Sunday, October 13, 2013

Tujuh Perkara Membinasa manusia

Kuliah Maghrib di Surau AU4 Keramat pada malam ini mengenai peringatan yang perlu di hindari oleh setiap Muslim dalam hidup. Ustaz menyampaikan ceramah dengan membawa Hadith berkaitan tujuh amalan yang boleh membinasakan manusia iaitu Syirik kepada Allah,Mengamalkan syihir.Makan riba,Membunuh bukan dengan hak,Makan harta anak yatim,Menuduh perempuan solehah berzina dan Lari dari medan perang.Apakah ketujuh-tujuh perkara yang di sampaikan Nabi saw itu berlaku pada zaman sekarang? Cuba renungkan mungkinkah salah satunya terkena kepada kita sendiri atau keseluruhannya terbabit dalam kehidupan seharian tanpa di sedari ?

Syirik

Syirik ialah mempersekutukan Allah.Maknanya menduakan Tuhan dalam perbuatan dan tindakan. Allah  mengampunkan dosa-dosa hambaNya yang lain kecuali  Syirik. Lukman berpesan kepada anaknya Yaabunay yalaa Tusyrikbillah Innasyirka lazdulmun 'Azim. Hai anak ku janganlah sekali kali kamu mempersekutukan Allah kerana sesungguhnya Syirik itu kezaliman yang besar. Demikian peringatan Al Qur'an kepada manusia supaya menjaga akidah dengan sempurna kerana Syaitan sentiasa mencari peluang menyesatkan manusia melalui tipu muslihat yang sungguh licik. Syaitan mendatangi manusia dalam berbagai warna. Kepada orang Alim ditanamkan perasaan riak,ujub dan bangga dengan ilmu, kepada orang kaya di tumbuhkan perasaan sombong dan kepada orang berkuasa di tanamkan rasa hebat dengan kekuasaan kerana semua orang akur dan patuh kepadanya.Semua penyakit ini berpunca dari sekeping hati yang menguasai diri setiap manusia.Hati ialah Raja yang memerintah seluruh anggota badan. Jika hati bersih dan suci seluruh pancaindera akan tunduk dan patuh kepada Tuhan. Sejarah Firaun, Qaruun dan Hamam menjadi pengajaran dan ibrah kepada umat terkemudian termasuk kita sekarang semoga Allah swt melindungi kita semua daripada menyembah manusia, benda atau sebarang peraturan selain ketetapan dari Allah. 

Sihir

Apa sebenarnya manusia mau dalam hidup menjadi tanda soal. Sesetengah orang telah mendapat berbagai nikmat dari Tuhan namun masih belum berasa cukup sedangkan orang miskin terliur melihat kemewahan yang mereka miliki.Harta bertimbun, kediaman mewah dengan kenderaan berbagai jenama  sebagai ukuran kekayaan yang di miliki.Masih ada dalam kalangan segelintir manusia yang mengamalkan sihir untuk mendapatkan sesuatu.Melakukan perbuatan sihir kerana dengki khianat sangat di murkai Tuhan dan tergolong dalam tujuh perkara yang membinasakan manusia. Nabi saw sendiri tidak terlepas daripada perbuatan tersebut seperti mana terungkap dalam Surah Annas. Justeru kita di tuntut supaya mengamalkan surah tersebut bersama dengan surah Al Ikhlas, Al Falaq dan Ayatul Kursi setiap masa sebagai pelindung perbuatan sihir manusia dan Jin.

Makan riba

Sistem kewangan (monetary) dunia yang tidak berasaskan perundangan Islam dalam transaksi menyebabkan manusia terjebak dengan riba dalam kehidupan.Penggunaan kad kredit secara berleluasa merupakan faktor bercambahnya riba yang menjerat pengguna.Peminjam yang terdesak menggunakan kad kredit untuk mendapatkan wang tunai atau membeli barangan keperluan terpaksa membayar dengan kadar faedah(interest)yang telah di tetapkan. Manusia hari ini tidak terlepas dengan fenomena ini kerana 80 peratus pengurusan kewangan berunsurkan riba, kecuali bagi mereka yang benar-benar dapat mendisiplinkan diri mereka mengikut syariat Tuhan.

Membunuh bukan dengan hak

Allah swt menurunkan peraturan dan ketetapan kepada manusia untuk meluruskan jalan kehidupan menuju kesejahteraan hidup supaya sesama manusia saling berkasih sayang bermahabbah berteraskan ikatan Islam.Setiap perbuatan dan tindak tanduk manusia tidak terlepas daripada genggaman Tuhan walau pun sebesar zarah apa lagi membunuh jiwa manusia kerana dendam, dengki khianat dan rasa tidak puas hati menguasai diri.Membunuh merupakan perbuatan yang sangat keji kecuali dalam perkara yang terpaksa seperti mempertahankan maruah Agama, diri, harta,dan  keluarga dari kekejaman manusia.Mengikut Islam , mengambil nyawa orang lain tanpa hak wajib di balas dengan Qisas.

Bukti kebenaran Hadith Nabi saw

Ketika ini cerita-cerita pembunuhan terlalu menjadi-jadi dalam kalangan masyarakat. Setiap masa ada saja kes-kes pembunuhan berlaku malah di tempat terbuka semasa berhenti di lampu  isyarat seolah-olah nyawa manusia seperti seekor nyamuk yang menggigit sekali tampar terus mati.Mampukah kita sangkal kebenaran yang di sampaikan Nabi saw melalui Hadith Baginda yang telah terbukti berlaku satu persatu dalam kehidupan masyarakat ketika ini.Tiga perkara lagi yang di murkai Tuhan ialah memakan harta anak yatim,menuduh perempuan solehah berzina dan lari dari medan perang merupakan tujuh golongan yang membinasakan manusia semasa di dunia lebih-lebih lagi di akhirat.Mudah-mudahan kita mendapat pengajaran melalui pancaran nur Islam yang menjadi  rahmat ke sekelian alam.

wallahua'lam
Che'Yahya Che'Soh
AU 4 Keramat
Ahad 13 Oktober,2013.


No comments:

Post a Comment

Menjana kekuatan organisasi

Organisasi merupakan wadah penyatuan umat yang di asaskan untuk mencapai sesuatu matlamat. Berbagai bentuk organisasi mempunyai tujuan berm...