Wednesday, July 31, 2013

Mencari Keberkatan Ilmu

Ilmu menjadi tunjang kehidupan dalam diri manusia. Orang berilmu mempunyai kejernihan pribadi dan kejujuran integriti dalam setiap tindakan dan perbuatan kerana kemurnian ilmu menjadi pembeza daya intelektual seseorang.Manusia memperoleh ilmu melalui perantaraan guru. Mustahil manusia mampu mengenal huruf,angka dan abjad tanpa tunjuk ajar  dari guru yang bertungkus lumus mengorbankan masa dan tenaga untuk kejayaan anak didik mereka.Proses pendidikan yang panjang di lalui setiap pelajar yang bermula dari Sekolah Rendah selama 6 tahun, kemudian ke peringkat Menengah sepanjang 5 tahun menjadi laluan kerjaya seseorang pelajar ke peringkat yang lebih tinggi sebaik memperoleh keputusan peperiksaan yang di duduki.Peranan guru sebagai pemangkin kejayaan menjadi faktor dominan  mewarnai kehidupan masa depan pelajar.

 

Gambar hiasan: Tunas bangsa
Sumber:edidik.com

Mauduk kecemerlangan 

Pendidikan yang berteraskan ilmu menjadi mauduk kecemerlangan modal insan kerana kekuatan sesebuah negara bergantung kepada sumber daya intektual yang mempunyai kepakaran dalam segala bidang untuk pembangunan masa depan generasi bangsa.Ledakan ilmu pengetahuan dalam alaf globalisasi yang begitu pantas mencabar kewibawaan guru sebagai pendidik profesional yang tidak saja peka dengan perkembangan dunia tetapi mampu menyaring sumber maklumat secara akurat dan berintegriti.Masyarakat mempunyai berbagai persepsi terhadap pendidikan dewasa ini.Kegoncangan kepercayaan dalam kalangan ibu bapa terhadap profesyen mulia ini menjadi sorotan yang tidak pernah reda. Akhbar dan media menyiarkan berita-berita kurang manis tentang sekolah yang sudah tentu impaknya menjejaskan reputasi dan kewibawaan Kementerian Pelajaran sebagai agensi pusat yang bertanggungjawab dalam pembangunan pendidikan negara.

Keberkatan ilmu

Pendidikan bukan hanya proses memindahkan ilmu pengetahuan secara pedagogi semata-mata tetapi lebih mulia ialah membentuk keperibadian insan berakhlak luhur, tinggi budi pekerti ,mempunyai jati diri unggul sebagai aset yang paling berharga bagi seseorang pelajar.Tugas dan tanggungjawab ini terletak di bahu setiap orang guru untuk mewarnai masa depan pelajarnya kerana sebahagian besar masa pelajar bersama guru banyak di habiskan  di sekolah .Guru menuntun murid tanpa mengira fahaman Agama, Ras dan Etnik meladeni mereka dengan tekun walau pun terpaksa menahan emosi dengan pelbagai karenah tingkahlaku pelajar yang di hadapi setiap hari.Saya pasti orang awam tidak mampu menghadapi keadaan seperti ini.Dalam pendidikan tidak boleh ada diskriminasi kerana setiap manusia berhak mendapat keadilan secara saksama dalam menuntut ilmu.Kesabaran guru menjadi ukuran kecintaan terhadap bidang profesionalisma mereka.

 Khazanah berharga

Keberkatan ilmu yang di curahkan guru seharusnya menjadi khazanah berharga kepada setiap manusia untuk pembinaan masa depan yang lebih bahagia dan sejahtera.Pengorbanan guru mendidik pelajar menjadi manusia berilmu pengetahuan seharusnya mendapat pengiktirafan masyarakat bukannya di cemuh dan di keji hanya kerana sedikit kesilapan yang di lakukan( jika terbukti benar).Pengetua memikul tanggungjawab besar bagi memastikan pengurusan dan pentadbiran organisasi terutama dalam mengurus sumber manusia yang berbagai ragam memenuhi kehendak masyarakat yang sangat sensitif dengan perkembangan yang berlaku.Mengurus dan mentadbir sekolah yang mempunyai ribuan pelajar, ratusan guru dan puluhan kaki tangan sangat menguji kekuatan intelektual seseorang Pengetua.Setiap peristiwa yang berlaku di dalam dan luar sekolah yang membabitkan pelajar, Pengetua mesti mengambil tanggungjawab walau pun mengundang risiko. Kesilapan mengurus boleh menjejaskan reputasi dan merencatkan pembangunan sekolah. Orang awam mudah menuding jari mencari kesalahan hanya kerana sedikit kealpaan dalam berhubungan dan berkomunikasi bersama pelajar dan ibu bapa.Mencari keberkatan ilmu sangat di tuntut kerana kemuliaan dan ketinggian pribadi merupakan cermin intelektualiti manusia.

sorotan minda
Pengetua SMKSB@STAR
Segambut Kuala Lumpur.
Khamis 1 Ogos,2013.



No comments:

Post a Comment

Menjana kekuatan organisasi

Organisasi merupakan wadah penyatuan umat yang di asaskan untuk mencapai sesuatu matlamat. Berbagai bentuk organisasi mempunyai tujuan berm...