47,884 calon STPM lulus 
 
Pelajar cemerlang SMK Ketereh, Kota Bharu gembira memperoleh keputusan peperiksaan STPM, semalam. - Foto Zaman Huri Isa
 
Kuala Lumpur: seramai 47,884 atau 92.67 peratus calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2012 memperoleh kelulusan penuh sekurang-kurangnya satu mata pelajaran, berbanding 46,705 atau 92.19 peratus calon tahun lalu.

Peningkatan keputusan

Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Prof Datuk Dr Mohd Noh Dalimin, berkata secara keseluruhan, pencapaian calon menunjukkan peningkatan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) daripada 2.22 kepada 2.24.

Beliau berkata 51,673 calon tahun lalu adalah kumpulan terakhir yang menduduki sistem peperiksaan STPM semasa sebelum menggunakan sistem pentaksiran baru mengikut penggal berikutan penjenamaan semula Tingkatan Enam yang bermula tahun ini.

Katanya, jumlah calon mendapat PNGK 4.00 juga meningkat seramai 142 daripada 300 calon kepada 442 kali ini, manakala 18 calon memperoleh keputusan cemerlang Gred A dalam lima mata pelajaran diambil, berbanding 12 calon pada 2011.

“Jumlah calon di sekolah kerajaan termasuk di luar bandar yang lulus penuh bagi lima dan empat mata pelajaran juga meningkat 1,253 orang, iaitu kepada 23,683 daripada 22,430 pada 2011,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan keputusan STPM, Anugerah Pelajar Cemerlang STPM dan Malaysian University English Test (MUET) di MPM, di sini semalam.

Peningkatan prestasi

Pada majlis itu, MPM menyerahkan ganjaran RM1,000, sijil penghargaan dan plak kepada 23 calon, iaitu 18 pelajar cemerlang, dua pelajar istimewa cemerlang (kategori buta dan rabun), seorang pelajar cemerlang luar bandar serta dua calon terbaik MUET, masing-masing bagi sesi Mac dan November 2012.

Keputusan tahun lalu juga menyaksikan enam mata pelajaran menunjukkan peningkatan prestasi dengan Further Mathematics T sebanyak 11.43 peratus, Bahasa Cina (5.20), Ekonomi (3.94), Syariah (2.46) dan Sejarah serta Geografi (2.09 peratus).

“Dua mata pelajaran yang menunjukkan penurunan adalah Bahasa Arab sebanyak 3.25 peratus dan Literature in English 7.24 peratus,” katanya sambil menambah Selangor mencapai keputusan terbaik keseluruhan, manakala Kelantan dan Sabah mencatat prestasi kurang memberangsangkan.

Calon MUET bertambah

Sementara itu, jumlah calon MUET bagi tiga sesi peperiksaan pada 2012 meningkat daripada 34,201 sesi Mac kepada 60,558 sesi Julai dan 75,589 sesi November. Keseluruhannya, ada peningkatan prestasi calon MUET sesi November apabila 36.22 peratus memperoleh band 3 atau lebih baik, berbanding 23.94 peratus pada sesi Julai. 
Berita Harian 19 Mac,2013.


Che'Yahya Che'Soh
Pengetua SMKSB@STAR
Segambut Kuala Lumpur
Selasa 19 Mac,2013.