Friday, March 16, 2012

Lim Teck Yu Ex -Student SMK Danau kota 2009

Pemidato Layak Promosi Bahasa Kebangsaan


Rais Yatim menyampaikan hadiah kepada para pemenang
pertandingan Pidato 1Malaysia (Bukan Melayu)
Peringkat Kebangsaan 2011 di Kuala Lumpur, Isnin.

KUALA LUMPUR: Kesemua peserta peringkat akhir pertandingan Pidato 1Malaysia (Bukan Melayu) Peringkat Kebangsaan layak mempromosikan penggunaan bahasa Kebangsaan terutama di kalangan masyarakat bukan Melayu.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, ini kerana peserta akhir pertandingan mempamerkan bakat komunikasi yang hebat menggunakan Bahasa Melayu.

"Pertandingan ini membuktikan bahawa banyak bakat dari kalangan bukan Melayu yang boleh berkomunikasi menggunakan Bahasa Kebangsaan itu dengan baik sekali," katanya di sini, Selasa.

Pertandingan pidato itu dimenangi oleh seorang guru sebuah sekolah menengah swasta, P.Selvi,37.

Selvi, dari Selangor, menyampaikan pidato bertajuk 'Pendidikan Wadah Perpaduan Bangsa' untuk mengalahkan empat pemidato lain pada pertandingan akhir itu.

"Saya sangat gembira dan bersyukur dengan kemenangan ini," katanya yang juga satu-satunya peserta akhir wanita.

"Terima kasih kepada Jabatan Penerangan Malaysia yang menganjurkan pertandingan seumpama ini," katanya.

Kegembiraan tenaga pengajar Cakra Education Centre dekat sini itu berganda apabila Rais mengumumkan hadiah wang tunai untuk juara dinaikkan daripada RM3,000 kepada RM5,000.

Dengan kemenangan tersebut, Selvi membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000, sijil penghargaan beserta piala.

Naib juara disandang pelajar Universiti Tunku Abdul Rahman, Lim Teck Yu, 19, dari Kuala Lumpur yang membawa tajuk 'Bersatu Teguh Bercerai Roboh', manakala ketiga dimenangi oleh Ting Shi Xiang, 19, dari Johor yang membawa tajuk sama.

Lim dan Ting masing-masing menerima RM3,000 dan RM1,000 serta piala dan sijil penyertaan.

Seramai 173 penyertaan diterima dari seluruh negara dan seramai 15 orang peserta yang mewakili setiap negeri termasuk Wilayah Persekutuan telah berjaya ke peringkat separuh akhir sebelum lima peserta yang terbaik menempatkan diri masing-masing di pusingan akhir.

Pertandingan pidato untuk peserta bukan Melayu itu bertemakan "Gagasan 1Malaysia Wadah Perpaduan Nasional" dan diadakan buat julung kalinya oleh Jabatan Penerangan Malaysia.

Ia merupakan salah satu program dalam usaha jabatan itu untuk memperkasakan penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam kalangan rakyat Malaysia.

MyStar Julai 20,2011

No comments:

Post a Comment

Menjana kekuatan organisasi

Organisasi merupakan wadah penyatuan umat yang di asaskan untuk mencapai sesuatu matlamat. Berbagai bentuk organisasi mempunyai tujuan berm...