KOTA BHARU 18 Mac - Kelantan mencatat sejarah terbaik dalam keputusan
Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2012 apabila 12 calonnya
mendapat A dalam semua mata pelajaran yang diambil, berbanding hanya
empat orang tahun sebelumnya, iaitu peningkatan tiga kali ganda.
Jumlah tersebut tidak termasuk tujuh lagi calon yang mendapat
keputusan A bagi empat daripada lima mata pelajaran diambil, sekali gus
menjadikan sebanyak 19 calon kesemuanya berjaya mencapai Purata Nilai
Gred Kumulatif (PNGK) 4.0 tahun ini.
Pengarah Pelajaran negeri, Hussain Awang berkata, peratus calon lulus
penuh pula adalah seramai 5,399 calon iaitu 95.12 peratus daripada
keseluruhan 5,676 calon, mengatasi pencapaian peringkat nasional iaitu
92.67 peratus.
Beliau berkata, pihaknya berbangga kerana peratusan kecemerlangan
pelajar yang memperoleh keputusan empat dan lima prinsipal juga berjaya
mengatasi peringkat nasional iaitu 53.7 peratus atau 3.048 calon
berbanding 47.39 peratus, malah enam mata pelajaran turut mengatasi
pencapaian nasional iaitu Perkomputeran, Kesusasteraan Melayu, Sains
Sukan, Geografi, Bahasa Cina dan Seni Visual.
Selain itu, katanya, empat pelajar telah dipilih sebagai pelajar
terbaik peringkat nasional berbanding seorang sahaja pada 2011 iaitu
Azira Mohd. Asri dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jawa;
Nurhanisah Deraman (SMK Cherang Ruku), Ahmad Herman Rodzi (SMK Ketereh)
dan Siti Aidah Othman (SMK Tendong).
"Walaupun peratus calon lulus penuh menurun sedikit iaitu sebanyak
0.87 peratus berbanding tahun 2011 tetapi penurunan ini amat kecil dan
yang lebih utama bagi kami adalah peningkatan kecemerlangan pelajar
hasil komitmen bersungguh-sungguh para guru dan pengurusan sekolah.
"Tahun 2012 kita mempunyai 19 pelajar yang mendapat PNGK 4.0 iaitu
satu pencapaian yang tidak pernah kita peroleh sebelum ini, begitu juga
dengan bilangan pelajar yang mendapat empat dan lima prinsipal.
"Apa yang menarik adalah trend kecemerlangan ini tertumpu di sekolah
luar bandar dan saya berterima kasih atas kesunguhan warga pendidik
melaksanakan kesemua perancangan sama ada yang diatur pihak sekolah atau
jabatan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pengumuman
Keputusan Peperiksaan STPM negeri Kelantan 2012 di pejabat Jabatan
Pelajaran negeri di sini hari ini. - UTUSAN
Utusan Malaysia Online
Isnin 18 Mac,2013
Che'Yahya Che'Soh
Pengetua SMKSB@STAR
Segambut Kuala Lumpur.
18 Mac,2013.
No comments:
Post a Comment