PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH (PBS) TANGGUH
23 FEB : Pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS)
ditangguhkan sehingga ia dimuktamadkan oleh Kementerian Pendidikan
Malaysia (KPM) dalam masa terdekat.
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Khair Mohamad Yusof, dalam satu
kenyataan berkata, kajian menyeluruh mengenai pelaksanaan PBS sedang
dijalankan dan cadangan penambahbaikan akan dikemukakan kepada Menteri
Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk keputusan.
Berikut kenyataan penuh Dr Khair Mohamad.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) amat memandang serius mengenai isu bebanan tugas yang dibangkitkan oleh guru-guru dalam pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) di samping pandangan akan kesannya kepada murid. PBS merupakan dasar yang melibatkan pentaksiran secara menyeluruh (holistik) terhadap pencapaian murid. Dalam hal pelaksanaannya, KPM sentiasa terbuka dan telus terhadap sebarang rungutan, komen, pandangan, kritikan daripada guru-guru dan masyarakat.
Sehubungan dengan itu, selaras dengan arahan YAB Menteri Pendidikan
supaya KPM membuat kajian menyeluruh mengenai pelaksanaan PBS, pihak KPM
telah mengambil inisiatif meneliti semula pelaksanaannya agar dapat
mengurangkan bebanan tugas guru. Kajian dan penelitian ini difokuskan
kepada rombakan terhadap perkara-perkara yang melibatkan kekerapan
guru-guru memasukkan data-data berkaitan eviden dan pencapaian murid
yang termasuk juga pengisian borang-borang perekodan prestasi murid yang
boleh membebankan guru-guru.
Di samping memastikan kajian dan penelitian tersebut dilaksana secara
berkesan, KPM juga telah mengambil langkah-langkah segera bagi
menanganinya seperti berikut;
Menangguhkan taklimat PBS di peringkat sekolah rendah dan menengah
seluruh negara bermula pada 17 Februari 2014 bagi mengelakkan kekeliruan
terhadap pelaksanaannya.
Mengadakan perbengkelan yang melibatkan guru-guru termasuk
kesatuan-kesatuan guru dalam usaha penelitian dan kajian semula terhadap
pelaksanaan PBS. Bengkel tersebut telah dilaksanakan pada awal dan
pertengahan bulan Februari 2014 dan hasilnya akan dibentangkan semula
kepada KPM dalam tempoh terdekat.
Menubuhkan Jawatankuasa Task Force PBS di peringkat KPM yang
mengadakan mesyuarat setiap minggu bagi meneliti dan menilai
perkembangan setiap tindakan terhadap penelitian PBS.
Mewujudkan War Room PBS di peringkat KPM untuk menangani isu-isu
berbangkit berkaitan pelaksanaan PBS dengan segera dan berkesan termasuk
membuat maklumbalas segera mengenainya dari semasa ke semasa; dan
usaha-usaha penambahbaikan terhadap capaian Sistem Pengurusan
Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS) juga sedang dilaksanakan di
peringkat KPM bagi memastikan guru-guru boleh mengakses sistem tersebut
secara lebih mudah dan berkesan.
Kesemua tindakan tersebut diambil adalah bagi memastikan setiap
elemen pelaksanaan PBS dapat memberikan taksiran secara holistik
terhadap murid dan dalam masa yang sama dapat mengurangkan bebanan tugas
guru yang melaksanakannya.
KPM akan memaklumkan hasil penelitian dan kajian semula berkaitan hal ini termasuk tindakan selanjutnya terhadap pelaksanaan PBS setelah YAB Menteri Pendidikan berpuashati dengan penambahbaikan yang dicadangkan dengan mengambilkira dapatan kajian terbaru KPM, rungutan para guru dan pandangan masyarakat termasuk oleh Suara Guru Masyarakat Malaysia (SGMM).
KPM akan memaklumkan hasil penelitian dan kajian semula berkaitan hal ini termasuk tindakan selanjutnya terhadap pelaksanaan PBS setelah YAB Menteri Pendidikan berpuashati dengan penambahbaikan yang dicadangkan dengan mengambilkira dapatan kajian terbaru KPM, rungutan para guru dan pandangan masyarakat termasuk oleh Suara Guru Masyarakat Malaysia (SGMM).
Buat masa ini guru-guru tidak perlu meneruskan pelaksanaan PBS
sehingga satu kenyataan mengenainya dibuat oleh KPM dalam masa terdekat.
Terima kasih.
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia
23 Februari 2014
Sumber:BNBBC Portal
No comments:
Post a Comment