Penilaian khas lantik guru cemerlang
SURUHANJAYA Perkhidmatan Pelajaran (SPP) sedang
melaksanakan Program Penilaian Khas bagi pelantikan tetap graduan
cemerlang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan 2012.
Pengerusi SPP, Tan Sri Dr. Zulkurnain Awang berkata, ia bertujuan
melantik bakal guru yang cemerlang dari segi akademik dan ikhtisas tanpa
melalui proses temuduga secara konvensional.
Menurutnya, pelantikan secara terus ini adalah bagi mengiktiraf
pencapaian akademik dan ikhtisas graduan yang memperoleh Purata Nilai
Gred Kumulatif (PNGK) 3.5 dan ke atas, mendapat sekurang-kurangnya
keputusan A- dalam Praktikum serta diperaku oleh Institut Pengajian
Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).
"Bilangan graduan tidak melebihi 30 peratus daripada mana-mana IPTA dan IPGM," katanya dalam kenyataan akhbar baru-baru ini.
Jelas beliau, usaha tersebut selaras dengan hasrat kerajaan untuk
meningkatkan profesion perguruan dengan melantik calon guru yang terbaik
dari segi akademik dan ikhtisas.
Di samping itu, katanya, ia juga selaras dengan matlamat kerajaan
merealisasikan Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 iaitu guru
dilantik daripada kalangan 30 peratus graduan cemerlang dalam bidang
akademik dan ikhtisas untuk menceburi bidang perguruan.
"SPP juga berharap agar usaha ini menjadi penggalak kepada pelajar
yang masih di peringkat pengajian agar sentiasa berusaha mencapai
kecemerlangan," katanya.
Beliau memberitahu, Program Penilaian Khas dijalankan secara
berperingkat di seluruh negara bermula pada 19 Mac lalu di Kuching,
Sarawak melibatkan seramai 247 orang manakala penilaian khas kedua
berlangsung 21 Mac di Putrajaya.
"Program Penilaian Khas ini melibatkan sejumlah 2,780 orang graduan
cemerlang dari IPTA dan IPGM dan bilangan itu berdasarkan permohonan
Kementerian Pelajaran agar SPP menemuduga 8,200 graduan IPGM dan IPTA di
seluruh negara," ujar beliau.
Sementara itu, katanya, bagi Program Penilaian Khas di Putrajaya,
bilangan graduan cemerlang yang dinilai melibatkan seramai 560 orang.
Zulkurnain memberitahu, bagi Program Penilaian Khas seterusnya
diadakan mengikut taburan calon yang paling ramai seperti 28 Mac ini di
Johor Bharu, Ipoh (2 April), Sungai Petani (4 April), Kota Bharu (8
April), Kuantan ((11 April) manakala yang terakhir diadakan di Kota
Kinabalu, Sabah pada 17 April depan.
"Pada akhir penilaian graduan yang layak akan terus diserahkan surat
pelantikan oleh SPP manakala baki 5,033 graduan perlu melalui temuduga
biasa yang dilaksanakan bermula 19 Februari hingga 28 Mac ini," katanya
Arkib Utusan 25/3/13
Che'Yahya Che'Soh
Pengetua SMKSB@STAR
Segambut Kuala Lumpur.
Segambut Kuala Lumpur.
Sabtu 30 Mac,2013.
No comments:
Post a Comment