Oleh kerana terlalu ramai yang cedera, sebuah hospital tempatan terpaksa mengarahkan penduduk membawa mangsa cedera ke sempadan berdekatan Turki untuk mendapatkan rawatan.
Wartawan Associated Press yang berada di lokasi kejadian menyaksikan, terdapat sembilan mayat termasuk seorang bayi sejurus serangan udara tersebut berakhir.
Pemangku Pengarah Kecemasan HRW, Anna Neistat berkata, serangan udara tersebut menyebabkan 40 orang maut.
"Tentera Syria melancarkan serangan tanpa mempedulikan nyawa orang awam,'' katanya.
HRW berkata, dua kemudahan di bandar Azaz mungkin menjadi sasaran serangan tersebut.
Dalam pada itu, Iran hari ini mengkritik keputusan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang menggantung keanggotaan Syria dan menyatakan tindakan itu tidak adil.
Agensi berita IRNA melaporkan, Menteri Luar Iran, Ali Akbar Salehi sebagai berkata, Syria sepatutnya dijemput ke persidangan luar biasa itu untuk mempertahankan diri.
"Pada pandangan kami, kerjasama lebih dilihat pendekatan logik berbanding penggantungan.
"Berbanding menggantung keanggotaan Syria, kita perlu mencari mekanisme untuk mengeluarkan Syria daripada krisis tersebut melibatkan rundingan dan perbincangan antara pemberontak serta kerajaan untuk mewujudkan keadaan yang lebih baik untuk menamatkan krisis,'' katanya
Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad dan Salehi turut menghadiri persidangan selama dua hari itu, tetapi gagal menghalang keputusan berkenaan.
Salehi berkata, Iran membantah keputusan tersebut kerana ia melanggar piagam pertubuhan negara-negara Islam itu. - AP/AFP
Utusan Malaysia Online 17 Ogos 2012
Friday 29 Ramadhan 1433H
Friday 29 Ramadhan 1433H
No comments:
Post a Comment