Pemergian ayah cetus semangat Nik Nur Fatihah catat 11A+
KOTA BHARU 21 Mac - Ketika Nik Nur Fatihah Nik Zulkifli, 18, sedang fokus untuk menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia tiba-tiba sahaja dikejutkan dengan berita pemergian ayahnya akibat serangan jantung.
Kejadian itu sangat memilukan perasaan gadis ini, tambahan pula ia berlaku ketika SPM 2011 hanya tinggal seminggu sahaja lagi untuk ditempuhinya.
Namun, dengan bertemankan al-Quran sebagai penenang diri, selain ibu dan adik beradiknya yang lain, Nik Nur Fatihah yang berasal dari Wakaf Bharu di sini berjaya menghadapi segala cabaran itu dan hasilnya, dia mencatat keputusan cemerlang 11 A+ dalam peperiksaan tersebut.
Dia merupakan seorang daripada enam pelajar terbaik Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Naim Lilbanat dengan mendapat A+ bagi semua mata pelajaran diambil, sekali gus menjadi antara pelajar terbaik seluruh Kelantan.
"Memang saya sangat sedih ketika ayah meninggal dunia. Tetapi setiap hari saya membaca al-Quran untuk menenangkan diri dan sebagai 'hadiah' kepada ayah yang sudah pergi.
"Alhamdulillah, dengan bantuan ibu dan juga adik-beradik saya yang lain akhirnya saya berjaya mencapai sasaran dan memperoleh keputusan cemerlang," kata anak bongsu daripada lima beradik ini ketika ditemui di sekolah itu di sini hari ini.
Nik Nur Fatihah berkata, dia bercita-cita tinggi untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam bidang kedoktoran selepas ini.
Seorang lagi pelajar, Nur Syafiqa Zupli, 17, yang mencatat keputusan 11A iaitu 5A+, 4A dan 2A-, kejayaannya itu juga dicapai selepas menempuh pelbagai jenis dugaan dalam hidupnya.
Melihat kepada senyuman ceria yang terukir di bibirnya ketika menerima keputusan itu, pasti tiada siapa menyangka bahawa anak gadis ini pernah tidak datang ke sekolah selama satu tahun ketika berada di tingkatan satu.
Nur Syafiqa yang ditemani ibunya, Haniza Mustapha, 45, berkata, dia bercita-cita menjadi seorang penyelidik dan pakar perubatan untuk merawat penyakit-penyakit yang sukar diubati.
Utusan Malaysia online 22/3/12
No comments:
Post a Comment