CUEPACS mohon timbang bonus 2 setengah bulan
PUTRAJAYA 9 Julai - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam
Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memohon kerajaan mempertimbangkan pemberian
bonus dua setengah bulan kepada seluruh penjawat awam tahun ini.
Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, CUEPACS telah memohon secara
rasmi mengenai perkara itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun
Razak pada hari ini dan berharap permintaan ini akan dipertimbangkan.
"Melihat pada keadaan ekonomi semasa sekarang, pada kami permohonan
pemberian bonus dua setengah bulan ini yang telah diputuskan semasa
mesyuarat CUEPACS pada dua minggu lepas adalah sesuai," kata beliau
dalam sidang media di sini hari ini.
Omar berkata, pemberian bonus bukan sahaja khabar gembira buat 1.4
juta penjawat awam bahkan akan turut memberi kesan langsung kepada
ekonomi negara apabila terdapat aliran tunai yang aktif di dalam negara.
"Namun begitu, saya berharap jika adanya pengumuman bonus kelak
peniaga tidak akan mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barang
sesuka hati," katanya.
CUEPACS juga berharap agar skuad pengguna di bawah Kementerian
Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan terus membantu
memantau harga barangan dalam pasaran, kata beliau.
Pada tahun lepas, kerajaan memberi bonus satu setengah bulan kepada
penjawat awam dan pemberian bonus tersebut merupakan yang terbaik pernah
diberikan oleh kerajaan setakat ini.
Katanya, bersempena dengan kedatangan Ramadan dan menjelang sambutan
Aidilfitri nanti semestinyalah penjawat awam mengharapkan bantuan dalam
bentuk bonus daripada kerajaan bagi meringankan beban kewangan mereka. -
BERNAMA
Utusan online
Selasa 9 Julai 2013.
No comments:
Post a Comment