‘Hadiah buat arwah ibu’
KUALA LUMPUR 7 Mac - Demi menggembirakan hati ibu yang bertarung nyawa melawan kanser ovari membuatkan Muhammad Zulhilmi Mohd. Salleh membulatkan tekad untuk belajar bersungguh-sungguh.
Niat murni Muhammad Zulhilmi akhirnya membuahkan hasil apabila pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kota, Kota Bharu, Kelantan itu diumumkan sebagai salah seorang daripada lima pelajar terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2011 yang diumumkan hari ini.
Namun kejayaannya tetap disusuli dengan perasaan terkilan oleh anak bongsu daripada tujuh adik-beradik itu kerana ia tidak sempat dikongsi bersama ibunya yang baru 45 hari dijemput Ilahi.
“Kejayaan ini untuk arwah ibu saya, biarpun dia sendiri berlawan dengan penyakit, arwah ibu tidak pernah berhenti memberikan nasihat dan dorongan untuk saya terus maju dalam pelajaran.
“Dia mahu saya menjadi guru seperti empat adik-beradik lain, jadi saya akan terus berusaha untuk mencapai hajat ibu itu,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman keputusan STPM 2011 di Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), di sini hari ini.
Dengan kejayaan itu, Muhammad Zulhilmi membawa pulang ganjaran yang diberikan MPM berupa wang tunai bernilai RM1,000, sijil penghargaan dan sebuah plak.
Tambah Muhammad Zulhilmi, dia tidak terlalu memilih institusi pengajian tinggi untuk melanjutkan pelajaran selepas ini tetapi hanya berminat untuk mengikuti bidang pendidikan.
Sementara itu, pelajar kurang upaya Anis Nabilah Wahab yang diumumkan sebagai pelajar cemerlang kategori cacat penglihatan pula beranggapan, kejayaan yang diperoleh itu sangat bermakna dalam hidupnya.
Sambil melahirkan rasa syukur yang tidak terhingga, Anis Nabilah berkata, kejayaannya itu juga adalah sesuatu di luar dugaan.
“Bagi saya, yang penting adalah usaha dan semangat untuk mengejar impian masing-masing kerana keistimewaan setiap orang adalah berbeza,” kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdul Malik (B), Alor Setar, Kedah itu.
Seorang lagi pelajar kurang upaya terbaik, Yeow Ting Fong berkata, kejayaannya banyak didorong oleh kejayaan golongan orang kurang upaya (OKU) lain.
Kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Tuah, Bachang, Melaka itu, dia tidak menoleh ke belakang dalam tekadnya untuk memastikan kejayaan berjaya digenggam sama seperti insan lain.
“Bila melihat ada golongan OKU yang berjaya, timbul persoalan di hati saya, mengapa saya tidak boleh menjadi seperti itu?
“Justeru saya menguatkan semangat untuk terus berjuang dan mengejar cita-cita menjadi pengamal undang-undang,” katanya yang diumumkan sebagai pelajar istimewa cemerlang kategori Spastik.
Utusan online 10/3/12
No comments:
Post a Comment