Wednesday, February 19, 2014

Air Mata Katibas

Pada hari Isnin lepas 17 Februari,2014 saya menerima seorang guru Pn Nur Azah Md Ismail yang baharu bertukar dari SMK Katibas Song Sarawak. Beliau mengajar di sini selama 4 tahun dan berasal dari Kelantan.Sebaik berjumpa Pengetua untuk melapor diri, saya bertanya beliau bagaimana keadaan sekolah di Sarawak? Beliau menjawab saya hanya seorang sahaja guru wanita dari Semenanjung yang masih tinggal di sini, kawan-kawan lain sudah berpindah termasuk suami sendiri yang dapat bertukar ke Rantau Panjang Kelantan. Demikian ungkapan beliau kepada saya sambil mengesat air mata menceritakan pengalaman berada nun jauh di pedalaman Song,Kapit.

Perhubungan Sungai

Saya dapat membaca fikirannya melalui bahasa badan dan raut wajah yang menyimpan berbagai kenangan pahit,manis,suka duka mengenai perjalanan karier sebagai seorang pendidik yang terpaksa menempuh liku kehidupan yang sungguh sukar untuk digambarkan. Perhubungan hanya melalui sungai, terpaksa menaiki boat selama 2 jam dari Sibu ke Song kemudian menggunakan boat panjang (perahu berenjin) tidak berbumbung selama 40 minit lagi untuk sampai ke sekolah bergantung kepada keadaan air pasang dan surut.Kemudahan awam seperti Klinik Kesihatan, bank dan kemudahan asas jauh dan mengambil masa yang panjang untuk sampai ke Pekan Song dalam Daerah Kapit. Seorang lagi guru baharu yang melapor diri ialah Pn Nur Ain  Ahmad dari SMK Tatau Bintulu tidak kurang juga mempunyai pengalaman yang berharga untuk di kongsi bersama.















 Sumber:Laman Web Majlis Daerah Kapit.
Tinggal di Asrama

Nur Azah tinggal di Asrama SMK Katibas bersendirian di kelilingi kawasan hutan berbukit sunyi sepi.Beliau bimbang dan takut namun terpaksa di gagahi juga demi tugas kepada anak bangsa.Saban malam kedengaran bunyi penghuni hutan bersahut sahutan bertingkah  suara ungka memecah keheningan malam menambahkan lagi kerisauan.Bagi meredakan perasaan beliau mendengar zikir,mengaji melalui komputer yang telah di programkan. Hanya lampu-lampu yang menggunakan 'generator' untuk melindungi kompleks sekolah dan asrama menjadi pelindung kegelapan malam di pinggir hutan berdekatan Sungai Katibas yang merupakan satu satunya laluan utama ke tempat terpencil ini.

Bilangan Guru

Sekolah ini mempunyai bilangan guru 44 orang termasuk Pengetua dan Pentadbir dengan murid seramai 450 orang. Demikian sekelumit maklumat yang sempat di kutip daripada seorang guru saya Pn Nur Azah Md Ismail.Menurutnya, beliau banyak berhutang budi khusus kepada Pengetua dan rakan-rakan seperjuangan kerana mengambil berat tentang kebajikan selama bertugas di SMK Katibas sambil mengesat lagi air mata sebelum meninggalkan bilik saya.Semoga Che'gu Nur Azah seronok di SMK Sinar Bintang dan dapat berkongsi pengalaman beliau di sekolah yang baharu ini.Kepada rakan-rakan guru di Semenanjung  pengalaman seperti ini tidak pernah kita rasai. Menempuh kesukaran terpaksa berjam-jam dalam boat panjang mengharungi olak dan jeram menjadi asam garam bagi mereka yang berkhidmat di pedalaman Sarawak seperti Belaga, Kapit dan Song. Justeru kita perlu menghargai mereka kerana pengalaman sebenarnya mengajar kita erti sebuah kehidupan yang tidak tertulis dalam silabus dan kurikulum mata pelajaran.

8.SMK Katibas


 SMK Katibas. Kredit gambar:JM CORNER
 
















Sungai Katibas Song Sarawak
Sumber: Internet

Pengurusan Peperiksaan

Saya tidak dapat membayangkan bagaimana sukarnya mengurus dan mentadbir peperiksaan terutama semasa menyampaikan taklimat kepada para pengawas dan petugas yang mengendalikan PMR,SPM dan STPM di sini.Mereka tentunya mempunyai perancangan yang cukup rapi mengambil kira keadaan cuaca , jarak perjalanan yang terlalu jauh dan meletihkan. Peperiksaan tidak boleh di percepat atau di lambatkan mesti mengikut jadual yang di tetapkan bagi mengelakan sebarang ketidakaturan berlaku. Saya cukup hormat dengan pengorbanan guru-guru di sini yang menjalankan tanggungjawab dengan penuh jujur, amanah dan berintegriti walau pun terpaksa mengharungi arus sungai yang deras berjeram.Bagi guru-guru yang bertugas di sini tentunya mempunyai koleksi pengalaman yang berbagai untuk di kongsi bersama rakan-rakan dan orang awam yang tidak pernah merasai keperitan hidup sebagai seorang pendidik bertugas jauh di pedalaman perbatasan  Kalimantan Indonesia yang sukar di capai kemudahan telefon dan internet untuk berhubung dengan dunia luar.

