Wednesday, July 30, 2014

Sekelumit Bicara Penasihat Waris

Tuan Haji Zahari bin Awang
Penasihat WARIS

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Alhamdulillah. Segala Puji bagi Allah Tuhan Sekelian Alam. Selawat berserta salam kepada Baginda Nabi Saw, kaum keluarga, para sahabat yang membawa Islam sebagai petunjuk kehidupan bagi setiap makhluk yang ada di langit dan di bumi.

Hanya dengan IzinNya jua setiap perancangan yang kita lakukan akan menjadi kenyataan.

Saudara Pengacara Majlis, adinda Drs. Ab.Aziz Omar,
Y.Bhg.Datuk AS Khamis selaku Penaung Warga Alumni Republik Indonesia Sumatera @WARIS
Y.Bhg Dato Dr.Mohd.Zain Yusof Pengerusi Re Union
Y.Brs.Dr.Suhaimi Kadir Penyelaras
Naib-Naib Yang Di Pertua,
Ahli-Ahli Jawatankuasa Penaja,
Saudara saudari Alumni Waris yang di kasihi sekalian.

Saya ingin merafakkan kesyukuran yang sebesar-besarnya kepada Allah swt kerana dengan keizinanNya jua kita dapat dipertemukan dalam majlis Tautan Kasih Warga Alumni Republik Indonesia Sumatera@WARIS yang penuh bersejarah pada petang ini.

Sesungguhnya perhimpunan seperti ini mengembalikan sebuah nostalgia yang pernah saya lalui sewaktu menghantar pelajar-pelajar ke Sumatera Utara sejak beberapa dekad lalu dalam rangka mencari dan menimba ilmu di perantauan khususnya di Kota Medan yang penuh dengan pelbagai ujian dan cabaran.Orang pertama yang menyambut saya bersama sekumpulan pelajar di Konsulat Malaysia ialah Datuk AS Khamis yang waktu itu sebagai Konsul Muda Malaysia di Medan.

Saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada AJK Penaja  kerana memberi peluang kepada saya menutur secebis bicara selaku Penasihat WARIS dalam majlis ini.Sepanjang perkhidmatan saya sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Luar dan Ahli Dewan Rakyat Kuala Krai 1974-1978, saya berasa bertanggungjawab membantu pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan dari segi kewangan tetapi mempunyai kekuatan intelek untuk meneruskan pengajian mereka di Institusi Pengajian Tinggi  Sumatera Utara Medan dan Alhamdulillah semuanya beroleh kejayaan dengan cemerlang.

Saudara saudari yang di kasihi,

Hati kecil saya  tersentuh melihat wajah-wajah yang sangat dekat dengan saya dalam majlis tautan kasih ini namun di sebalik keterujaan itu terselit rasa terharu kerana beberapa rakan kita telah tidak lagi dapat bersama meraikan pertemuan yang penuh nostalgik ini.

Mereka telah mendahului kita menyahut panggilan Ilahi buat selama-lamanya.Antaranya ialah Allahyarham Ahmad Bestari Ismail, Zainuddin Hamzah, Ab.Aziz Othman, Dr. Ab. Halim Sulaiman, Jaafar Mat Sin, Arif Mat Isa, Helmi Ab.Ghani,Hadri Awang, Dr Ismail Hassan dan Dr. Azmi dari Kedah.

Kepada yang telah pergi marilah sama-sama kita hadiahkan serangkaian  Al Fatihah semoga Allah melapangkan pusara mereka.Amin.

Saudara saudari sekalian,

Tiada amalan yang lebih mulia selain daripada berbakti kepada masyarakat dengan penuh keinsafan untuk memenuhi tanggungjawab sosial bertunjangkan redha Tuhan.


Setiap amalan mulia pastinya mendapat ganjaran setimpal di sisi Allah baik duniawi lebih-lebih lagi di alam ukhrawi.Justeru kita perlu melatih diri untuk terus bersyukur dengan segala nikmat yang di kurniakan Ilahi baik di kala senang lebih-lebih lagi semasa kesempitan.

Saya turut berasa bangga dengan kejayaan saudara-saudari dalam bidang kerjaya masing-masing sehingga menjadi tokoh penting dalam perkhidmatan kerajaan dan sektor swasta di negara kita.


Kejayaan ini sebenarnya menjadi penyuntik motivasi kepada anak cucu kita untuk meneroka ilmu pengetahuan dalam berbagai bidang yang di ceburi. 

Saudara saudari Alumni Waris

Saya percaya pertemuan seperti ini tidak terhad disini sahaja malah akan ada lagi perjumpaan di masa-masa akan datang.

Selaku Penasihat saya ingin berpesan jadikanlah WARIS sebagai ikon perpaduan dalam kalangan Alumni yang bertebaran di seluruh negara untuk memupuk semangat setiakawan yang berkekalan melalui berbagai aktiviti dan program kemasyarakatan secara tersusun dan terancang.

Keanggotaan WARIS yang terdiri daripada figura-figura berbobot mampu menggerakkan pertubuhan ini dengan lebih dinamik  menjadi sebuah badan yang di hormati dan di segani.

Gabungan pemikiran dan idealisma yang konstruktif dalam kalangan Alumni untuk memperkasa WARIS menjadi petunjuk prestasi kejayaan dan  keutuhan sesebuah organisasi.

Justeru peranan pemimpin selaku personel yang di amanahkan mengurus dan mentadbir merupakan faktor dominan yang menentukan indikator kemajuan sesebuah badan atau pertubuhan.

Saudara Saudari sekalian

Setiap organisasi mempunyai struktur dan fungsi tersendiri yang di gariskan melalui perlembagaan.

Setiap ahli perlu mematuhi prinsip dan prosedur yang ditetapkan bagi menjaga keharmonian organisasi yang dianggotainya.

Justeru saya mengharapkan setiap alumni tidak boleh sama sekali membelakangkan perlembagaan dalam membuat sebarang teguran, ulasan dan komentar yang boleh menjejaskan nama baik pertubuhan kepada pihak luar terutama media samada elektronik atau cetak tanpa persetujuan ahli majlis.

Sebagai ahli pertubuhan yang sah di sisi undang-undang kita perlu akur dengan setiap keputusan yang ditetapkan.

Saya berdoa semoga  WARIS menjadi sebuah NGO yang berkembang maju untuk pembangunan pendidikan generasi akan datang.

Sekian Terima Kasih. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

csyahya victory
Teks Ucapan Penasihat Waris.
Rabu 30 Julai,2014.

No comments:

Post a Comment

Menjana kekuatan organisasi

Organisasi merupakan wadah penyatuan umat yang di asaskan untuk mencapai sesuatu matlamat. Berbagai bentuk organisasi mempunyai tujuan berm...