Peluang lepasan SPM ikuti kursus teknikal
SHAH ALAM 27 Mac - Bagi mereka yang memperoleh keputusan sederhana dan gagal menyerlah dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011, ia bukanlah penamat untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
Ini kerana peluang masih terbuka untuk mereka mencuba nasib dengan mengikuti kursus teknikal yang memberikan jaminan kerja sebaik sahaja tamat pengajian.
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Teknologi Auto Prima, Juhaidi Yean Abdullah berkata, lepasan SPM yang belum mendapat tempat untuk menyambung pengajian tidak seharusnya kecewa kerana pihaknya sedia menawarkan program pengajian teknikal kepada mereka.
"Semua pelajar yang diterima masuk, layak mendapat pinjaman pelajaran sepenuhnya daripada Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK)," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Menurut Juhaidi, lebih menguntungkan apabila pelajar yang mengikuti latihan di bawah skim tersebut akan menikmati elaun bulanan antara RM300 dan RM450 sebulan bergantung pada kursus ditawarkan.
"Selain itu, pelajar yang menetap luar kawasan Shah Alam akan diberi tempat penginapan atau hostel disediakan oleh Pusat Teknologi Auto Prima.
"Sekiranya pelajar berjaya menamatkan kursus dalam tempoh 18 bulan, mereka diberi jaminan terus mendapatkan pekerjaan serta-merta," katanya.
Juhaidi memberitahu, Pusat Teknologi Auto Prima yang beroperasi di Kemuning Utama, Seksyen 33, Shah Alam menawarkan skim kemahiran yang ditaja sepenuhnya oleh Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) iaitu sebuah agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia.
Katanya, pusat kemahiran itu menawarkan pelbagai pengajian teknikal antaranya melibatkan mekanikal, elektrik, elektronik, komputer dan teknologi.
Katanya, kursus kemahiran dan vokasional yang ditawarkan itu lebih menekankan kepada latihan teknikal iaitu 70 peratus amali dan 30 peratus teori.
"Latihan amali akan dijalankan di bengkel yang dilengkapi peralatan berteknologi tinggi sesuai dengan keperluan industri dalam bidang automotif dan mekatronik serta automasi," katanya.
Pelajar yang berminat untuk mendaftar bagi kemasukan pada bulan April dan Mei ini boleh menghubungi Mohd. Taufik atau Juliana 03-51217153/51217678/51213441 dan 0193972996.
Sementara itu, seorang bekas pelajar automotif, Esmith Halil Sulaiman, 23, dari Sepang berkata, selepas menjalani kursus latihan di Pusat Teknologi Auto Prima selama 18 bulan, dia terus diambil bekerja oleh sebuah syarikat automotif di sini.
''Gaji diperoleh dulu RM450 tetapi sekarang boleh mencecah sehingga RM1,500 sebulan dan kini saya merancang untuk menyambung pelajar ke peringkat lebih tinggi supaya dapat membantu keluarga pada masa depan," ujarnya.
Sementara itu, Isnaliza Moidisgunsalau @ Maurice, 19, dari Sabah pula memberitahu, dia baru sahaja mengikuti kursus juruteknik automasi senior selama sembilan bulan di pusat pengajian tersebut.
Katanya, dia merupakan wanita pertama yang mempelajari kursus tersebut di pusat pengajian berkenaan yang dahulunya didominasi oleh golongan lelaki.
"Saya tidak akan mengalah dan berazam untuk terus bersaing dengan pelajar lelaki yang mengikut kursus tersebut," katanya.
Utusan Malaysia online 27 Mac 2012
No comments:
Post a Comment