Terkenang Dato' Razali

Mendengar cerita guru saya, segera terbayang sebuah catatan perjalanan seorang Timbalan Menteri Pelajaran Allayarham Dato' Razali Ismail ke Pensiangan yang membuat lawatan kerja ke sekolah-sekolah di pedalaman Sabah sedikit masa dulu.Seorang tokoh pendidik berstatus Timbalan Menteri yang sangat dekat dengan murid dan guru turun melihat sendiri kesusahan yang di alami warga pendidik di pedalaman Sabah dan Sarawak.Semasa hayatnya beliau bekerja keras untuk mengangkat martabat dunia pendidikan terutama kebajikan guru khususnya mereka yang mencurah khidmat bakti di pedalaman. Saya sempat membaca tulisan beliau yang sungguh menyentuh naluri seorang pendidik dalam perjalanannya ke Salinatan,Pensiangan Sabah dan beberapa buah sekolah di pedalaman Sarawak.

Gaya Bahasa Penyair

Dengan menggunakan gaya bahasa seperti seorang penyair, beliau menghayati sepenuh jiwa raga perjalanan ke daerah tersebut dengan pacuan empat roda melalui jalan separuh Aspal berbukit curam,penuh dengan batu krikil dan tanah merah berdebu menempuh laluan lori balak selama hampir 9 jam sungguh memenatkan sehingga menggoncang seluruh tubuh seolah-olah seperti orang sedang berjoget dan beronggeng dansa di pentas hiburan.Perjalanan di teruskan lagi dengan menaiki kapal air dan perahu kecil menempuh olak jeram yang berpusar sungguh menggerunkan untuk sampai ke destinasi. Itu antara intipati yang sempat saya hayati melalui tulisan beliau untuk menggambarkan keperitan yang di alami oleh para pendidik sebelum tiba di sekolah masing-masing.Hanya mereka yang bermotivasi tinggi sahaja mampu mengunjunginya.Semoga Allah SWT memberkati Ruhnya dan di tempatkan bersama mereka yang bertaqwa.Jasa Che'gu Razali tetap terpahat dalam ingatan sekali pun jasadnya telah lama bersemadi mengadap Ilahi. Kepada rakan-rakan yang membaca artikel ini sama-samalah kita hadiahkan serangkai  Al Fatihah untuknya. Amin.














Tersentuh hati melihat gambar ini betapa sayangnya Che'gu Razali kepada anak-anak.Allahyarham Dato'Razali Ismail benar-benar berhati guru.Seluruh kehidupannya di curahkan untuk mengangkat martabat pendidikan negara.
Sumber Gambar:edublogs.org 


Che Yahya Che Soh
Pengetua SMKSB@STAR
Segambut Kuala Lumpur.
Rabu 19 Februari,2014.

Air Mata Katibas.



6 comments:

  1. Terima kasih kerana melayari victory.

    ReplyDelete
  2. terima kasih tuan admin kerana menghasilkan nukilan ini...smk katibas tinggal kenangan.namun tetap terpahat dlm ingatan kerana spjng masa d sana , ia merupakan pengalaman yg cukup berharga. sukar untuk dilupakan. kesusahan yang diberi pasti diiringi kesenangan , berkat dari doa yang tidak putus. Alhamdulillah...buat rakan2 yg masih di pedalaman, teruskan perjuangan , never give up on Allah SWT. sesungguhnye Allah SWT sentiasa bersama hamba2 yg sabar...

    ReplyDelete
  3. Tahniah kerana berjaya melepasi ujian sebagai seorang pendidik sengoti di Pedalaman Song untuk membangun modal insan berintegriti.

    ReplyDelete
  4. Terima kasih atas kata-kata baik tuan tentang situasi di sekolah kita. Segala yang diceritakan oleh Cikgu Nur Azah adalah benar. Saya pernah berkhidmat dengan Cikgu Nur Azah & saya amatlah bersyukur atas sumbangannya di SMK Katibas.

    Kehidupan di sekolah ini betul-betul susah & perjalannya ke sini jauh. Ini menjadi cabaran yang amat besar terutamanya bagi seorang guru perempuan dari semenanjung Malaysia. Tetapi ada juga kelebihannya. Saya mendapati bahawa pelajar disini senang dibentuk & sangat menghormati guru. Para guru juga bebas untuk mewujudkan program macam-macam demi membentuk anak didik.

    Saya berharap bahawa bakal-bakal guru di pedalaman tidak akan menolak penempatan ini sebab takut kesulitan & kesusahan. Tetapi mengambilnya sebagai satu cabaran & menyemarakan api perjuangan anda.

    Saya mengalu-alukan kedatangan anda. Pengorbanan anda diberkati & tidak disia-siakan.

    ReplyDelete
  5. Terima kasih Cikgu Jik Kam Yong kerana turut berkongsi pengalaman dengan saya.Tugas kita tetap sama untuk mencerdaskan anak bangsa walau pun dimana kita berada.Tahniah dan syabas.

    ReplyDelete

Menjana kekuatan organisasi

Organisasi merupakan wadah penyatuan umat yang di asaskan untuk mencapai sesuatu matlamat. Berbagai bentuk organisasi mempunyai tujuan berm...