Mazian anggap satu kejutan dapat 5A
PASIR MAS 8 Mac - Amalan makan kismis yang diberikan oleh guru, ternyata membawa berkat buat Mazian Mat, 20, apabila mendapat A bagi semua mata pelajaran dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2011 yang diumumkan semalam.
Lebih manis, anak kelima kepada pasangan Mat Senik, 56, dan Hamidah Rashid, 52, itu turut diumumkan pelajar terbaik Kelantan bersama-sama Muhammad Zulhilmi Mohd. Salleh, Nurul Shazwani Kamarudin Darus dan Teng Lik Sien yang mendapat 5A dalam peperiksaan tersebut.
Mazian mendapat A bagi mata pelajaran Pengajian Am, Bahasa Melayu, Kesusasteraan Melayu dan Sejarah, sekali gus menebus kekecewaannya apabila hanya mendapat 2A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dua tahun lalu.
Mazian berkata, dia sendiri tidak menyangka mampu memperoleh keputusan cemerlang itu dan menganggap ia satu kejutan kerana hanya mendapat 3A dalam peperiksaan percubaan.
"Alhamdulillah, harapan ayah dan mak hendak melihat saya berjaya dalam STPM tercapai. Insya-Allah saya akan terus memberikan yang terbaik selepas ini untuk mengubah masa depan keluarga.
"Saya nak hadiahkan kejayaan ini kepada mak dan ayah serta keluarga yang banyak memberikan sokongan dan dorongan sepanjang saya belajar," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini semalam.
Mazian memberitahu, dia mahu menyambung pelajaran dalam bidang sastera dan sejarah di Universiti Putra Malaysia (UPM) nanti.
Sementara itu, bapa Mazian, Mat berkata, kejayaan anaknya itu cukup menggembirakan dia dan isteri serta seluruh ahli keluarga.
"Saya harap kejayaan ini akan menjadi contoh buat adik-adiknya yang masih bersekolah untuk memperoleh keputusan yang cemerlang dalam pelajaran," kata pekerja am Majlis Daerah Pasir Mas itu.
No comments:
Post a Comment