OIC arah Syria henti pembunuhan awam
MAKKAH: Sidang Kemuncak Luar Biasa Pertubuhan Persidangan
Islam (OIC) yang berakhir awal pagi 27 Ramadan, semalam, mengambil dua ketetapan
tegas terhadap Syria.
Syria digantung daripada OIC berkuat kuasa semalam diarah menghentikan serta-merta sebarang tindakan yang mengakibatkan kematian orang awam dan proses perundingan membabitkan semua kelompok diadakan melalui negara berjiran dengan Syria untuk mencari penyelesaian jangka panjang.
Syria digantung daripada OIC berkuat kuasa semalam diarah menghentikan serta-merta sebarang tindakan yang mengakibatkan kematian orang awam dan proses perundingan membabitkan semua kelompok diadakan melalui negara berjiran dengan Syria untuk mencari penyelesaian jangka panjang.
Datuk Seri Najib Razak berkata, ketetapan
itu dibuat selepas OIC mengambil kira keadaan yang membimbangkan di Syria
khususnya kematian ribuan penduduk, termasuk wanita dan kanak-kanak.
Simbolik mesej jelas
Dalam ucapan pada sidang kemuncak itu, Perdana Menteri berkata, Malaysia menyokong keputusan menggantung keanggotaan Syria sebagai simbolik untuk memberikan mesej jelas kepada Syria mengenai perlunya mengambil langkah untuk menghentikan pertumpahan darah dan menyelesaikan secara aman krisis itu demi rakyatnya.
Najib berkata, persidangan yang diadakan pada 26 dan 27 Ramadan, iaitu tarikh signifikan dalam Islam diharap dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi negara dan umat Islam.
“Fadilat dan kelebihan malam 27 Ramadan sungguh besar. Ia menimbulkan keinsafan dan kesedaran bahawa kita membuat keputusan penting di Makkah Al Mukkaramah ini.
“Keputusan ini seharusnya menyedarkan kita betapa besarnya amanah yang dipikul untuk Islam dan kepentingan ummah,” katanya pada sidang media selepas persidangan itu di Istana As Safa di sini, berakhir pada jam 2 pagi waktu tempatan (7 pagi Malaysia).
Perdana Menteri dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor kemudian berlepas pulang selepas mencium Hajarul Aswad, menunaikan solat sunat di Hijr Ismail dan menunaikan solat Subuh di Masjidil Haram.
Tindakan Israel dikecam
Pada persidangan itu, OIC turut mengecam hebat tindakan Israel mengembangkan penempatan di Baitulmaqdis dan pencerobohan Masjid Al-Aqsa.
“OIC bersetuju untuk berusaha supaya Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB), September depan, menerima Palestin sebagai anggota PBB,” katanya sambil menambah ramai pemimpin melahirkan kekecewaan kerana masalah Palestin masih belum dapat diselesaikan.
Perdana Menteri berkata, persidangan juga menyokong cadangan Raja Arab Saudi, Raja Abdullah Abdul Aziz Al Saud agar diwujudkan sebuah Pusat Dialog Islam bagi membincang isu berkaitan fahaman mazhab.
Berita Harian Online 17 Ogos 2012
Jumaat 29 Ramadhan 1433H
No comments:
Post a Comment